Showing posts with label Masjid. Show all posts
Showing posts with label Masjid. Show all posts

Saturday, June 3, 2017

Berucap Dalam Masjid - Antara 'Ustaz Kamalanathan' & 'Ustaz Sivarasa'....


Bagaimana mahu melayan tetamu bukan Islam di masjid?

Apakah ada satu peraturan khusus yang disifatkan 'boleh dan tidak boleh’ orang bukan Islam, khususnya pemimpin politik memasuki masjid untuk semua negeri?

Anggota Parlimen Subang, R Sivarasa, kelmarin dihentam malah dikatakan mencemar kesucian masjid semasa menghadiri majlis penyampaian bantuan sempena Ramadan di Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang pada 24 Mei lalu.

Sebaliknya Ahli Parlimen BN, K Kamalanathan boleh pula menyampaikan bantuan dan berucap dalam masjid di Selangor.

Malah sebelum ini, bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat bersama dengan pemimpin bukan Islam dalam masjid.

Dulu boleh, sekarang tidak boleh?

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Haris Kasim  berkata tindakan Sivarasa  itu mengundang kemurkaan Sultan Sharafuddin.

Dilaporkan Sultan Selangor murka dengan wakil rakyat PKR itu kerana menggunakan ruang solat sebagai tempat berpolitik.


Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui setiausaha sulit menitahkan agar JAIS mengambil tindakan terhadap nazir dan jawatankuasa masjid, kata Haris.

Pada 31 Mei lalu anggota parlimen PKR itu juga menyatakan akan menulis surat secara peribadi kepada Sultan Selangor untuk memberikan penjelasan berhubung kejadian di Masjid An Nur itu.

Sivarasa turut menempelak Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana mendakwa dia memberikan ceramah politik di masjid terbabit.

"Saya sudah memberikan penjelasan dan Ku Nan tahu dia mengulangi kenyataan salah," katanya.

Mari sama-sama kita nilai dan berfikir secara terbuka apa yang sebenarnya berlaku. Jika Sivarasa bohong, kita akan mengutuk beliau beramai-ramai:


“Saya ingin membetulkan beberapa laporan media yang telah memberi gambaran tidak tepat saya, pada hari Rabu yang lalu, telah memberi ceramah politik di Masjid An Nur di Kampung Melayu Subang. Ada juga yang lapurkan secara tidak betul bahawa saya hadir sebagai wakil Menteri Besar Selangor.

Saya tidak memberi apa-apa ceramah, khususnya ceramah politik pada malam itu di Masjid An Nur. Perkara ini telah disalahertikan.

Malah saya tidak hadir sebagai wakil Menteri Besar seperti yang dikatakan dalam beberapa laporan media. Saya juga tidak pada bila-bila masa pun diminta untuk mewakili beliau untuk majlis tersebut.

Majlis yang saya hadiri itu adalah majlis pemberian sumbangan kepada surau-surau dan masjid-masjid di kawasan DUN Kota Damansara yang dianjurkan oleh Pejabat Penyelaras DUN Kota Damasara, En Radzlan Jalaludin. Saya hadir selepas dimaklumkan berkenaan majlis penyampaian sumbangan itu.

Penganjur tidak bila-bila pun menjadualkan saya untuk memberi apa-apa ceramah dalam majlis itu. Walaubagaimanapun, sebelum dijemput menyampaikan sumbangan bersama dengan Penyelaras DUN En Radzlan Jalaludin, saya dijemput oleh pengara majlis untuk memberi sepatah dua kata kepada lebih kurang 70 wakil-wakil surau-surau dan masjid-masjid yang akan menerima sumbangan Ramadan. En Radzlan juga telah memberi ucapan ringkas sebelum saya.

Sebagai tetamu yang dijemput memberi sepatah dua kata, tidak elok kalau saya menolak.

Justeru, saya hanya buat ucapan ringkas menyampaikan salam ramadan kareem kepada para hadirin dan menegaskan keyakinan saya kepada komitmen kerajaan negeri Selangor untuk terus bimbing institusi surau-surau dan masjid-masjid di Selangor.

Saya juga berkongsi sedikit pengalaman saya sejak 2008 sebagai Ahli Parlimen berkenaan lawatan-lawatan saya ke surau-surau dan masjid-masjid di kawasan Subang dan macam mana lawatan tersebut telah membantu saya mendalami fahaman saya berkenaan Islam dan masyarakat Islam.
 
Tidak ada apa-apa ceramah politik ataupun ceramah agama yang dibuat dalam majlis penyampaian itu.

Sumbangan yang diberikan malam itu berjumlah RM 71,000 yang diagihkan RM 1,000 setiap surau dan RM 1,500 setiap masjid

Saya hadir sebagai Ahli Parlimen kawasan Subang yang dipilih oleh majoriti pengundi Islam dan bukan Islam. Bagi saya adalah wajar untuk seorang wakil rakyat untuk memberi sokongan penuh kepada institusi agama Islam di kawasan saya.

Itu sahaja yang berlaku.

Oleh kerana isu ini telah disalaherti, dan kerana saya tidak mempunyai sebarang niat pun untuk melanggar arahan dan nasihat DYMM Tuanku Sultan Selangor, maka saya juga akan menulis sepucuk surat peribadi kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor untuk menjelaskan tentang perkara ini.

Sivarasa Rasiah

Ahli Parlimen Subang
31 Mei 2017

Amat nyata bahawa:

1.   Beliau dijemput Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara menyampaikan sumbangan sejumlah RM71,000 untuk diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan parlimen jagaannya.

2.  Buat ucapan ringkas menyampaikan salam Ramadan kepada hadirin dan menegaskan keyakinan beliau  kepada komitmen kerajaan Selangor terus bimbing institusi surau dan masjid di Selangor.

3.  Berkongsi sedikit pengalaman sejak 2008 sebagai ahli parlimen Subang membuat lawatan ke surau dan masjid di kawasan beliau.

4.   Hadir  bukan sebagai wakil menteri besar seperti yang dikatakan oleh beberapa pihak yang salah faham fakta kerana tidak diminta untuk mewakili Menteri Besar Selangor.

Itu sahaja yang berlaku.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata pihaknya telahpun mengadap Sultan Selangor berhubung tindakan Sivarasa, yang didakwa telah bertindak keterlaluan apabila memberi ceramah berkaitan politik di masjid berkenaan.Mohamed 

Mohd Azmin turut menjelaskan bahawa Sivarasa bukan mewakili beliau di majlis berkenaan.

Sebaliknya majlis itu adalah anjuran pejabat anggota parlimen itu sendiri.

Friday, July 1, 2016

YB Bukan Islam Masuk Masjid - Nazir Masjid Berdepan Tindakan Dipecat


Pengerusi sebuah masjid di Selangor mungkin akan dipecat kerana mengizinkan wakil rakyat bukan Islam masuk ke ruang solat masjid itu baru-baru ini.

Malay Mail Online memetik Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kasim sebagai berkata, pengerusi yang tidak dinamakan dalam laporan itu akan dipecat.

Tindakan nazir Masjid Al-Muttaqin Selayang Pandang menjemput Ahli Parlimen Selayang berbangsa Cina dari PKR masuk ke ruangan solat Sabtu minggu lalu menimbulkan pertikaian.
.
Namun William Leong Jee Keen semalam berkata, kehadirannya ke majlis tadarus al-Quran dan sumbangan Aidilfitri anjuran kerajaan negeri adalah atas kapasitinya sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.


Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap sikap sesetengah nazir masjid di negeri ini yang membenarkan rumah ibadat itu digunakan untuk tujuan berpolitik.

Baginda bertitah terdapat ahli politik yang menggunakan masjid di Selangor untuk menjalankan aktiviti politik mereka.

"Apa yang lebih mendukacitakan lagi ialah ahli politik yang terlibat bukannya beragama Islam... ini secara terang-terangan telah menyalahgunakan institusi masjid untuk faedah ahli politik berkenaan. Jika perlu, perkhidmatan nazir yang terlibat hendaklah ditamatkan dan ditukar kepada orang lain," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian semasa merasmikan Masjid Kampung Johan Setia, Klang semalam. Baginda turut berbuka puasa bersama rakyat dan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 295 asnaf, fakir dan miskin serta148 mualaf.

Masjid Kampung Johan Setia yang dirasmikan ini dibina di atas tanah seluas 6.47 hektar dengan kos sebanyak RM8.5 juta serta mampu menampung 2,000 jemaah pada satu-satu masa.

Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin turut menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih bersama penduduk setempat.

Sultan bertitah baginda memandang serius perkara itu dan menitahkan supaya pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meneliti, menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

Dalam kes ini, pengerusi masjid berkenaan dilaporkan mengizinkan Leong ke dalam ruang solat masjid semasa majlis berbuka puasa Sabtu lepas.
Leong nafi memberikan ucapan berbaur politik dan berkata sekadar mengagihkan sumbangan dan mengucapkan jemaah “selamat berbuka”.

Haris memberitahu portal berita itu, pemecatan akan disampaikan kepada nazir terbabit hari ini. Nazir masjid bertugas menyelia operasi harian masjid dan dilantik majlis agama Islam negeri.

Menurut Garis Panduan Penggunaan Masjid dan Surau di Negeri Selangor 2010, bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke ruang ibadat masjid atau surau di negeri Selangor, untuk sebarang aktiviti, menurut laporan itu.


Mereka yang melanggar peraturan itu boleh didakwa di bawah Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) dan boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Sunday, August 21, 2011

Selepas Bob Lokman, Ali Setan Pula Ambil Alih Jadi Maskot PAS

Cucu Tok Selampit, August 19, 2011

Khabarnya, kebanyakan anak khariah Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang mengangkat kaki meninggalkan masjid tanpa terlebih dahulu menunaikan Sembahyang Tarawikh malam semalam. Ini berikutan ketidakpuasan hati mereka dan muak dengan ceramah yang disampaikan oleh Azmil Mustapha atau lebih dikenali dengan nama Ali Setan, kesan dari watak yang dipegangnya di dalam filem era 80an.

Di dalam ceramahnya, Azmil Mustapha, yang beberapa tahun berjinak-jinak dengan PAS, banyak mengkritik dasar-dasar Kerajaan, mengelar Kerajaan sekarang tidak Islamik, mengelar Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai Dasar Ekonomi Bodoh malah menyeru agar Sultan dan Agong agar tidak perlu dihormati.

Inilah ragamnya artis kita. Asal saja "so called" nak bertaubat, masuk parti PAS, kononnya sudah "confirm" dapat pegang kunci syurga. Simpan janggut sedikit, dahi kasi hitam sedikit, pakai lebai, pakai jubah, sudah boleh berceramah di pentas-pentas PAS, surau dan masjid. Tak kisahlah ilmu di dada ada atau tidak. Kalau kita mendengar ceramah Bob Lokman dan Azmil Mustapha, kita akan dapati lebih banyak sampah dari isi di dalam ceramah mereka.

Ambil lagi satu contoh seorang artis wanita yang terkenal agak liar sewaktu remajanya. Sekarang ini sejak bergelar pengacara TV dan berjinak-jinak dengan parti PAS, cakap Islam tak lekang di mulut. Dialah yang hebat, anaknyalah contoh terbaik, itulah inilah. Apabila muncul mengacara rancangan kanak-kanak di TV, ber"make up" tebal malah bulu kening turut dicukur. Inikah ciri-ciri mukmin sejati ala PAS? Beliau tak tahukah bercukur bulu kening hukumnya haram di sisi Islam?

Tidak bolehkah mana-mana artis kita kalau hendak bertaubat sekalipun, ambillah Yussuf Islam contohnya sebagai panduan? Beliau yang dulunya seorang athies bergelar Cat Steven, tidak ekstrem apabila mendalami, mendekati dan memperkembangkan Islam. Malah beliau berdakwah dengan caranya tersendiri iaitu berdakwah melalui muzik nasyidnya yang memuji Allah, Islam dan Baginda Rasulullah SAW. Bagi saya saya lebih tertarik dengan corak dakwahnya yang sebegini.

Dalam kes di atas, nak salahkan 100% kepada Azmil Mustapha pun tak boleh juga. Yang ahli jawatankuasa Masjid yang bijak pandai pergi jemput orang yang tidak berkelayakan siapa suruh. Berpuluh malah beratus lagi ilmuan Islam yang berpendidikan Agama di dalam maupun di luar negeri, sekolah pondok maupun lulusan Al Azhar, yang boleh memberi ceramah dan tazkirah di surau dan masjid.

Apa boleh buat, inilah ciri-ciri Negara Islam gaya Malaysia. Orang-orang bukan Islam bebas masuk keluar Masjid berceramah mempermainkan ayat-ayat Al Quran, orang Islam pula sibuk untuk berbuka puasa di gereja manakala ayat-ayat Al Quran dilarang diperdengarkan secara terbuka di Masjid oleh Majlis Fatwa Negeri pulak tu, kononnya nak menjaga hati kafir harbi. Allahhuakbar.