Wednesday, November 19, 2008

JANGAN SAMPAI SARAWAK TUKAR HALUAN

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim member amaran, apabila Sarawak mengubah haluannya, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan runtuh.

Selepas tidak laku ‘menjual ubat’ di Semenanjung dan Sabah, Anwar beralih ke Sarawak dan mengharapkan ahli Parlimen BN di negeri itu menukar haluan.

Bercakap di Sibu pada malam 15November lalu, Anwar menyifatkan Sarawak yang mempunyai 30 anggota Parlimen sebagai kunci kepada kerajaan Pakatan Rakyat di negara ini.

Kedatangan Anwar ke Sarawak menguatkan khabar angin tentang kemungkinan wakil rakyat BN melompat parti di Sarawak sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini 16 September telah dicanang oleh pembangkang kononnya akan mengambil alih Kerajaan Persekutuan apabila berjaya menarik ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah menyertai mereka.

Mulanya PKR dijangka mengumumkan kemasukan 'beberapa' Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak dan juga ahli Parlimen BN ke dalam pakatan pembangkang untuk berjuang bersama mereka.

Tetapi ternyata hanya seorang sahaja yang sanggup berbuat demikian. Ahli Parlimen Kanowit, Aaron Dagang dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak berbuat demikian.

Pada satu majlis majlis di Pusat Perdagangan dan Pameran Sibu , Anwar menerima borang permohonan keanggotaan daripada Gabriel Adit Demong, seorang daripada dua anggota Dewan Undangan Negeri Bebas dan daripada 11,752 individu dari seluruh negeri itu.

Anwar berkata rakyat Sarawak kini sudah bersedia bagi perubahan, menyatakan Adit telah menawarkan diri untuk mengetuai kempen menarik keanggotaan bagi Pakatan Rakyat.

"Jangan terkejut jika apa yang berlaku di lima negeri di Semenanjung dalam pilihan raya umum Mac lepas akan berlaku di sini," katanya.

Anwar menegaskan, Pakatan Rakyat sudah membuat persediaan bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Seperti biasa Anwar mendakwa beberapa orang dari negeri itu telah datang berjumpa beliau menyatakan minat untuk menyertai PKR.

Sementara itu, Adit berkata banyak anggota BN sedang "menunggu masa" untuk menyertainya dan keputusannya untuk menyertai PKR " adalah yang pertama daripada banyak ansuran" dalam beberapa bulan akan datang."

Semua ini berlaku pada majlis makan malam anjuran "Friends of PKR" di Sibu.
Gabriel dikatakan mengambil keputusan untuk menyertai PKR selepas BN enggan menerima permohonannya bagi menyertai mana-mana parti komponen di Sarawak.

ADUN Ngemah itu berjaya mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 1991 dan dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) 2006, beliau menewaskan Alexander Vincent dari PRS dan Richard Lias dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Apakah kes ini menunjukkan gelombang tsunami politik di Semenanjung mula membadai ke Sarawak?

Yang pasti ia cabaran permulaan kepada BN di Sarawak yang berdepan dengan cabaran besar pada pilihan raya umum DUN pada 2010.

Seperti disebut oleh Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Jeniri Amir, PKR sebenarnya mengambil kesempatan daripada masalah dalaman PRS.
PKR kini cuba memancing sokongan kaum Iban untuk menyertai parti pembangkang itu setelah ditolak oleh kaum Melayu dan Malanau.

Ada beberapa perkara membabitkan tidak puas hati kaum Iban terhadap kerajaan, khususnya berkaitan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang masih belum selesai sepenuhnya.
Dan jika benar pandangan bahawa kaum Iban semakin jauh dengan BN, sesuatu perlu dilakukan segera oleh parti komponen BN di Sarawak agar pilihan raya negeri 2010 tidak menjadi suatu beban kepada mereka.

Ini kerana Anwar sudah mengatakan, pemimpin dalam Pakatan Rakyat seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari PAS, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dari DAP dan diri beliau dan isternya akan terus mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan anggota Parlimen BN untuk memujuk mereka supaya berpaling tadah menyertai mereka.

Pada majlis di Sibu itu, kira-kira 3,000 tetamu hadir pada majlis itu, yang terbesar setakat ini bagi majlis PKR di Bandar itu.

Mereka yang hadir termasuk Naib Presiden PKR Datuk Seri Dr Jeffery Kitinggan, Ketua DAP Sarawak Wong Ho Leng, bekas anggota Parlimen Sri Aman Jimmy Donald, dan Baginda Minda, bekas ketua publisiti Parti Rakyat Sarawak cawangan Balleh, yang mencetuskan isu dengan kenyataannya mendakwa parti BN negeri yang dominan, Pesaka Bumiputera Bersatu, suka membuli.

No comments: