Saturday, June 6, 2009

MAMPUKAH PAS MENGEMUDI PAKATAN PEMBANGKANG?

Bernama (5 Jun 2009)

Hasrat untuk mengangkat PAS sebagai "pengemudi" dalam pakatan pembangkang disuarakan pada muktamar parti itu tahun ini.

Dari muktamar sayap-sayap parti hingga ke amanat presidennya, PAS seolah-olah memberi isyarat awal bahawa ia bersedia memainkan peranan lebih dominan dalam pakatan pembangkang.

Seperti kata seorang perwakilan di muktamar dewan pemuda, PAS bukan tunggul.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya sebagai presiden pada Muktamar Tahunan PAS di Stadium Malawati hari ini berkata parti itu menawarkan diri memimpin perubahan selain bersedia memikul amanah kepimpinan negara jika pakatan berjaya memerintah selepas pilihan raya umum ke-13.

Walaupun Abdul Hadi segera menangkis soalan media adakah itu bermakna PAS berhasrat mengetuai kerajaan pakatan dan menduduki kerusi Perdana Menteri, parti itu tidak dapat lari daripada persepsi umum bahawa natijahnya ke arah itu.

"Masalah siapa yang pimpin negara, secara kolektif ialah Pakatan Rakyat," kata tokoh ulama dari Terengganu itu dalam sidang akhbar selepas perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-55 Jumaat.

Pemerhati politik melihat perkembangan itu menunjukkan PAS, yang ditubuhkan pada 1951, memahami kedudukan dan kekuatannya selaku parti politik yang paling berpengalaman dalam pakatan pembangkang selain DAP dan PKR.

"Selain pengalaman, Islam yang menjadi teras perjuangan parti menjadi kelebihan kepada PAS untuk diberikan peranan ini," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Nasharudin Hassan Tantawi, dalam laporan media sebelum ini.

Tema muktamar "Islam Memimpin Perubahan" dilihat sebagai gambaran hasrat parti itu, walaupun selepas pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu.

Pilihan raya umum ke-12 lepas menyaksikan PAS menguasai 23 daripada 81 kerusi Parlimen yang dimenangi pakatan pembangkang dengan PKR dan DAP, masing-masing mendapat 31 dan 28 kerusi.

Parlimen mempunyai sejumlah 222 kerusi.

Penganalisis politik Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata hasrat untuk mengangkat PAS sebagai parti dominan dalam pakatan timbul selepas "PAS nampak kelemahan pada PKR".

Katanya walaupun PKR dilihat sebagai pemain utama dalam pakatan melalui peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang, parti itu sebenarnya ketandusan pemimpin berkualiti.

"Tapi parti lain terutama PAS ada pengalaman mentadbir kerajaan negeri di Kelantan, menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1974 dan mempunyai generasi pelapis berpengalaman di peringkat negeri dan persekutuan," katanya.

Beliau berkata PAS sebaliknya mempunyai ramai nama-nama berkaliber antaranya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Salahuddin Ayub, Nasharudin Mat Isa, Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Bagi penganalisis politik Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, hasrat PAS untuk menjadi pemain utama dalam pakatan pembangkang dilihat tidak realistik kerana kemenangan parti itu pada pilihan raya umum lepas bukan kerana ia kuat.

"Hakikatnya, rakyat tidak bersetuju dengan status quo sedia ada," katanya.

Selain itu, Shamsul Amri menegaskan bahawa PAS juga mempunyai cabaran lain jika ia mahu mengetuai pakatan pembangkang seperti meyakinkan Anwar untuk mengadakan kabinet bayangan yang jelas.

"Cabaran kedua ialah supaya pakatan rakyat dijadikan sebuah parti gabungan seperti BN. Jika ada masalah, mana-mana pemimpin parti boleh keluar dari parti gabungan itu tetapi parti komponen tetap bersama dalam sebuah parti," katanya.

Tujuh parti politik adalah diperlukan untuk membentuk sebuah parti gabungan seperti BN.

Persoalannya, sejauh manakah kepimpinan baru PAS mampu menangani cabaran ini?

No comments: