Showing posts with label Letak Jawatan. Show all posts
Showing posts with label Letak Jawatan. Show all posts

Wednesday, November 25, 2015

ADUN DAP Sokong Usul UMNO Letak Jawatan Dalam Parti…

Kontroversi dalam politik Pulau Pinang belum berkesudahan.
Hari ini parti pemerintah negeri itu, DAP dikejutkan dengan perletakan jawatan sebagai setiausaha organisasi DAP Pulau Pinang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Pulau Pinang Teh Yee Cheu.

Letak jawatan secara sukarela atau dipaksa?

DAP Pulau Pinang yang dipimpin Lim Guan Eng, dikritik kerana tidak membenarkan ADUN mereka membuat undi berdasarkan pandangan peribadi dan kepentingan rakyat.
Dia berbuat demikian  selepas menyokong usul yang dibawa Barisan Nasional (BN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Teh sebelum ini memohon maaf kerana mengundi menyokong usul itu pada sidang media selepas persidangan DUN.

Dalam surat peletakan jawatannya, Teh  memaklumkan dia memutuskan untuk meletak jawatan ekoran sokongan beliau kepada usul UMNO tentang penambakan laut dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang 20 November lalu.

Teh juga berkata beliau bersedia menerima tindakan disiplin partinya.

Usul yang disokong Teh asalnya dibawa Adun BN, Muhamad Farid Saad yang meminta kerajaan negeri membuat pendengaran awam terhadap projek penambakan laut.

Farid juga menuntut projek baharu penambakan laut digantung sehingga kajian lanjut dijalankan bagi memastikan tiada kesan buruk ke atas alam sekitar disebabkan projek tersebut, serta membatalkan projek yang membawa kesan negatif kepada alam sekitar.

Usul ini ditolak selepas gagal mendapat sokongan majoriti. Hanya 10 Adun menyokongnya – 9 daripada BN dan seorang daripada DAP, manakala 23 dari Pakatan Harapan menentangnya.

Namun 5 ADUN daripada PKR tidak mengundi, tindakan yang menyebabkan kontroversi dalam kerajaan negeri dan menjejaskan hubungan DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan.

Lima Adun PKR yang tidak mengundi adalah Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Lee Khai Loon (Machang Bubuk), Dr T Jayabalan (Batu Uban) dan Dr Norlela Ariffin (Penanti).

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil semalam menjelaskan, partinya berpuas hati dengan penjelasan 5 ADUN  tersebut.

Fahmi berkata, undi berdasarkan pandangan peribadi adalah biasa dalam dunia demokrasi dan sepatutnya digalakkan.

Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow juga mempertikaikan kenapa mereka tidak membahaskan usul itu jika mereka mahu menyampaikan pandangan mereka.

Semalam Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo menuntut Teh memohon maaf dan mengatakan ia boleh dijadikan faktor rayuan dalam hukuman terhadapnya.

Beliau bagaimanapun berkata, Pulau Pinang membenarkan ADUN memberikan pandangan mereka dan tidak akan menghalang mereka daripada memberikan pendapat, namun berbeza apabila mengundi dalam hal pentadbiran.

"Apabila datang pengundian dalam isu pentadbiran, mereka patut bersama kerajaan negeri," katanya.

Peletakan jawatan Teh daripada jawatan itu berkuatkuasa 23 November.

Semalam, Lim berkata lima ADUN PKR yang berkecuali sewaktu undian terhadap usul wakil rakyat BN dalam isu tebus guna tanah pada persidangan DUN Jumaat lepas tetap kekal sebagai ADUN kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berkata walaupun tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan terjejasnya keyakinan kerajaan negeri terhadap lima ADUN berkenaan dan seorang wakil rakyat DAP Teh Yee Cheu yang menyokong usul itu, namun tugas mereka sebagai ADUN Pakatan Harapan berjalan seperti biasa bersama dengan peruntukan kerajaan di kawasan masing-masing.

"Kerajaan negeri akan menilai peranan dan prestasi mereka dalam tugas-tugas yang melibatkan tugasan pentadbiran kerajaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Lim semalam ketika mengulas usul Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang mencadangkan semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum, semasa persidangan itu, menegaskan  perkara itu memang sudah menjadi kewajipan undang-undang yang tercatat dalam undang-undang kerajaan persekutuan.

"Jika gagal melaksanakannya, ia bererti tebus guna tanah tidak boleh dilakukan. Kerajaan negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak pernah lari daripada tanggungjawab untuk mengadakan rundingan awam atau pertemuan dewan orang ramai. Jadi memang tidak ada isu berbangkit dalam hal ini," katanya.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata tindakan menyokong atau mengambil sikap berkecuali terhadap usul yang dibentangkan itu akan menyebabkan kerajaan DAP Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan terhadap penangguhan tebus guna tanah yang boleh membawa kepada bankrap.

"Walaupun BN telah meluluskan 3,241 ekar (1311.59 hektar) tanah untuk tebus guna tanah, hanya 744 ekar (301.895 hektar) telah ditebus guna. Menangguhkan yang selebihnya itu, terutama projek tebus guna tanah Tanjung Pinang oleh E&O, boleh menyebabkan kerajaan negeri Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan sehingga RM1 bilion. Ini boleh menyebabkan Pulau Pinang menjadi bankrap.

"Dengan itu, mengapa perlu kerajaan negeri sekarang dipaksa membayar pampasan untuk tebus guna tanah yang bukan kami yang meluluskannya?," katanya.

Tuesday, October 13, 2015

Perwakilan MCA Pun Bersuara Suruh Najib Letak Jawatan


"MCA sepatutnya meminta beliau meletakkan jawatan sebagai PM dan membiarkan SPRM, Bank Negara dan pihak polis untuk menjalankan tugas mereka secara bebas dan tanpa gangguan."
 - Perwakilan Cheras, Heng Sinn Yee

Bekas presiden MCA Tan Sri Ong Tee Keat melahirkan rasa kesalnya atas keputusan MCA yang teguh berdiri di belakang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ong berkata, sebuah referendum patut dibuat untuk memutuskan sama ada MCA harus kekal dalam BN.

Ong berkata jelas terdapat perasaan tidak puas hati akar umbi MCA dan masyarakat Cina terhadap keadaan negara sekarang ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama pengkritik utama Najib, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya semalam. Beliau bagaimanapun berkata tidak mewakili MCA dalam sidang media itu.

Turut hadir dalam sidang media itu veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal.

Mengejutkan, selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Pemuda MCA, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan skandal RM2.6 bilion sekali lagi menjadi isu panas di AGM MCA.

Seorang perwakilan menggesa kepimpinan MCA untuk secara terbuka menggesa peletakan jawatan Najib, manakala seorang lagi bertanya sama ada MCA mendapat bahagiannya dari "dana politik" RM2.6 bilion itu.

Perwakilan Cheras, Heng Sinn Yee berhujah bahawa MCA perlu mengambil tindakan untuk mengetahui sama ada Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri menutup isu 1MDB dan skandal RM2.6 bilion skandal.

"(Najib) telah menerima berbilion-bilion ringgit, tetapi tidak mengisytiharkan, dan malah beliau memindahkan dana itu ke dalam akaun bank peribadinya," katanya.

Selain itu, dakwanya, berlaku salah guna kuasa satu lepas satu; penggantian timbalan perdana menteri dan peguam negara; rombakan kabinet dan melumpuhkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menurutnya, sesiapa sahaja akan percaya bahawa terdapat perkara-perkara yang mencurigakan berlaku.


Menurut Heng lagi, bekas presiden MCA Datuk Seri Dr LingLiong Sik berdepan dengan kemungkinan disaman selepas selepas secara terbuka menuntut peletakan jawatan Najib, tetapi Ling telah mencabar Najib berjumpanya di mahkamah.

Bagaimanapun, MCA berkata ia adalah "kenyataan peribadi" Ling dan menjauhkan diri dari bekas presiden MCA itu.

Pendirian itu, tegas Heng, telah mengecewakan rakyat.

Oleh itu, beliau menggesa MCA supaya mengikut tuntutan rakyat dan secara terbuka menuntut penjelasan Najib mengenai 1MDB dan skandal RM2.6 bilion skandal.

MCA, tambahnya, perlu menjadi parti politik yang bertanggungjawab dan meminta Najib menjelaskan isu 1MDB dan dana yang tidak diketahui yang dipindahkan ke dalam akaun peribadinya.

Menurutnya lagi, MCA sepatutnya meminta beliau meletakkan jawatan sebagai PM dan membiarkan SPRM, Bank Negara dan pihak polis untuk menjalankan tugas mereka secara bebas dan tanpa gangguan.

Sementara semua perwakilan mensasarkan Najib dan skandal RM2.6 bilion, perwakilan Pulai, Tan Man Lee mengemukakan satu soalan yang menarik kepada kepimpinan MCA.

Najib, katanya, telah mendakwa bahawa RM2.6 bilion itu adalah "sumbangan politik" untuk pilihan raya umum ke-13.

"Saya ingin mengemukakan satu soalan kepada pemimpin di atas pentas, yang juga merupakan soalan yang membingungkan satu juta ahli MCA.

"PM pernah berkata RM2.6 bilion itu adalah sumbangan politik dan sumbangan ini telah dibelanjakan untuk PRU13.

"Menurut PM, RM2.6 bilion telah diperuntukkan kepada ahli parti masing-masing. Oleh itu, saya ingin bertanya kepada kepimpinan kita? Berapa banyak yang anda dapat," tanya Tan.