Friday, July 1, 2016

YB Bukan Islam Masuk Masjid - Nazir Masjid Berdepan Tindakan Dipecat


Pengerusi sebuah masjid di Selangor mungkin akan dipecat kerana mengizinkan wakil rakyat bukan Islam masuk ke ruang solat masjid itu baru-baru ini.

Malay Mail Online memetik Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kasim sebagai berkata, pengerusi yang tidak dinamakan dalam laporan itu akan dipecat.

Tindakan nazir Masjid Al-Muttaqin Selayang Pandang menjemput Ahli Parlimen Selayang berbangsa Cina dari PKR masuk ke ruangan solat Sabtu minggu lalu menimbulkan pertikaian.
.
Namun William Leong Jee Keen semalam berkata, kehadirannya ke majlis tadarus al-Quran dan sumbangan Aidilfitri anjuran kerajaan negeri adalah atas kapasitinya sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.


Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap sikap sesetengah nazir masjid di negeri ini yang membenarkan rumah ibadat itu digunakan untuk tujuan berpolitik.

Baginda bertitah terdapat ahli politik yang menggunakan masjid di Selangor untuk menjalankan aktiviti politik mereka.

"Apa yang lebih mendukacitakan lagi ialah ahli politik yang terlibat bukannya beragama Islam... ini secara terang-terangan telah menyalahgunakan institusi masjid untuk faedah ahli politik berkenaan. Jika perlu, perkhidmatan nazir yang terlibat hendaklah ditamatkan dan ditukar kepada orang lain," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian semasa merasmikan Masjid Kampung Johan Setia, Klang semalam. Baginda turut berbuka puasa bersama rakyat dan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 295 asnaf, fakir dan miskin serta148 mualaf.

Masjid Kampung Johan Setia yang dirasmikan ini dibina di atas tanah seluas 6.47 hektar dengan kos sebanyak RM8.5 juta serta mampu menampung 2,000 jemaah pada satu-satu masa.

Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin turut menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih bersama penduduk setempat.

Sultan bertitah baginda memandang serius perkara itu dan menitahkan supaya pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meneliti, menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

Dalam kes ini, pengerusi masjid berkenaan dilaporkan mengizinkan Leong ke dalam ruang solat masjid semasa majlis berbuka puasa Sabtu lepas.
Leong nafi memberikan ucapan berbaur politik dan berkata sekadar mengagihkan sumbangan dan mengucapkan jemaah “selamat berbuka”.

Haris memberitahu portal berita itu, pemecatan akan disampaikan kepada nazir terbabit hari ini. Nazir masjid bertugas menyelia operasi harian masjid dan dilantik majlis agama Islam negeri.

Menurut Garis Panduan Penggunaan Masjid dan Surau di Negeri Selangor 2010, bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke ruang ibadat masjid atau surau di negeri Selangor, untuk sebarang aktiviti, menurut laporan itu.


Mereka yang melanggar peraturan itu boleh didakwa di bawah Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) dan boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

No comments: