Showing posts with label istana. Show all posts
Showing posts with label istana. Show all posts

Sunday, May 9, 2010

KRISIS ISTANA KELANTAN SEMAKIN RUMIT

Daripada www.hambali1.blogspot.com

Krisis istana Kelantan kini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain pertama kali di dunia, permohonan habeas corpus difailkan untuk membebaskan pemerintah kerajaan negeri (sultan) daripada ditahan oleh polis.

Najib berharap kemelut yang dilihat semakin meruncing itu dapat diselesaikan dalam konteks keluarga diraja itu.
Kata Perdana Menteri, krisis itu tidak seharusnya menjadi pertikaian terbuka sehingga menimbulkan tuduh-menuduh yang membawa kepada tindakan undang-undang di kalangan kerabat diraja berkenaan.

Namun krisis itu kini bertambah rumit apabila ia membabitkan perundangan apabila peguam yang mewakili Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra pagi semalam memfailkan writ habeas corpus bagi memohon kebenaran untuk membawa baginda keluar dari HUSM di Kubang Kerian, Kelantan, di mana baginda menerima rawatan sejak Selasa lepas.

Langkah itu dilihat sebagai yang julung-julung kali dibuat oleh seorang sultan iaitu memfailkan permohonan habeas corpus untuk membawa baginda keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

Kes ini akan didengar di Mahkamah Khas esok (Isnin).

Mahkamah Khas ditubuhkan pada 1993 untuk mendengar sebarang prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah sesebuah negeri atas sifat peribadi baginda.

Jelas peguam berpengalaman,Raja Aziz Addruse yang mewakili baginda, mengikut peruntukan undang-undang, Mahkamah Khas akan dianggotai oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara. Empat lagi hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta dua hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Dalam notis usul tersebut, Tuanku Ismail Petra selaku pemohon menuntut perintah agar satu writ habeas corpus dikeluarkan oleh Mahkamah Khas dan baginda dibebaskan dengan serta merta. Baginda menamakan Ketua Polis Kelantan; Ketua Polis Negara (KPN); Ketua Pengarah HUSM; Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan; dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga kelima. Turut difailkan adalah afidavit yang diikrarkan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, bagi menyokong permohonan ayahandanya.

Menurut Raja Aziz, permohonan habeas corpus itu difailkan bagi mendapatkan perintah Mahkamah Khas untuk membebaskan Sultan Kelantan yang kini berada di HUSM. ''Pada hemat kami Tuanku berada di bawah tahanan di hospital. Sebab itu kami menuntut pembebasan Tuanku melalui perintah ini (habeas corpus) di Mahkamah Khas,'' ujar beliau.

Jelas beliau, permohonan itu dibuat bukan untuk membolehkan Sultan Kelantan dihantar ke Singapura, sebaliknya ia bertujuan supaya baginda tidak disekat daripada bebas bergerak atau dihadkan pergerakan di hospital dengan kawalan polis. 'Apa yang diberi perhatian pada peringkat ini adalah tidak sepatutnya Tuanku ditahan dan sebaik sahaja Tuanku dibebaskan menerusi perintah mahkamah, sama ada baginda hendak pergi ke Singapura atau tidak, isu yang timbul itu tidak semestinya dibuat melalui permohonan ini.

''Tuanku berhak untuk pergi ke Singapura atau ke mana-mana dengan syarat Tuanku bebas,'' katanya sambil menyatakan pihaknya telah memohon kes itu dibicarakan secepat mungkin berikutan keadaan kesihatan baginda.

Raja Aziz mengetuai barisan enam peguam yang dilantik mewakili Tuanku Ismail Petra. Lima yang lain terdiri daripada Datuk Param Cumaraswamy, Gobind Singh Deo, Datuk Mohd. Haaziq Pillay, Malik Imtiaz Sarwar dan Abdul Rashid Ismail.

Tuanku Ismail Petra dibawa ke HUSM secara mengejut oleh sepasukan anggota polis ketika baginda dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada Selasa lalu untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

Bagi Najib, perkara berhubung rawatan Sultan Kelantan itu sepatutnya dirunding secara kekeluargaan. "Perkara ini sepatutnya dapat dirundingkan antara anak beranak. Itu yang terbaik dan yang paling utama ialah meletakkan kepentingan kesihatan Sultan Kelantan," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan Persekutuan akan campur tangan, Najib menjelaskan, pihaknya tidak berhasrat berbuat demikian kerana ia adalah masalah yang melibatkan kerajaan negeri dan Istana Kelantan.

Namun semalam, peguam yang mewakili Sultan Kelantan telah memfailkan writ habeas corpus bagi memohon kebenaran untuk membawa baginda keluar dari HUSM di Kubang Kerian.
Sultan Kelantan telah menerima rawatan di Wad Diraja HUSM sejak Selasa lepas dengan kawalan keselamatan yang ketat oleh polis dengan hanya ahli keluarga diraja tertentu dibenarkan bertemu baginda.

Putera ketiga Sultan Kelantan, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra mendakwa dalam afidavit berkenaan bahawa kereta baginda telah dikepung oleh 30 lelaki bertopeng yang bersenjatakan mesingan ketika mereka dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Beliau mendakwa lelaki berkenaan mengacukan senjata ke kepala pemandu Sultan, yang kemudiannya diseret keluar daripada kenderaan tersebut.

Sultan Kelantan dijadualkan berlepas ke Singapura untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth Singapura.

Writ itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Khas kira-kira 11.45 pagi semalam menerusi tetuan J.S. Pillay & Mohd Haaziq.

Afidavit bagi menyokong writ itu dibuat oleh Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra, putera ketiga Sultan. Sultan Kelantan dinamakan sebagai pemohon.

Berikutan itu, Mahkamah Khas dijadualkan bersidang Isnin ini untuk mendengar permohonan habeas corpus Sultan Kelantan bagi mendapatkan kebenaran supaya dibawa keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Perkara itu dimaklumkan oleh salah seorang peguam baginda, Datuk Mohd. Haaziq Pillay pada sidang akhbar petang semalam.

Semalam, sebuah panel dengan 10 pakar perubatan yang dilantik oleh Kerajaan Negeri memulakan pemeriksaan kesihatan ke atas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, yang dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini Selasa lepas untuk rawatan susulan masalah jantung.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, kesemua pakar perubatan itu tiba di pagi semalam untuk menjalankan pemeriksaan rapi ke atas Sultan Kelantan.

Beliau berkata, pasukan pakar perubatan itu akan berada di HUSM sehingga laporan status kesihatan baginda selesai dijalankan. Bagaimanapun, Abdul Halim berkata, pihaknya tidak pasti berapa lama pakar perubatan itu akan berada di HUSM.

Menurutnya, pakar-pakar perubatan itu tiba di HUSM kira-kira 3 petang dengan menaiki kenderaan kerajaan negeri.

"Mereka melakukan pemeriksaan untuk mengetahui status kesihatan baginda Al-Sultan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, setelah siap, laporan itu akan diserahkan kepada Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dijangka akan menjawab kandungan afidavit yang difailkan oleh sekumpulan peguam dalam permohonan habeas corpus untuk membawa Sultan Kelantan itu.

Walaupun enggan mengulas lanjut berhubung isu tersebut, beliau berkata: “Saya akan jawab permohonan habeas corpus itu di mahkamah,” katanya kepada mStar semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga enggan mengulas mengenai afidavit berkenaan.
“Saya serahkan perkara ini kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan selanjutnya,” jelas beliau.

POLIS NAFI BERTINDAK KASAR TERHADAP KERABAT DIRAJA KELANTAN

Polis menafikan berlakunya tindakan mengasari anggota kerabat diraja Kelantan yang ingin menziarahi Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Amir Hamzah Ibrahim berkata tidak ada kekasaran yang berlaku seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau diminta mengulas laporan media mengenai kekesalan anggota keluarga diraja kerana pihak polis bersikap kasar dan enggan membenarkan mereka masuk melawat Sultan Kelantan yang menjalani rawatan jantung di HUSM sejak Selasa.

Ayahanda saudara kepada Tuanku Ismail, Tengku Seri Utama Raja, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah dilaporkan berasa dukacita apabila pegawai polis hanya membenarkan individu tertentu untuk melawat baginda.

Amir berkata sejak Sultan Kelantan dimasukkan ke HUSM Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra telah menitahkan agar kawalan keselamatan dipertingkatkan dan sesiapa yang ingin menziarahi Sultan perlu mendapat perkenan Pemangku Raja.

Sehubungan itu beliau berkata hanya lima pelawat sahaja yang dibenarkan melawat tanpa kelulusan daripada Pemangku Raja.

"Dalam senarai kami hanya lima sahaja yang dibenarkan melawat iaitu Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid; Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz Petra dan Tengku Amalin A'ishah Puteri serta dua kerabat terdekat.

"Bagaimanapun itu tidak bermakna ahli keluarga diraja yang lain tidak dibenarkan melawat cuma mereka perlu mendapatkan kebenaran dan titah daripada Pemangku Raja terlebih dahulu sebelum dibenarkan melawat. Kalau sudah ada kebenaran pihak polis tidak akan menghalang," katanya.

Mengenai identiti lelaki yang telah menembak pengawal istana Kelantan pada 1 Mei lalu di Tumpat, Amir berkata lelaki itu adalah seorang warga tempatan dan berusia 40-an.

Polis masih menyoal siasat lelaki berkenaan setelah lelaki itu ditahan polis seminggu yang lalu, katanya.

Pada 1 Mei lepas, Ramli Mohamad, 50, cedera parah ditembak empat das tembakan oleh seorang suspek yang tidak dikenali di Kampung Kok Keli kira-kira 3 kilometer daripada rumah mangsa ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah.

Thursday, May 6, 2010

KRISIS ISTANA - NIK AZIZ ENGGAN ULAS


ZULKIFLI menunjukkan salinan risalah yang mencemarkan nama penjawat awam yang diletakkan dalam peti surat rumahnya di IPD Kota Bharu, semalam.


Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, mengambil pendirian untuk mendiamkan diri daripada memberi sebarang ulasan berhubung perkembangan terkini Istana Kelantan.

Pendirian Nik Aziz itu disampaikan Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari, kepada wakil media yang menunggu, ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, semalam.

“Buat masa ini, Tok Guru (Nik Aziz) tidak bercadang untuk mengulas apa-apa pun, termasuk mengenai keadaan Tuanku (Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra).

Tuanku Ismail Petra kini dalam rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Baginda berada dalam rawatan di situ sejak malam kelmarin dengan diiringi sepasukan anggota polis ke situ, yang memintas kenderaan dinaikinya sejurus keluar dari Istana Mahkota, kira-kira jam 7.15 malam.

Sementara itu, Majlis Belia Kelantan semalam, membuat laporan polis berhubung sebaran risalah menggambarkan lapan penjawat kerajaan dan orang awam di sini, yang digambarkan sebagai Penderhaka Sultan.

Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Kerjanya, Zulkifli Mat Hassan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, kira-kira jam 10 pagi.

Dalam laporannya, Zulkifli mendakwa, menerima risalah bertajuk ‘Penderhaka Sultan? (Lapan Jahanam)’ dalam peti surat rumahnya di Kampung Tok Sadang dekat Badang, kira-kira jam 7.30 pagi semalam. Risalah itu menyiarkan lima kenamaan negeri ini terdiri Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias; Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN), Datuk Ismail Mohd Noor serta peguam, Datuk Shukri Mohamed.

Tiga lagi individu yang terdiri daripada ahli perniagaan sekadar disenaraikan nama mereka tanpa gambar.

Zulkifli berkata, beliau mendapati kandungan risalah itu berniat jahat serta mempunyai unsur fitnah yang boleh mengakibatkan kekeliruan di kalangan rakyat, sekali gus menjejaskan kewibawaan mereka.

Katanya, penyebaran risalah itu bertujuan mengheret penjawat awam ke dalam kancah pergolakan Istana Kelantan dengan niat melagakan mereka dengan kerabat diraja yang mana ia tidak seharusnya berlaku.
“Mereka semua menjalankan tugas seperti yang diamanahkan. Tuduhan dilemparkan terhadap mereka terlalu berat seperti salah guna kuasa, rasuah dan derhaka kepada Sultan.

“Ia boleh dianggap sebagai menghina penjawat awam,” katanya yang berharap polis dapat menjalankan siasatan bagi memastikan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.

SULTAN DILETAKKAN DIBAWAH KAWALAN KETAT

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra bertitah bahawa ayahandanya, Sultan Ismail Petra telah diletakkan di bawah pengawasan polis yang sangat ketat kerana bimbang akan tahap keselamatan baginda berikutan kejadian pengawal istana ditembak di Tumpat, Sabtu lepas.

Tambah Tengku Faris, Ketua Polis Kelantan, Datuk Rahim Hanafi telah diminta supaya menyediakan kawalan keselamatan 24 jam kepada ayahanda Baginda yang sedang menjalani rawatan susulan masalah jantung di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak kelmarin.

Jumaat lalu, Ramli Mohd seorang pengawal istana parah apabila ditembak oleh empat individu yang tidak dikenali dalam satu kejadian dekat Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat, pada jam 12.25 pagi, selepas selesai bertugas di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Mangsa adalah pesara tentera yang berkhidmat secara kontrak sebagai pengawal keselamatan di Istana Mahkota dan Istana Negeri sejak 17 tahun lalu telah dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab III dan masih berada dalam keadaan koma selepas doktor yang merawatnya gagal mengeluarkan peluru yang tertanam di dadanya.

Tengku Muhammad Faris telah mengarahkan Ketua Polis Kelantan segera menyiasat punca berlakunya insiden tersebut.

Tengku Muhammad Faris yang juga Tengku Mahkota Kelantan menambah, sejak kelmarin ayahanda dan bondanya, Tengku Anis Tengku Hamid telah dibawa ke Wad Diraja HUSM dengan iringan ketat polis supaya doktor pakar dapat memeriksa dan memberi pandangan kepada kerajaan negeri untuk rawatan susulan dan tindakan lanjut.

Kenyataan Pemangku Raja Kelantan itu dibacakan oleh Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad di Istana Balai Besar di sini semalam.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak mendengar khabar angin dan laporan dalam blog-blog, sebaliknya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Sultan Kelantan atau pihak yang bertanggungjawab.

"Sebelum pada ini pihak-pihak tertentu juga telah menghalang doktor-doktor pakar dari membuat rawatan susulan dan terapi untuk pemulihan ke bawah Duli Tuanku Al-Sultan," katanya.

Mohd Halim berkata, Tengku Muhammad Faris amat prihatin dan menyayangi ayahanda baginda dan akan berusaha untuk membuat yang terbaik bagi kebahagiaan Sultan yang masih gering dan makanan masih diambil menggunakan tiub untuk makan.

"Kita perlu faham apa yang berlaku adalah urusan keluarga Diraja Kelantan dan segala-galanya adalah takdir Allah dan kita terima seadanya," katanya.

Petang kelmarin, anakanda ketiga Sultan Kelantan, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra pada sidang akhbar di sini berkata beliau bercadang membawa ayahandanya menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Bagaimanapun penerbangan itu tidak dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Sultan Kelantan pada 14 Mei 2009 dimasukkan ke HUSM di Kubang Kerian kerana gering, dan pada 24 Mei 2009 dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura bagi menerima rawatan lanjutan masalah jantungnya dan hanya kembali ke Kelantan pada 3 Mac lepas setelah hampir setahun berada di hospital itu.

Abdul Halim berkata Sultan Kelantan telah dibawa ke HUSM semalam dengan iringan ketat polis dan ditempatkan di Wad DiRaja supaya doktor pakar dapat memeriksa dan memberi pandangan kepada Pemangku Raja dan kerajaan negeri untuk rawatan susulan dan tindakan lanjut.

"Sebelum pada ini pihak-pihak tertentu juga telah menghalang doktor-doktor pakar dari membuat rawatan susulan dan terapi untuk pemulihan ke bawah Duli Tuanku Al-Sultan," katanya.

Menurut pegawai-pegawai Istana, Sultan Kelantan akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur petang esok dengan pesawat kerajaan untuk menerima rawatan susulan.

Wednesday, March 24, 2010

ISTANA KELANTAN DIKAWAL RAPI 30 MAC


Siapakah yang nak ‘bertikam keris’ di Istana Kelantan pada 30 Mac ini?

Apakah akan ada episod seperti ‘Tuah dan Jebat’?

Kalau tidak tak kanlah polis mahu meningkatkan kawalan keselamatan di Istana Kelantan.

Kata polis ia bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku semasa sambutan Hari Keputeraan Ke-60 Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra yang dijadualkan berlangsung pada 30 Mac ini.

Kejadian tidak diingini? Apakah itu? Polis sudah dapat mengesan kemungkinan-kemungkinannya?

Antara siapa?

Di Kelantan kini jelas ada tiga pihak ‘sedang bertelagah’.

Pertama antara dua putera Sultan Kelantan; kedua antara dua isteri Sultan Kelantan; dan ketiga antara dua ‘pegawai’ istana yang mendakwa mereka adalah pegawai penting Sultan Kelantan.
Yang mana satu ni?

Atau rakyat yang akan menyerbu istana?

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata arahan berhubung perkara itu telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Kelantan Datuk Abd Rahim Hanafi supaya persiapan rapi sepanjang istiadat penganugerahan darjah kebesaran itu berjalan secara aman dan tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

"Kawalan keselamatan akan dipertingkatkan di semua jalan menuju ke istana dan kawasan sekitar. Arahan untuk dipertingkatkan kawalan keselamatan itu telah dititahkan oleh Pemangku Raja Kelantan (Tengku Muhammad Faris Petra) dalam satu perintah bertulis bertarikh 20 Mac lepas," kata Musa kelmarin.

Beliau berkata beberapa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di luar perkarangan istana dan beberapa kawasan lain berhampiran Istana Kelantan pada hari sambutan itu nanti.

Kelmarin, Istana Kelantan memaklumkan akan meneruskan tradisi penganugerahan darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata majlis diadakan atas perkenan Pemangku Raja. Pemangku Raja boleh melaksanakan kurniaan itu seperti kuasa diperuntukkan mengikut Perlembagaan Kerajaan Kelantan.

Jumaat lalu, akhbar tempatan melaporkan Sultan Kelantan menitahkan semua acara sempena Hari Keputeraan Ke-60 baginda tahun ini tidak dilangsungkan termasuk pengurniaan gelaran, darjah dan pingat kebesaran.

Titah perkara itu disampaikan menerusi Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mengaku Setiausaha Sulit baginda di Istana Mahkota Kelantan.

Menurut laporan itu, Wan Hashim berkata surat memaklumkan keputusan yang diambil baginda itu sudah dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Feb lalu dan perkara yang sama juga turut disampaikan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan.

Arahan keselamatan ini sedikit mengejutkan kerana seolah-olah akan ada sesuatu atau kemungkinan tertentu akan berlaku.

Apapun kita berdoa Istana Kelantan dilindungi sebarang masalah dan berharap Sultan Kelantan akan cepat sembuh.

Segala-galanya dijangka akan baik dan terurus semuanya apabila Sultan Kelantan kembali sihat.