Thursday, August 11, 2016

UMNO Terengganu - Kenapa Menteri Besar Tunggu Sampai TPM Arah?


Wartawan selalunya menggunakan perkataan  diminta, dinasihat  atau dicadangkan bagi sesuatu kenyataan permintaan untuk sesuatu  pelaksanaan.

Dan apabila ia disebut DIARAHKAN (ORDERED) , ia adalah  sesuatu yang bersifat keras dan tiada tolak-ansur lagi. Dengan kata lain MESTI dilaksana atau dipatuhi.

Ia sudah diperingkat tegas dan serius dan tidak boleh berdolak-dalik lagi.
  
Jadi, apabila BERNAMA menyebut Menteri Besar Terengganu telah diarahkan supaya merapatkan semula barisan kepimpinan Umno di negeri itu, ia adalah ‘perintah’.

Arahan kepada Ahmad Razif Abdul Rahman semalam ialah bertujuan memperkukuhkan kembali Barisan Nasional (BN) di Terengganu.

Kenapa tunggu sampai keluar arahan sedemikian untuk tindakan menyelamatkan UMNO Terengganu?

Arahan itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan kerana faktor dalaman parti, BN kehilangan kuasa di Terengganu. 
  
"Kita telah ada pengalaman dan tidak mahu mengulangi kesilapan yang menyebabkan hilang kuasa di Terengganu," katanya.  
  
Apakah yang tidak kena sehingga diarahkan sedemikian?

Menurut laporan BERNAMA,   Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah menemui Ahmad Razif malam kelmarin dan mengarahkannya supaya membuat perkiraan politik yang teliti.

Perkiraan politik yang teliti? Apa yang tidak teliti?

Sehingga ini Dr Ahmad Zahid tidak menyebut dengan jelas ‘apa yang tidak teliti’ itu.


Mungkinkah kerana arahan ini semalam Ahmad Razif menyataan kesediaannya berdamai dengan Ahmad Said?

Laporan Berita Harian Online, menyebut Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir tiba-tiba sahaja mengaku bersedia berbincang serta mengambil satu ketetapan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

 "Saya tiada apa-apa isu dengan ADUN Kijal. Jika betul dia bersedia berdamai, saya dengan hati yang lapang dan terbuka sentiasa menghulurkan tangan ke arah perdamaian.

"Segala syarat ditetapkan akan saya penuhi asalkan tidak merugikan kerajaan negeri," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO, di Kuala Terengganu semalam.

 Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan kesediaan Ahmad untuk berdamai, tetapi menetapkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi Ahmad Razif.

Menurut Ahmad Razif, antara syarat ditetapkan Ahmad Said  ialah melantik semula beberapa pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ditamatkan kontrak.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri bersedia memenuhi syarat ditetapkan, asalkan ia tidak membeban dan menjejaskan kerajaan.

"Kita akan tengok semula punca pegawai terbabit ditamatkan kontrak. Jika disebabkan masalah integriti, kerajaan negeri tidak akan berkompromi, tetapi jika pegawai GLC terbabit ditamatkan atas sebab lain, kita akan pertimbangkan," katanya.

Hakikatnya banyak lagi perkara yang disebut oleh Ahmad Said yang selama ini dibiarkan ‘tergantung’ oleh Ahmad Razif yang bukan lagi rahsia kepada rakyat negeri ini.


Berdasarkan kepada kenyataan Dr Ahmad Zahid itu, apakah ini bermakna sebelum ini perkiraan politik yang dilakukan oleh Menteri Besar itu ‘mengikut rasa’, tidak cermat dan ‘kurang teliti’?

Kenyataan keras Dr Ahmad Zahid ini menyerlahkan betapa Ahmad Razif tidak teliti dalam pengurusan dan tindakan yang diambil dalam pentabiran dan keputusan berkaitan UMNO Terengganu.
    
"Dalam perkiraan matematik politik, satu ditolak, kita boleh hilang kesemuanya dan saya telah arah beliau (Ahmad Razif) membuat perkiraan politik secara teliti.

Juga beliau perlu merapatkan kembali saf kepimpinan," kata Timbalan Perdana Menteri itu kepada pemberita di Bali semalam.

Walaupun agak jauh dari bumi Terengganu, dan ketika dalam lawatannya di luar negara, Timbalan Perdana Menteri terpaksa membuat kenyataan sedemikian yang menunjukkan kebimbangan beliau terhadap suasana  politik Terengganu.

Pasti ada yang tidak kena dengan apa yang dibuat oleh Ahmad Razif sehingga Dr Ahmad Zaid menunjukkan rasa tidak puas hati beliau yang sebegitu sekali.
    
Krisis politik di Terengganu dikatakan tegang apabila bekas menteri besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal Datuk Seri Ahmad Said bakal dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno kerana bertindak berlawanan dengan kerajaan pimpinan BN termasuk mengusul undi tidak percaya kepada menteri besar. 
   
Kedudukan kerajaan negeri itu menjadi goyah jika Ahmad Said dikenakan tindakan pecat daripada Umno memandangkan BN memiliki 17 kerusi dalam dewan undangan negeri Terengganu manakala Pas 14 dan PKR satu kerusi.    


Menurut Timbalan Perdana Menteri, semua pihak harus melihat kepentingan jemaah adalah lebih daripada kepentingan peribadi.
  
Beliau juga yakin Ahmad Said mempunyai jiwa yang besar untuk menyelamatkan Umno di negeri itu.

Dengan arahan ini diharapkan percanggahan pendapat serta  konflik antara Ahmad Razif dan Ahmad Said segera selesai.

Demi UMNO, kedua-dua pemimpin sepatutnya menghulurkan tangan untuk berdamai dan mengalahlah di mana tempat yang antara mereka perlu mengalah.

No comments: