Monday, March 22, 2010

SULTAN KELANTAN BERKEMAMPUAN LAFAZ TALAK KEPADA ISTERI KEDUA

Isteri kedua Sultan Kelantan, Cik Puan Elia Suhana Ahmad berasa amat sedih apabila beliau tidak dibenarkan berjumpa dengan suaminya. Beliau berkata demikian selepas selesai kes sebutan semula permohonan pengesahan lafaz cerai oleh Sultan Ismail Petra terhadapnya yang difailkan oleh Rorhana Wan Abd Rahman di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, semalam. – Gambar BERITA HARIAN

Demikian Mahkamah Tinggi Syarikah Kota Bharu diberitahu.

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, didakwa berkemampuan membuat keputusan termasuk melafazkan perkataan cerai talak tiga terhadap isteri kedua baginda, Cik Puan Elia Suhana Ahmad.

Peguam Syarie Zainul Rijal Abu Bakar, yang berhujah di hadapan Hakim Syarie Abdullah Man di Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu semalam, berkata ini berdasarkan keterangan tiga doktor pakar dari Hospital Mount Elizabeth, Singapura melalui surat bertarikh 1 Februari lalu kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

"Berdasarkan kepada surat itu, Baginda Sultan berkemampuan membuat keputusan sendiri," katanya ketika berhujah menafikan dakwaan defendan melalui peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan. Zainul Rijal berkata, Sultan Kelantan didakwa sudah menjatuhkan talak itu kepada Elia Suhana pada 12 Februari lalu.

Beliau juga turut membacakan satu perenggan daripada surat itu yang berbunyi "His Royal Highness (HRH), Sultan of Kelantan Sultan Ismail Petra is currently capable of making his own decision".

Sebelum itu, Fakhrul Azman berkata, pihaknya memfailkan permohonan interlokutori (permohonan dalam permohonan) pada pagi ini untuk membatalkan permohonan lafaz cerai Sultan Kelantan terhadap Elia Suhana yang difailkan seorang wanita, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, sebelum ini.

Beliau berkata, permohonan pembatalan itu menyebut tidak sepatutnya ada pihak ketiga yang membuat permohonan lafaz cerai itu, apatah lagi Nik Rorhana bukanlah suami kepada defendan.
Selain itu, defendan turut memohon satu pemeriksaan kesihatan dilakukan terhadap baginda kerana meragui kedudukan kesihatan baginda yang kini dilaporkan dalam keadaan gering.

Zainul Rijal kemudiannya berhujah mendakwa permohonan membuat pemeriksaan itu tidak relevan, yang sepatutnya perlu dilakukan sebelum berlakunya lafaz cerai oleh baginda.

Beliau kemudiannya berkata, pada prosiding selepas ini, pihak plaintif akan menerangkan secara terperinci mengenai penggunaan pihak ketiga dalam membuat permohonan lafaz cerai itu.

"Pihak kami (plaintif) akan berhujah mengikut undang-undang syariah kenapa pihak ketiga yang membuat permohonan cerai ini," katanya.

Abdullah kemudiannya menetapkan 4 April ini sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan pihak plaintif menerima salinan permohonan pembatalan lafaz cerai itu.

Abdullah juga bersetuju supaya kes itu didengar bersama tuntutan defendan yang meminta pihak Istana akur terhadap keputusan mahkamah yang sama membenarkan beliau melawat baginda seperti yang diputuskan.

Pada 4 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini membenarkan Elia Suhana secara rasmi melawat Sultan Kelantan selama tiga hari seminggu iaitu dari jam 7 pagi Sabtu sehingga 7 pagi Isnin, namun perintah itu gagal dipatuhi.

Pada 21 Februari pula, mahkamah yang sama mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan dua kakitangan istana yang lain mengapa tindakan tidak boleh diambil kerana mengingkari perintah itu.

Pada prosiding semalam Elia Suhana dan Nik Rorhana turut hadir dan galeri awam mahkamah juga sesak dengan orang ramai yang mahu mendengar kes berkenaan.

No comments: