Wednesday, August 19, 2009

USAH MELATAH DENGAN KENYATAAN NIK ABDUL AZIZ

Utusan Malaysia

SEPERTI biasa setiap kali tiba pilihan raya, tidak kiralah 'pilihan raya kecil atau pilihan raya besar' ada sahaja kenyataan kontroversi daripada para pemimpin Pas.

Kelmarin, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat muncul dengan kenyataan politik berbau agama yang mungkin dianggap 'fatwa' oleh para penyokongnya.

Di Permatang Pasir, Nik Aziz berkata: 'Para penyokong UMNO tidak akan masuk syurga.'

Sebabnya parti UMNO mengamalkan ajaran Islam palsu!

Nik Aziz mungkin seorang 'Tok Guru' atau ulama besar Pas tetapi bukan 'bidang tugasnya' untuk melabelkan 'orang ini masuk syurga dan orang ini masuk neraka.' Itu kerja Allah SWT. Nik Aziz sendiri tahu soal syurga dan neraka adalah hak dan kuasa Allah seperti yang dinyatakan dalam al-Quran.

Seperti kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, tiada nas al-Quran dan hadis mensyaratkan seseorang itu perlu menjadi ahli sesebuah parti sebelum dijanjikan syurga.

Menurut Harussani, syurga itu hak Allah dan ia dijanjikan Allah hanya untuk mereka yang beriman dan bertakwa kepada-Nya.

Malah Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib sendiri berbeza pandangan berhubung isu itu.

Harun berpendapat, peluang masuk syurga adalah urusan dan keizinan Allah dan ia tidak semestinya bergantung kepada mana-mana parti yang disertai.

Menurutnya, umat Islam yang sentiasa mengamalkan kebaikan, bertakwa selain ikhlas mematuhi segala ajaran Islam, mereka akan masuk syurga dengan izin Allah.

Melihat kepada senario politik semasa, kita semua harus faham kenapa Nik Aziz mengeluarkan beberapa siri kenyataan kontroversi sedemikian.

Setelah kehilangan begitu banyak sokongan berdasarkan kepada keputusan pilihan raya kecil di Manek Urai bulan lalu, Nik Aziz perlu melakukan sesuatu agar perkara yang sama tidak berulang di Permatang Pasir.

Satu caranya ialah dengan memburuk-burukkan UMNO dengan harapan pengundi memilih Pas. Demi kepentingan politik, Menteri Besar Kelantan itu banyak 'menghalalkan' tindak-tanduk segelintir pemimpinnya serta rakan dalam pakatan pembangkang walaupun Dewan Ulama Pas sendiri tidak senang dengan tindakan itu.

Minggu lalu Mursyidul Am Pas ini mengeluarkan kenyataan tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.

Dendam dan marahnya pada UMNO tidak pernah berakhir. Ia dapat dilihat daripada beberapa kenyataan beliau sebelum ini.

Jika dilihat pada senario politik semasa khususnya di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, Pas tidak ubah seperti 'melukut di tepi gantang.'

Peranan dan suara Pas bukan sahaja tenggelam malah tidak diendahkan sama sekali.

Lihatlah dalam isu-isu berkaitan, penjualan arak dan pembinaan kuil di kawasan penempatan orang Melayu/Islam di Shah Alam.

Suara-suara penentangan Pas tidak dipedulikan malah dianggap sekadar 'suara-suara sumbang' sahaja.

Tidak hairanlah beberapa polisi yang tidak disukai Pas diteruskan juga oleh kerajaan negeri Selangor.

Pas sekadar 'makan hati' melihat apa yang berlaku kerana sudah kehilangan 'taring'.
Melihat kepada rentetan kenyataan-kenyataan kontroversi yang dicipta Nik Aziz, kita tidaklah perlu terkejut kalau sehari dua ini lebih banyak lagi kontroversi seumpama itu keluar daripada mulutnya!

1 comment:

faizal said...

SEBELUM BERPUASA PERBETULKAN AKIDAH IAITU ISLAM ADALAH CARA HIDUP DAN AJARAN.

BUKAN HANYA IBADAH DAN AGAMA.

ISLAM UNTUK SEMUA TANPA MENGIRA BANGSA DAN KAUM.MELAYU TAK SEMESTINYA ISLAM.ISLAM TAK SEMESTINYA MELAYU.

ISLAM HANYA PINJAMAN DAN BOLEH TERBATAL BILA-BILA MASA.(dgn perbuatan,petuturan,niat)ISLAM ITU TIDAK KEKAL KECUALI ORANG YANG MENJAGA APA ITU ISLAM.

SEPOTONG HADIS UNTUK EMPUNYA BLOG DAN PEMBACA SEMUA AGAR RENUNG-RENUNGKAN HADIS TERSEBUT.

Sabda Rasulullah SAW:

Bukanlah daripada golongan kami (golongan umat Islam) barangsiapa yang menyeru kepada perkauman,

dan bukanlah daripada golongan kami (golongan umat Islam) barangsiapa yang berjuang demi kerana perkauman,

dan bukanlah daripada golongan kami (golongan umat Islam) barangsiapa yang mati kerana perkauman.
-Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan An-Nasa'ie.

SEMOGA ANDA MASIH KEKAL SEBAGAI ORANG ISLAM