Monday, January 16, 2017

Mahfuz Memang ‘Spy’ PAS Dalam Strategi Rapat Dengan UMNO?


Kenapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor,  Datuk Husam Musa yang mengkritik kepimpinan PAS Kelantan mudah dipecat daripada parti?

Tetapi dalam kes bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar parti itu bertindak sebaliknya.

Bukan sekali beliau ‘menentang arus’ malah tindak tanduknya menjadi persoalan kenapa PAS berlembut dengan beliau.

Pucuk pimpinan PAS, jelas terlalu sangat sayang kepada beliau.

Malah dengan terus kekal dalam PAS tetapi sering ‘menyibukkan diri’ dengan berbagai kegiatan Pakatan Harapan (PH) seperti dalam dalam pembentangan Bajet olok-olok PH turut di persoalkan.

Ada yang marah dan meminta Mahfuz agar masuk parti AMANAH. Malah kalau sayang sangat dengan Tun  Dr Mahathir Mohamad, beliau meminta supaya supaya masuk sahaja ‘Parti Cap Bunga Raya’.

Amaran demi amaran diberikan, termasuk oleh Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, termasuk mengatakan PAS akan mengambil tindakan terhadap anggota parti yang didapati menyertai perhimpunan Bersih 5.0 di Kuala Lumpur.

Namun, Mahfuz dengan tidak berselindung dan berani mengatakan bersedia berhadapan tindakan disiplin kerana menghadiri perhimpunan Bersih 5.0 pada 19 November itu.


Mahfuz yang terus bebas turut memboikot ucapan Bajet 2017 oleh Datuk Seri Najib Razak dengan keluar dari Dewan Rakyat pada 21 Oktober lalu.

Ketika undian mengenai Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di peringkat dasar diadakan di Dewan Rakyat pada 7 November lalu, Mahfuz (PAS-Pokok Sena) merupakan satu-satunya wakil PAS yang mengundi menolak RUU itu, yang bertujuan memperuntukkan RM260.8 bilion yang disediakan Bajet 2017.

Mahfuz dilihat rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, malah kadang-kadang beliau dilihat ‘berlebih-lebih’ berbanding pemimpin pembangkang lain, termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang atau Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Kritikan Mahfuz terhadap pemimpin PAS, walaupun  tidak disebut nama secara khusus, namun sebagai ahli, beliau wajar diberikan surat tunjuk sebab apalagi seperti melawan arahan Presiden PAS sendiri.

Mahfuz turut membuat tuduhan terhadap partinbya apabila menganggap  PAS sebagai ‘makan keliling’ di mana pada 25 Disember lalu, beliau membidas PAS menggunakan strtaegi itu yang menyebabkan parti Islam itu dianggap sebagai parti yang oportunis, tidak berprinsip dan tidak boleh dipercayai.

Strategi itu, menurutnya akan menyebabkan rakyat dan ahli PAS akan menjarakkan diri daripada parti itu apabila menyedari PAS hanya mahukan undi mereka untuk dijadikan 'alat tawar menawar' dengan mana-mana pakatan politik yang menang.

Mahfuz turut boikot ucapan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri.
Kemarahan penyokong PAS kepada Mahfuz turut menuduh beliau yang sebenarnya menjadi 'double agent' umpama mempelam harumanis, ‘hijau di luar, oren di dalam’.

Kenapa dibiarkan begitu sahaja?

Apakah Mahfuz sengaja dipasang sebagai ‘pengintip dalam PH  untuk memaklumkan kepada Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional mengenai kegiatan pembangkang?

Mahfuz menjadi ‘spy PAS’ yang akan membolehkan PAS lebih rapat dengan UMNO?

Semalam, yang terbaru Mahfuz mengkritik tindakan partinya yang tidak menghantar wakil ke majlis perasmian Bersatu di Stadium Malawati, Shah Alam, malam kelmarin.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyifatkan, tindakan partinya itu seolah-olah memberi gambaran enggan menjalinkan kerjasama bersama gabungan pembangkang seperti diinginkan rakyat.

“Tidak wajar PAS tidak menghantar wakil mereka pada majlis pelancaran ini kerana masyarakat akan melihat seolah-olah PAS mahu memencilkan diri daripada satu kelompok ‘grand coalition’ dalam kalangan parti pembangkang yang ada ini,” katanya.

Bagi Mahfuz tidak menghantar wakil kepimpinan tertinggi parti adalah langkah yang silap.

Mahfuz mempersoalkan apakah itu menunjukkan ketidaksediaan PAS untuk menjalin apa-apa kerjasama Pakatan Harapan atau dengan Bersatu?

Mahfuz satu-satunya pemimpin PAS yang hadir, meskipun Bersatu dilihat menyediakan beberapa kerusi untuk pemimpin PAS pada majlis itu. Beliau berkata  kehadirannya kerana mendapat jemputan daripada pihak Bersatu.


Beliau mengakui tidak maklumkan kehadirannya kepada kepimpinan PAS.

Berikutan itu, PAS perlu melihat tindak tanduk Mahfuz sebagai menentang arus walaupun beliau menganggap  tidak menjadi kesalahan untuknya menghadiri apa juga program anjuran PH.

Biarpun dikatakan kehadrinnya atas kapasiti  rakyat Malaysia, namun ia bertentangan dengan sikap parti.

Pertanyaan ialah apakah Mahfuz sekali lagi terlepas walaupun kritikannya itu ditujukan kepada pucuk pimpinan?

Jika demikian, apakah keistimewaan yang dinikmati oelh Mahfuz berbanding kes Husam?

Juga apakah keistimewaan itu sebagai memberikan ruang untuk Mahfuz mengumpul maklumat gerakan PH untuk PAS untuk ‘dijual kepada UMNO’ demi ganjaran.

Ganjaran apa? Itu hanya Presiden PAS sahaja yang tahu.

Apapun, semuanya kerana sumbangan Mahfuz yang 'bebas bergerak' tanpa akan adanya tindakan keras seperti ke atas Husam.

No comments: