Thursday, August 18, 2016

‘TAK TAHU’ Jawapan Mudah MB, MSNT Elak DiPertanggungjawabkan?


Musim sekarang ialah musim TIDAK TAHU.

Sama ada dalam isu rasuah di kementerian-kementerian, penyelewengan serta salah guna kuasa di agensi kerajaan, kes kecurian wang berbilion dalam kes 1Malaysia Development Bank, semua jawapannya TIDAK TAHU.

Tidak terkecuali dalam bidang sukan.

Jawapan mudah untuk mengelakkan diri daripada dipertanggunjawabkan  ialah mengatakan TIDAK TAHU.

Amat malang jika cara TIDAK TAHU ini terus digunakan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mengelak daripada memberi jawapan menmgambil tanggungjawab dan akan siasat sesuatu perbuatan buruk.

Begitulah juga apa yang terjadi dalam kes keluhan Mohd Azizulhasni Awang mengenai permohonnya untuk mendapatkan basikal daripada kerajaan negeri Terengganu.

Semalam Azizul mendakwa Menteri Besar Terenggan tidak membantu membelikan basikal 'roadbike' untuk beliau dan seorang lagi atlet berbasikal, Fatihah Mustafa sebagai persediaan ke Olimpik Rio menerusi laman Facebook 'Jojo Knoxville' sejurus beliau berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara Keirin, kelmarin.

Ahmad Razif...tiada dalam pengetahuan
Jaguh luma basikal bertaraf dunia itu mendakwa proposal dihantar lebih kurang setahun sebelum Sukan Olimpik Rio, malah pihaknya tidak mendapat feedback dan tindakan membisu apabila pengurusnya menghubungi Menteri Besar.

“Untuk pengetahuan Datuk MB, Saya dan Fatehah atlet bertaraf Dunia dan Olimpik ini sentiasa terlepas pandang oleh Datuk MB. Diharap Datuk MB dapat mengambil semua ini sebagai suatu yang Positif dan diharap semua ini akan membuka mata Datuk MB dan orang-orang yang sepatutnya memainkan peranan, “tegas Azizulhasni.

Selepas Menteri Besar, Pejabat Menteri Besar dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengatakan TIDAK TAHU mengenai permohonan Azizulhasni, kini hanya satu pihak yang belum ditanya atau buka mulut.

Beliau ialah EXCO Belia dan Sukan Negeri Terengganu.

Sejauh ini EXCO berkenaan masih membisu walaupun namanya turut disebut oleh Menteri Besar dalam isu ini secara jelas semalam.

Ahmad Razif Abdul Rahman semalam menjelaskan: "Tiada dalam pengetahuan saya..terlepas pandang atau apa, wallahuallam. Setakat hari ini saya tidak tahu menahu mengenai hal ini, yang kedua saya tak kenal siapa pengurus Azizulhasni ini...kita kena dapatkan pengesahan dulu apa sebenarnya cerita ini. Kalau betul perkara ini berlaku, saya rasa amat terkilan.”

"Saya pun tidak tahu cerita ini...saya tidak dapat pengesahan lagi mengenai cerita ini. Saya minta Majlis Sukan Negeri di bawah Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Datuk Rozi Mamat Rozi untuk buat siasatan dan melihat semula perkara ini,” katanya.

Seperti Menteri Besar dan pejabatnya yang ‘TIDAK TAHU’, MSNT menafikan menerima permohonan bantuan basikal daripada jaguh berbasikal negara itu sebagai persediaan untuk beliau menghadapi Sukan Olimpik di Rio, Brazil.


Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu berkata sepanjang pengetahuannya, beliau tidak pernah menerima surat permohonan daripada Azizulhasni malah langsung tidak mengetahui mengenai permohonan itu.

"Saya tidak pasti dan setakat ini saya tidak tengok lagi surat permohonan itu. Nantilah saya dapatkan maklumat dahulu mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif kepada atlet Sukma Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar malam semalam.

Ahmad Razif semalam meluahkan rasa terkilan, sambil  mengarahkan MSNT membuat siasatan lanjut berhubung perkara tersebut dan akan menghubungi jaguh berbasikal trek negara itu bagi mendapatkan penjelasan.


Ahmad Razif mengambil pendekatan positif dengan memohon maaf kepada Azizulhasni sekiranya luahan kekecewaannya di laman sosial Facebook itu benar-benar berlaku.

"Jadi saya tidak boleh komen apa-apa sehingga kita betul-betul mendapat pengesahan dan kita akan buat tindakan apa yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama bakal haji Dewan Undangan Negeri  Kuala Nerus, semalam.

Ibni Amin bagaimanapun maklum bahawa kerajaan negeri telah menyampaikan insentif sebanyak RM5,000 kepada Azizul Hasni yang diambil oleh wakilnya (ibu beliau) kerana berjaya mewakili negara dalam acara sukan berbasikal di temasya Olimpik Rio.

Apa yang jelas daripada isu ini ialah, kakitangan bertanggungjawab sama ada di Pejabat Menteri Besar, di pejabat EXCO atau mana-mana jabatan dan agensi kerajaan hendaklah peka dengan cadangan pihak-pihak yang berpotensi, apalagi yang bertaraf dunia, tidak kiralah dalam bidang apa pun.

Jika ia dilihat membawa sumbangan kepada rakyat, negeri dan negara, jangan memperlekehkan cadangan dan jangan cuba memandai-mandai ‘menyorokkan cadangan tersebut’.

Kini, Menteri Besar dan MSNT mendapat tekanan tidak pasal-pasal kerana kesilapan seseorang atau sekumpulan.

Jawapan TIDAK TAHU mungkin boleh meredakan suasana seketika tetapi orang ramai dan Azizulhasni sendiri pastinya mahu tahu keadaan sebenar.

Jika bersua muka dengan Azizulhasni sekalipun, jika jawapan yang diberikan tidak munasabah, ia tidak akan menjernihkan keadaan.

Cumanya, jangan sampai ada pihak yang dijadikan KAMBING HITAM demi ‘menegaskkan bebang yang basah’ selepas isu ini selepas keluhan Azizulhasni mendapat perhatian dan liputan meluas di Terengganu, negara dan di beberapa negara dunia.

No comments: