Wednesday, July 27, 2016

Walau Buat Kebajikan - Perompak Berkebajikan Tetap Perompak


Oleh  DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS.

A bayar ke B, B pula bayar ke C, C bayar ke D, dan D ialah kawan-kawan karib yang ada hubungan dengan pengurus besar A.

A dengan mudahnya menegaskan tiada salah laku dan tiada duit yang hilang. Bagi A, urusannya hanya dengan B, tak kisahlah sama ada B ini syarikat kosong ataupun tidak.

Pendek kata, apa yang B buat dengan duit A, bukan masalah A, walaupun duit yang dibayar ke B akhirnya pulang ke mereka yang rapat dengan pengurus besar A melalui C dan D. Akhirnya yang berhutang hanyalah A. Pihak B, C dan D menikmati gaya hidup termewah di dunia.

Meskipun demikian, masih ada yang memuji bahawa syarikat A banyak membuat kebajikan. Namun, perompak berkebajikan tetap perompak.

Tidak perlu saya menamakan siapa syarikat A, sebagaimana "Malaysian Official 1”.

Apa yang berlaku hari ini?

Kegagalan agensi-agensinegara, ditambah dengan kongkongan kuasa politik yang menyebabkan ada sebilangan mereka yang terlibat dengan penyiasatan diberhentikan, telah membuat rakyat terasa negara tidak berupaya membongkar kes 1MDB.


Akibatnya, apabila ada negara lain yang sudi membongkar isu 1MDB, seperti Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan juga negara-negara lain, rakyat terus mempercayai apa yang didedahkan penyiasatan mereka.

Jangan salahkan rakyat. Rakyat tiada pilihan kerana alasan-alasan yang bukan sahaja kurang logik malah tidak konsisten yang diberikan pihak berkuasa selama ini bercanggah dengan akal mereka.

AS mahu menjaga negaranya daripada dijadikan tempat mencuci wang haram, atau wang rompakan daripada negara lain. Mereka yang dinamakan perlu menjawab di mana datangnya sumber kewangan mereka, apakah sumber itu halal dan telah dicukai?

Sekiranya jawapan ialah hadiah, maka siasatan akan dilakukan kepada si pemberi hadiah, di mana soalan yang sama akan ditanya, di mana datangnya sumber hadiah tersebut? Semua ini akan disiasat berterusan sehingga lubuk, kerana masing-masing akan mencari jalan untuk menyelamatkan diri sendiri.

Sebagai contoh, bayangkan kalau tuduhan bahawa duit 1MDB disonglap sebagai modal perjudian beberapa individu terbukti betul? Bukankah ini satu penghinaan sedangkan ramai rakyat yang sedang bergelut membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN)?

Namun begitu, ada yang was-was dengan siasatan DOJ, kerana sejarah dan sikap AS yang suka mencampuri urusan negara lain yang bermasalah dalaman. Apakah rasional pandangan ini terhadap isu 1MDB?

Walaupun begitu, jangan ada pihak yang mencemuh pihak yang was-was ini.

Kebimbangan mereka terhadap sikap suka campur tangan kuasa asing khasnya AS ke atas negara umat Islam ada asasnya perlu diberi perhatian. Kerana sejarah membuktikan permasalahan dalaman negara, penindasan dan kezaliman akan membuka ruang campur tangan asing.

Kerajaan yang bertindak zalim menyebabkan rakyat mula terasa ingin memberontak secara dalaman. Akan tetapi, dengan sistem demokrasi yang ditempangkan untuk menjaga kekuasaan kerajaan yang zalim, rakyat terasa tertekan dan hilang harapan untuk menukar kerajaan.

Ketika itu, kuasa asing akan mengambil kesempatan kerana sebarang bantuan yang datang akan disambut rakyat, termasuklah bantuan daripada pihak asing.

Presiden PAS di rumah Hari Raya  terbuka PAS di Kedah menyebut bahawa:

"1MDB ini satu kes yang perlu disiasat dan tidak boleh dibiarkan. Jangan dedah ruang kepada pihak asing untuk campur tangan. Kalau pihak asing campur tangan, itu silap kita sendiri. Apa yang penting kes ini perlu disiasat dengan adil dan telus oleh kita sendiri, jangan biar sampai orang boleh campur hal kita. Itu bukan kerja PAS, itu kesilapan pihak berkenaan..."

Teguran beliau mudah. Beliau mendesak agar mereka yang berkuasa hari ini mengambil tindakan sewajarnya menyiasat 1MDB dengan sendiri supaya pihak asing tiada ruang untuk campur tangan. Kalau pihak asing dapat campur tangan kerana kegagalan pihak berkuasa bertindak, dosa di tangan mereka yang berkuasa.

Penegasan presiden PAS dan beberapa pihak yang lain adalah peringatan penting bahawa sebarang campur tangan asing mesti dielak dalam apa jua kemelut yang berlaku dalam negara.

Saya dengan ini menyarankan agar Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali, bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bersatu, dan menubuhkan satu suruhanjaya diraja yang turut dianggotai Majlis Raja-Raja bagi membuka balik segala siasatan terhadap 1MDB.

Kerajaan tidak harus berlengah lagi untuk menghidupkan suruhanjaya diraja ini, malah ia masih selari dengan seruan kenyataan Raja-Raja Melayu sebelum ini yang menggesa kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Kepada pihak berkuasa tempatan, jangan dibiarkan kesilapan-kesilapan kerajaan zalim di serata dunia sehingga menyebabkan negara tergadai berulang di Malaysia. Hutang negara sudah pun mencecah RM847 bilion di 2015. Jangan biarkan keadaan ini melarat ke satu hari ini nanti, di mana Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menanti untuk menghulurkan bantuan. Ketika itu, sudah terlambat bagi negara untuk menghalang campur tangan asing.

Kepada yang bimbang dengan campur tangan asing dalam isu 1MDB, penyelesaiannya mudah - bersatulah mendesak agar suruhanjaya diraja terhadap 1MDB dibuka dan teruskan desakan sehingga agensi-agensi berkuasa berani berdikari dan melakukan pendakwaan kepada mereka yang terlibat dalam merompak harta negara, dan berusahalah untuk membuat pengorbanan ke arah menukar kerajaan.

No comments: