Saturday, November 19, 2016

BERSIH 5.0 ‘Haram’ Kerana 'Tempat Untuk Diadakan Perhimpunan'?


Apa makna  ‘perhimpunan haram’ seperti ditegaskan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh?

Apakah ia ‘haram’ memang kerana perhimpuan seperti BERSIH 5.0  itu menyalahi perlembagaan atau ‘haram’ kerana tidak mematuhi peraturan atau akta tertentu.

Walaupun ada penjelasan malam semalam, namun ternyata banyak perkara masih kabur.

Ia bergantung kepada interpretasi dan pemahaman terhadap akta yang diperkatakan itu.

Tujuan penulisan ini bukan mencabar tindakan polis, sekadar mencari penjelasan atau penjernihan mengenai ‘haram’ yang dimaksudkan oleh Amar Singh itu.

Kata Amar Singh melalui kenyataan semalam, perhimpunan Bersih 5.0 dan badan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) gagal memenuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau mengakui menerima notis daripada Bersih 5.0 pada 28 Oktober  untuk membuat perhimpunan di Dataran Merdeka manakala GNGMM pada 1 November untuk mengadakan perhimpunan di Padang Merbok.

Amar Singh menjelaskan, kedua-dua notis kumpulan ini tidak diproses kerana mereka gagal mendapatkan kebenaran daripada tuan punya tanah/tapak di mana perhimpunan diadakan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur seperti yang telah disyaratkan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Menurut beliau malangnya sampai semalam kedua-dua kumpulan itu tidak dapat mengemukakan cadangan alternatif yang sesuai.

Mengenai perkara yang sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim turut mengakui telah menerima notis perhimpunan daripada kedua-dua kumpulan namun notis tersebut tidak disertakan dengan kebenaran daripada pemilik premis.


Oleh sebab itu, kita tidak dapat memberi kebenaran untuk mengadakan perhimpunan, tegasnya.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘kebenaran daripada pemilik premis’?

Jika menurut keterangan Amar Singh, “ tuan punya tanah/tapak di mana perhimpunan bakal diadakan ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur seperti yang telah disyaratkan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).”

Ini bermakna bahawa Dataran Merdeka dan Padang Merbok itu merupakan tanah/tapak yang dimiliki oleh DBKL.
Dan bagaimana pula dengan cadangan “tempat yang sesuai dan mendapat kebenaran daripada tuan punya” seperti mana kehendak Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012?

Jika di kawasan lain tetapi masih di Bandaraya Kuala Lumpur, apakah ia juga di bawah DBKL atau sebaliknya?

Untuk mengadakan perhimpunan mesti mendapat kebenaran DBKL.

Persoalannya, apakah memang BERIH 5.0 serta Baju Merah diberitahu lebih awal dan memahami perkara ini?

Jawapannya ‘ya’ jika menurut Amar Singh, sampai hari ini kedua-dua kumpulan itu tidak dapat mengemukakan cadangan alternatif yang sesuai.

Malah, dua lagi kumpulan lain yang  dijangka akan turut serta dalam perhimpunan hari ini iaitu kumpulan Baju Putih dan kumpulan Baju Hitam juga gagal mengemukakan sebarang permohonan/notis.

Berikutan itu, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk melaksanakan tangkapan terhadap peserta Bersih 5.0 dan Baju Merah yang melanggar undang-undang ketika menyertai perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di ibu negara hari ini.

Kini semakin nyata, ‘haram’ yang dimaksudkan itu bukan perhimpunan itu sendiri tetapi TEMPAT PERHIMPUNAN yang akan diadakan berdasarkan kepada  Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Berikutan itu, bagi polis, dengan adanya keempat-empat kumpulan ini mengadakan perhimpunan di tempat yang sama, tarikh yang sama dan fahaman berbeza ada kemungkinan besar akan berlaku selisih faham.

Ini akan akan menimbulkan kekacauan pada masa perhimpunan itu bertembung.

"Jadi,kita nasihatkan agar himpunan ini tidak diteruskan setelah mengambil kira isu keselamatan dan ketenteraman awam," kata Amar Singh.

Beliau berkata, polis dengan kekuatan mencukupi akan tetap mengadakan kawalan bagi memastikan keselamatan terus terkawal.

Katanya, pihaknya tidak teragak-agak untuk melaksanakan tangkapan bagi mereka yang menimbulkan kekecohan dan melanggar undang-undang semasa himpunan itu.

Selain itu,  polis turut menegaskan dan melarang penggunaan dron sepanjang perhimpunan itu. Pihaknya sudah menghantar surat kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk tindakan susulan.


Polis menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan perhimpunan haram dan mana-mana kumpulan ini baik kuning, merah, putih dan hitam.

No comments: