Wednesday, August 25, 2010

MESYUARAT JAWATANKUASA EKSEKUTIF PUSAT DAP ESOK PANAS...

Oleh Alan Ting (Bernama)

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang akan diadakan esok dijangka panas.

Cakap-cakap pada masa ini adalah beberapa anggota CEC dikatakan berkeras mahu tindakan lebih tegas dikenakan terhadap Exco Selangor Ronnie Liu berhubung isu surat sokongan yang menjadi kontroversi.

Sumber-sumber parti menyatakan bahawa isu Liu tidak diselesaikan pada mesyuarat CEC yang diadakan dua minggu lepas, dan kini wujud keresahan di kalangan anggota parti yang mahukan perkara itu dibincangkan sekali lagi.

"Saya fikir sebab itulah CEC bermesyuarat lagi. Agak luar biasa untuk bermesyuarat lagi dalam tempoh dua minggu. Saya terkejut mereka tidak menyatakan sebagai mesyuarat luar biasa. Saya fikir mereka mahu tindakan diambil," satu sumber parti memberitahu Bernama di sini pada Rabu.

Parti ini kini berhadapan dengan kontroversi yang mencalarkan imej parti apabila ahli Majlis Perbandaran Klang dan bekas pembantu Liu, Tee Boon Hock dipecat daripada parti berhubung salah guna kepala surat DAP milik Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan.

Jawatankuasa Disiplin parti turut menegur dengan keras Liu kerana tidak menguruskan pejabatnya sebagaimana diharapkan orang ramai.

Mesyuarat CEC lazimnya diadakan sekali sebulan.

Namun, beberapa anggota CEC menganggap mesyuarat pada Khamis adalah satu mesyuarat biasa yang perlu diadakan, khususnya bagi membincangkan situasi politik negara.

"Ia hanya satu mesyuarat biasa, tiada apa yang istimewa. Jangan spekulasi, anda mungkin salah," kata Bendahari DAP Fung Kui Lung ketika dihubungi.

Ketua Publisiti parti, Tony Pua, berkata notis mengenai mesyuarat esok telah dikeluarkan minggu lepas. Beliau berkata ia mungkin berkaitan dengan situasi politik semasa.

"Saya tidak sedar jika ada sebarang isu khusus tetapi biasanya, pada mesyuarat seumpamanya, anggota bebas untuk membangkitkan apa jua isu," katanya.

Naib Pengerusi DAP dan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Tan Kok Wai mengesahkan mesyuarat itu dan kes Tee kemungkinan besar dibincangkan.

"Ia adalah suatu yang biasa bagi kami bertemu lagi kerana tempoh 14 hari rayuan Tee terhadap pemecatannya akan tamat pada masa itu," katanya.

Namun, beberapa anggota CEC berkata mereka menjangkakan akan berhadapan dengan kritikan tajam daripada rakan-rakan mereka semasa mesyuarat itu kerana membincangkan isu Liu secara terbuka di media dan apa yang berlaku semasa mesyuarat CEC lepas.

"Saya fikir kami akan berhadapan dengan kritikan pada mesyuarat ini. Namun, kami bersedia dan terbuka untuk kritikan dan pandangan mereka," kata anggota CEC Jeff Ooi.

Anggota Parlimen Jelutung itu bersama penasihat parti Chen Man Hin dan Speaker Selangor Teng Chang Khim telah membincangkan isu itu di media, menyebabkan keresahan di kalangan beberapa pemimpin.

Pengerusi DAP Karpal Singh telah mengeluarkan arahan menyekat semua anggota parti daripada mengulas isu itu kerana ia adalah hal dalaman parti dan perlu diselesaikan dalam parti.

No comments: