Monday, October 27, 2008

HUTANG KERAJAAN KELANTAN TERUS TINGGI

Wakil Barisan Nasional Datuk Noor Zahidi Omar berkata, adalah menghairankan apabila bajet kerajaan negeri Kelantan dimaklumkan peruntukan yang tidak pernah cukup sedangkan Kelantan kaya dengan hasil yang boleh memberi keuntungan kepada negeri.

Katanya, rakyat Kelantan terus "digula-gulakan" seperti Ladang Rakyat yang belum lagi ditanam dan mendatangkan hasil tetapi sudah diberikan dividen.

"Saya ingin bertanya adakah hasil penebangan balak untuk tanaman ladang rakyat itu dimasukkan ke dalam hasil wang yang disatukan," katanya.

Noor Zahidi (BN-Pengkalan Kubor) juga mempersoalkan skim penanaman getah klon balak di hutan simpan sama ada di hutan simpan itu tidak mempunyai balak atau sebaliknya.

"Apa yang dikhuatiri penanaman klon getah ini akan menjadi seperti penanaman sentang yang akhirnya perkara ini tidak berlaku," katanya.

Kerana itu Bajet Kelantan yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan (DUN) Kelantan semalam tidak mampu akan menjana peningkatan hasil kerajaan negeri yang terus menyaksikan jumlah hutang Kelantan terus tinggi.

Timbalan Ketua Pembangkang di Dun Kelantan itu berkata bajet yang bertemakan "Bajet Berimbang" itu sebenarnya langsung "tidak berimbang" dan banyak merugikan kerajaan Kelantan.

“Hutang awam Kelantan kini sudah melebihi aset iaitu sebanyak RM326 juta tahun lalu akan terus meningkat pada masa depan dan jika tidak ada usaha untuk berbuat sesuatu keadaan hutang Kelantan semakin membimbangkan.

"Titah Sultan Kelantan juga harus diambil kira apabila menegur ada beberapa hasil kerajaan negeri yang tidak dimasukkan dalam hasil wang yang disatukan," katanya ketika membahaskan Bajet 2009 itu.

Kerajaan Kelantan hari ini membentangkan bajet defisit bagi 2009 dengan anggaran hasil yang diperolehi sebanyak RM339.98 juta berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM360.26 juta.

Walaupun kerajaan negeri menjangkakan jumlah defisit pada 2009 sebanyak RM20.28 juta, jumlah itu bagaimanapun berkurangan berbanding defisit bajet 2008 sebanyak RM23.73 juta.

Bajet itu dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa (PAS-Salor) berikutan keuzuran Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Noor Zahidi berkata Beliau juga hairan mengapa kerajaan negeri memperuntukkan kos yang begitu tinggi untuk menyelenggarakan sekolah agama seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) sebanyak RM40 juta.

Katanya jika sekolah-sekolah agama itu diserahkan kepada kerajaan Pusat untuk ditadbir, kerajaan negeri akan dapat menjimatkan perbelanjaan.

"Sekolah YIK ini kebanyakannya sangat daif dan memerlukan peruntukan besar untuk menyeliakannya," katanya.

Menurutnya kerajaan negeri juga boleh menjimatkan lagi perbelanjaan dengan membenarkan kerajaan Pusat membina laluan bertingkat landasan keretapi di Pasir Mas.

Katanya, tidak ada faedah untuk kerajaan negeri berlumba-lumba membina laluan bertingkat itu sedangkan tidak mampu untuk berbuat demikian.

Beliau juga menyelar bajet itu meminggirkan terus manifesto PAS pada pilihan raya umum lalu seperti tiadanya tabung untuk peniaga wanita.

Sementara itu di luar dewan, ketua pembangkang Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) meminta kerajaan negeri supaya tidak memasukkan peruntukan pemberian baja sebanyak RM2 juta dalam bajet berkenaan.

Katanya kerajaan Pusat telah memberi baja kepada semua petani di Kelantan tanpa mengira fahaman politik dan peruntukan kerajaan negeri itu boleh disalurkan kepada perkara lain.

"Kerajaan negeri juga tidak melaksanakan manifesto PAS untuk memberikan cuti bersalin kepada 90 hari dan pembinaan kompleks sukan untuk wanita," katanya.

KERAJAAN PAS MEMANG TIDAK MAMPU

Cakap memang senang tetapi mahu melaksanakannya bagaimana?

Itulah janji Kerajaan Pas Kelantan kepada rakyat.
Semalam pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, dua kes jelas menunjukkan bagaimana Kerajaan Kelantan tidak mampu melaksanakan janji dan amanah yang diberikan.
Tidak usah pergi jauh. Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebelum mini sana-sana mencanang cadangannya untuk memberikan cuti bersalin selama 90 hari berbanding 60 hari sekarang.

Kononnya kerajaan negeri prihatin kepada wanita yang melahirkan anak. Selain itu ia bagi membolehkan kakitangan terbabit menguruskan diri dan menjaga anak dengan sempurna semasa bersalin.

Ketika ini kerajaan negeri melaksanakan pemberian cuti bersalin selama dua bulan yang terhad kepada lima kali bersalin bagi setiap kakitangan wanita.
Untuk kempen pilihan raya dan memenangi hati rakyat supaya mengundi Pas memang mudah dilakukan.

Ternyata ia sukar dilaksanakan.

Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob mengakuinya apabila berkata Kerajaan Negeri Kelantan masih mengkaji cadangan pemberian cuti bersalin selama 90 hari berbanding 60 hari sekarang.

Ini kerana perkara itu memerlukan perancangan teliti kerana ia membabitkan prosedur Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Akta Pencen 1980.

"Kerajaan negeri mendapati melalui Akta Pencen itu akan menjejaskan skim tersebut kepada kakitangan terbabit jika dilaksanakan," katanya ketika menjawab soalan Mat Yusoff Abd Ghani (BN-Nenggiri) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Pada persidangan DUN Kelantan kali ini, isu penjualan Hotel Perdana oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) kepada Perbadanan Nasional Berhad (PNB) juga dipersoalkan.

Penjualan itu pernah dibangkitkan pada sidang lepas seolah-olah Pas mahu menggunakan mudah tunai dengan cepat dan jalan paling baik ialah menjual ‘harta kerajaan negeri’.
Nasib baik ia dijual kepada syarikat milik kerajaan Barisan Nasional. Bagaimana kalau jatuh ke tangan orang asing?

Namun dalam jawapannya kerajaan negeri berkata, ia menjual hotel berkenaan untuk menjadikan industri perhotelan di negeri itu terus berkembang pesat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata PNB mempunyai kemampuan untuk membangunkan industri perhotelan seperti yang dilakukan syarikat itu sebelum ini.

"PKINK memerlukan suntikan besar untuk membangunkan Hotel Perdana yang bidang perhotelan ini bukan merupakan perniagaan teras PKINK dan sebab itu kita yakin dengan PNB untuk membangunkannya.

"Kita telah meletakkan syarat hotel baru itu nanti mestilah berimej Islam," katanya ketika menjawab soalan Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga).

Hotel itu telah dijual kepada PNB membabitkan kos sebanyak RM24 juta dan telah membayar pampasan sebanyak RM4.1 juta kepada 130 kakitangan hotel itu dan kakitangan terbabit telah diberikan jaminan akan diambil bekerja semula selepas kembali beroperasi yang dijangka pada penghujung tahun depan.