Saturday, November 8, 2008

SIAPA BUAT HAL DI HUTAN SIMPAN SG LEBIR?

Kejadian pencerobohan kawasan hutan berhampiran Hutan Simpan Sungai Lebir yang bersempadan dengan Taman Negara Kuala Koh untuk tujuan pembalakan angkara siapa?

Wujud pertelagahan antara Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan Kelantan (JPK) apabila isu kawasan tidak melebihi 500 hektar perlu mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar.
JAS memandang serius kawasan terbabit kerana berhampiran Taman Negara seperti larangan yang disebut dalam Aktan Kualiti Alam Sekeliling.

Dua hari lepas, Pengarah Perhutanan Kelantan, Wan Yusoff Wan Ahmad, dalam kenyataannya menyebut kelulusan JAS tidak perlu bagi menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan itu kerana keluasannya tidak melebihi 500 hektar.

Tambah Wan Yusoff, kawasan itu yang dibenarkan untuk tujuan kegiatan pembalakan dan lesennya akan dikeluarkan nanti kerana membabitkan tanah rizab milik kerajaan negeri serta keluasanya pula hanya 60 hektar sahaja.

Bagaimana kerja sudah dimulakan sedangkan lesen belum ada?

Oleh kerana JAS Kelantan memandang serius pencerobohan itu dan rakyat mengharapkan perbuatan itu dihentikan segera dan pihak yang membuat onar dikenakan tindakan serius.
Menurut Penolong Pengarah JAS, Rohimi Harun: “Kita bukan hendak mempersoalkan kawasan tidak melebihi 500 hektar perlu mendapat kelulusan JAS tetapi yang kita pandang serius kawasan terbabit berhampiran Taman Negara seperti larangan yang disebut dalam Aktan Kualiti Alam Sekeliling.

"Jabatan Perhutanan Kelantan perlu meneliti semula perkara 6(B) akta itu supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan bagi menyelesaikan isu berkenaan kerana kita ingin mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.

Kegiatan pencerobohan disifatkan seabagai melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling kerana membabitkan kawasan hutan bersempadan Taman Negara dan belum memperolehi kelulusan Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA) untuk sebarang kerja berkaitan.

Rohimi menjelaskan pihaknya sudah menjalankan siasatan rapi selepas menerima aduan berhubung kejadian pencerobohan itu seminggu lalu dan mendapati kerja peringkat awalnya sudah dimulakan termasuk membina jalan dalam hutan dan rumah kongsi pekerja.

Bagaimanapun, beliau mengakui ketika siasatan dijalankan tidak menemui sebarang jentera di kawasan hutan terbabit kerana dipercayai sudah dibawa keluar selepas mengetahui kedatangan pegawai JAS untuk melakukan siasatan.

"Kita menjalankan siasatan perkara itu mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dibawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling 1987 perkara 6(B) yang menetapkan larangan sebarang kerja di kawasan terbabit sebelum mendapat kelulusan EIA," katanya kepada pemberita selepas melakukan siasatan berhubung pencerobohan kawasan hutan berhampiran Hutan Simpan Sungai Lebir, Mukim Relai Daerah Ciku di Taman Negara Kuala Koh, dekat sini semalam.

Bernama memetik Rohimi berkata perkara itu dirujuk kepada sebutan dalam perkara 6(B) yang menyebut kawasan berhampiran Taman Negara, Taman Laut, negeri, hidro elektrik dan kawasan tadahan air yang perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan EIA untuk sebarang kerjanya.

No comments: