Negara memerlukan seorang pemimpin yang berkaliber untuk memerintah, yang mempunyai halatuju dan prinsip untuk memastikan negara terus makmur dan aman.
Umno Kelantan yakin kepimpinan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan dapat mengembalikan kekuatan parti dan mampu mengambil alih kepimpinan lima negeri yang kini diperintah pembangkang.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa berkata kepimpinan Najib bukan sahaja dapat menguatkan perpaduan di dalam parti malahan dapat menyatukan kembali perpaduan pelbagai kaum dalam negara.
"Saya percaya dengan kepimpinan Najib nanti bukan sahaja beliau akan menguatkan parti tetapi dapat merampas kembali negeri yang diperintah oleh pembangkang," katanya.
Berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Ketereh dekat Kota Bharu semalam, Annuar berkata, "Semua pihak perlu memberi sokongan kepada Najib sebagai pemimpin negara selepas ini".
Seramai 390 perwakilan hadir pada pemilihan kali ini dan Annuar berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Ketereh yang disandang beliau sejak 1987.
Di Pekan semalam, Najib melahirkan rasa syukur apabila mengekalkan rekod bersih menang tanpa bertanding semua jawatan yang disandangnya dalam UMNO sepanjang karier politiknya bermula pada 1976.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kemenangan tanpa bertanding bagi jawatan Presiden UMNO setelah melepasi 133 pencalonan minggu lalu merupakan kemuncak kepada rekod bersih tersebut.
Menurutnya, beliau sebelum ini sentiasa berdoa agar tidak berlaku pertandingan bagi jawatan tertinggi UMNO dan mengharapkan proses peralihan kuasa antaranya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berjalan mengikut tradisi UMNO secara tertib, sopan dan tersusun.
''Saya tidak mahu parti berpecah-belah dan saya tidak mahu hubungan saya dengan Pak Lah yang saya begitu hargai, tercalar," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan.
Seramai 597 perwakilan hadir pada persidangan tersebut yang turut dihadiri isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjadi wakil Badan Perhubungan UMNO Pahang.
Dalam ucapannya, Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sanggup berkorban dengan tidak mempertahankan jawatan serta menamakan beliau sebagai pengganti.
Ketua UMNO Bahagian Pekan itu juga sempat menarik perhatian perwakilan apabila mengimbas kembali karier politiknya sebelum menang tanpa bertanding jawatan Presiden minggu lalu.
Menurutnya, karier politiknya bermula selepas beliau kehilangan ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang juga Perdana Menteri kedua pada 14 Januari 1976.
''Saya diselubungi rasa sedih dan pada umur belum cukup 23 tahun, saya berdepan dengan persimpangan jalan yang amat besar, sama ada memilih jalan menawarkan diri untuk dipilih mengisi tempat ayah saya atau menunggu beberapa tahun akan datang, baru menawarkan diri," katanya.
Beliau bagaimanapun mengambil keputusan nekad untuk mengadu nasib sebagai ahli politik walaupun terpaksa melupakan zaman mudanya.
Najib memberitahu, beliau bermula dari bawah dengan memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan selepas memenanginya tanpa bertanding apabila penyandang jawatan melepaskannya atas faktor usia.
''Saya berasa bertuah kerana melalui semua peringkat tanpa pertandingan, saya tidak pernah mencabar sesiapa sehingga menjadi calon Presiden parti," katanya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada bekas-bekas pemimpin UMNO bahagian itu yang juga teman seperjuangan arwah bapanya yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang karier politiknya selama tiga dekad.
Sambil berjenaka, Najib menyifatkan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pekan kali ini berlainan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Misalnya, kata beliau, persidangan bahagian itu kali ini mendapat liputan meluas daripada media cetak dan elektronik selain menjadi tumpuan seluruh negara.
''Dulu, kalau kita bermesyuarat, kita minta sesuatu pun belum tentu dapat tetapi sekarang, tidak minta pun dapat.
''Sekarang ini teman-teman dari luar pun datang, barangkali hendak tumpang gembira atau hendak pastikan nama masuk dalam buku," katanya.
No comments:
Post a Comment