Saturday, November 8, 2008

MANA ‘NEGARA KEBAJIKAN’ PAKATAN RAKYAT?

Antara perkara ditekankan Pakatan Rakyat ketika berdepan pilihan raya umum Mac lalu ialah ‘Negara Kebajikan’.

Rakyat dipujuk supaya memilih Pakatan Rakyat kerana ia lebih baik daripada Barisan Nasional (BN)

Namun semalam, ‘negeri kebajikan; Selangor berdepan dengan tunjuk perasaan oleh lebih 3,000 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara dan Lembah Subang.
Mereka kecewa dengan tindakan Kerajaan Negeri Selangor menaikkan kadar sewa kediaman mereka daripada RM124 kepada RM250 sebulan.

Berikutan itu lebih 100 orang mewakili penduduk berkenaan mengadakan demonstrasi di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam semalam membantah tindakan tidak munasabah itu yang berkuat kuasa sejak Ogos lepas.

Mereka juga menyifatkan kenaikan berkenaan sebagai menambah beban kewangan dan tidak selari dengan konsep negeri berkebajikan yang diuar-uarkan oleh pimpinan pembangkang.
Utusan Malaysia memetik Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Kenaikan Sewa PPR Kota Damansara dan Lembah Subang, Johari Nander sebagai berkata, tindakan kerajaan negeri itu tidak wajar kerana majoriti penduduk di dua kawasan berkenaan berpendapatan kurang daripada RM600 sebulan.

Jumlah pendapatan itu, katanya, di bawah garis kemiskinan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan negeri iaitu RM1,500.

"Kami bantah kenaikan kadar sewa ini kerana penduduk di kedua-dua PPR ini terdiri daripada golongan miskin, ibu tunggal, warga emas dan sebagainya.

"Malah, di antara kami menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor untuk meneruskan kehidupan.

"Namun, tindakan kerajaan negeri ini (naikkan kadar sewa) dilihat sebagai tidak prihatin dan tidak mengambil kira bebanan yang ditanggung oleh rakyat terutamanya ketika berhadapan dengan kenaikan kos hidup ketika ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita di hadapan pintu masuk utama pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, tempat demonstrasi itu diadakan.

Selain mengadakan demonstrasi, Johari turut menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri yang diterima oleh Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar, Norzatun Aini Mohd. Kassim pada pukul 10.30 pagi ini.

"Kita mahu kerajaan negeri memikirkan masalah yang kami hadapi dan kekalkan kadar sewa seperti sebelum ini,'' tegas beliau.

Sementara itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad ketika dihubungi berkata, lebih 2,000 keluarga berpendapatan kurang RM1,000 sebulan yang tinggal di PPR Selangor mungkin akan dikecualikan daripada kenaikan kadar sewa rumah berkenaan.

Beliau menambah, selain keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas juga mungkin dikecualikan daripada membayar kadar baru sewa rumah itu.

"Adalah tidak adil untuk kita mengenakan kenaikan ini kepada semua keluarga yang mendiami PPR kerana ada yang tidak mampu dan benar-benar memerlukan bantuan kerajaan negeri.

"Saya telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapatkan maklumat terperinci mengenai PPR ini untuk menentukan status ekonomi mereka sebelum membuat keputusan,'' katanya.

No comments: