Tuesday, November 11, 2008

PUSAT LATIH KESEDAR UNTUK BELIA

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan membina sebuah pusat latihannya yang serba lengkap di Taman Etnobotani Gua Musang bernilai RM7 juta awal tahun depan.

Pengerusinya Datuk Ramzi Ab Rahman berkata pembinaan pusat latihan itu bukan sahaja untuk kakitangan agensi berkenaan mengadakan kursus, tetapi juga untuk kemudahan bagi belia dan peneroka Kesedar mengikuti pelbagai latihan serta kem motivasi.

“Langkah itu sekali gus menjimatkan perbelanjaan Kesedar kerana selama ini kami mengadakan program berkenaan di merata tempat termasuk luar Kelantan,” katanya di Kuala Krai semalam.

Sementara itu Ramzi yang berjaya mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai semalam, berkata Kesedar mengatur pelbagai program bagi membaiki tahap hidup golongan sasar di Kelantan Selatan termasuk penduduk kampung tradisional dan peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT).

Katanya program-program berkenaan bertujuan membantu golongan itu menambahkan pendapatan selepas harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit jatuh semula sejak beberapa bulan lepas.

“Peluang terbaik bagi golongan itu mengatasi masalah tersebut ialah dengan menceburi di bidang ternakan dan perniagaan yang mampu mengembalikan pulangan lumayan.

“Kami menyediakan peruntukan untuk membantu golongan terbabit menceburi bidang-bidang itu seperti di Kuala Krai, kami menyediakan RM1.4 juta untuk tujuan itu dengan kadar RM10,000 seorang,” katanya.

Sementara itu Kesedar juga mengeluarkan bantuan sebanyak RM2.22 juta kepada 232 orang peserta Program Kesejahteraan Rakyat (SPKR) pada tahun ini.

Ramzi berkata, bantuan tersebut diagihkan mengikut jenis permohonan dan aktiviti ekonomi peserta yang telah dikenal pasti dalam usaha meningkatkan pendapatan sekali gus mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan.

Katanya, bantuan tersebut diberikan mengikut jenis aktiviti ekonomi yang dipohon oleh peserta seperti pertanian, ternakan, kedai runcit, kedai jahit dan sebagainya.

''Kesedar akan terus menyalurkan bantuan ini bagi memastikan ia dapat membantu hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan sepenuhnya menjelang tahun 2010 nanti," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Pada masa ini, Wilayah Kuala Krai mempunyai 965 peserta SPKR yang masih berada di bawah garis kemiskinan dan usaha dilakukan secara berterusan bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Ramzi berkata, bagi memastikan bantuan tersebut digunakan sebaik mungkin oleh peserta, Kesedar sentiasa membuat pengawasan dan pemantauan berterusan terhadap setiap peserta.

Katanya, pemantauan tersebut dilakukan untuk memastikan peserta menggunakan bantuan untuk tujuan memula atau mengembangkan perniagaan masing-masing dan bukannya untuk tujuan lain.

''Kita amat berharap segala usaha ini akan dapat dicapai dan mendapat kerjasama serta komitmen daripada peserta SPKR itu sendiri," katanya.

Seorang peserta SPKR yang menerima bantuan di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Siti Khaziah Jusoh, 51, melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada berpeluang mengembangkan perniagaan kedai runcitnya di kampung Manjor, dekat Kuala Krai.

Sebelum ini, Siti Khaziah hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan untuk menampung kehidupan keluarga selain menoreh.

Siti Khaziah memberitahu, dia merupakan seorang ibu tunggal dan telah memohon bantuan berkenaan pada 2006 lalu dan menerima sebanyak RM5,000.

''Sebahagian kecil daripada bantuan saya gunakan untuk membaiki kedai yang sudah uzur dan selebihnya untuk menambahkan modal pusingan iaitu membeli barangan," katanya.

No comments: