Nasib baik ada UMNO di Sabah.
Kerajaan berteraskan UMNO, meluluskan peruntukan kira-kira RM30 juta bagi membina sebuah kolej Islam di negeri ini.
Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran berkata, kolej Islam pertama di negeri ini itu akan dibina berhampiran pekan Beaufort bermula awal tahun depan.
Katanya, pembinaan fasa pertama kolej ini yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM5 juta dijangka siap pada 2010.
"Apabila Kolej Islam ini siap, adalah diharapkan pelajar-pelajar keluaran sekolah menengah Islam di seluruh negeri Sabah akan dapat melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi di kolej tersebut tanpa perlu ke luar negeri," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Kamarlin Ombi (BN-Lumadan) pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, cadangan membina bangunan baru sekolah Sekolah Menengah Agama Beaufort telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Katanya, pembinaan bangunan baru sekolah berkenaan akan dibuat secara berperingkat berdasarkan peruntukan yang disediakan.
"Pada masa ini pelan projek telah siap termasuk persiapan-persiapan lain seperti mengatasi masalah-masalah teknikal yang melibatkan tapak bangunan," katanya.
Sementara itu, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) keseluruhan bagi negeri Sabah pada masa ini ialah pada kadar pendapatan RM960 sebulan.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Sairin Karno berkata, berdasarkan laporan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan, kategori miskin tegar di negeri ini pula kini pada kadar pendapatan RM540 sebulan.
Justeru katanya, pada masa ini kerajaan giat menjalankan usaha berterusan bagi mengesan golongan berkenaan dalam usaha meningkatkan pendapatan serta menyalurkan bantuan.
“Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri kini menjalankan bancian isi rumah miskin tegar di seluruh negeri bagi membangunkan pangkalan data e-kasih,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Liew Teck Chan (BN-Likas) pada sidang Dewan Undangan Negeri, di Kota Kinabalu semalam.
Menurutnya, bancian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia itu telah berada di peringkat akhir penyemakan.
No comments:
Post a Comment