Thursday, March 6, 2014

PR Sekat Khalid Tandatangan Perjanjian Air Dengan Pusat


Nasib Memorandum Persefahaman (MoU) perjanjian pengstrukturan semula air di Selangor dan Wilayah Persekutuan kini menjadi tanda tanya selepas pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) semalam mengarahkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menandatangani sebarang perjanjian dengan kerajaan pusat tanpa kelulusan mereka.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Khalid perlu menjelaskan beberapa butiran perjanjian MoU serta mendengar pandangan-pandangan daripada Majlis Pimpinan PR sebelum menandatangani perjanjian tersebut.

"Kita minta Tan Sri Abdul Khalid lebih teliti terutama dalam kenyataannya tentang perjanjian yang bakal ditandatangani.

 "(Khalid) Harus diberikan penjelasan yang lebih terperinci tentang kesan (perjanjian) kepada Selangor, soal tarif dan beberapa aspek perjanjian termasuk Langat 2 kepada pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ditandatangani...kalau lepas tandatangan (penjelasan) tak ada makna dah," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan PR di Ibu Pejabat PAS Pusat di Kuala Lumpur, semalam.

 Hadir sama Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Kongres Khas DAP, Anthony Loke.

Anwar berkata, tiga wakil PR telah dihantar untuk mengadakan perbincangan dan menyatakan pandangan mengenai perjanjian air dengan Khalid.

Mereka ialah Timbalan Pengerusi DAP Tan Kok Wai, AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang turut hadir pada mesyuarat sebelum sidang media diadakan.

"Ketiga-tiga mereka kini dalam perjalanan bertemu Tan Sri Abdul Khalid," katanya. Anwar berkata, ketika sidang media berlangsung, Khalid sedang memberikan taklimat terperinci kepada ahli-ahli Parlimen dan Adun-Adun di Selangor mengenai MoU penstrukturan air dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, PR secara dasarnya menyokong rundingan penstrukturan semula air di Selangor dengan kerajaan Persekutuan.

Beliau juga mengakui tanpa rundingan, kepentingan rakyat Selangor dari segi bekalan air akan terjejas dalam jangka masa panjang. "Tetapi kita juga ada kebimbangan dan faktor-faktor yang perlu dipertimbang "Pandangan bebas perlu dilihat. Ini bukan setakat MOU tetapi perjanjian dikepilkan bersama.

Persefahaman di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu, kita sokong secara prinsipnya," katanya. 

Mengenai MoU tersebut, Anwar mengakui belum melihat kandungannya. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata beliau telah menasihatkan Khalid sebelum ini supaya berhati-hati dalam memeterai perjanjian kerana ia melibatkan kepentingan jangka panjang rakyat Selangor.

Tambahnya, PR tidak bermaksud untuk menyulitkan lagi keadaan.

"Jangan sulitkan lagi keadaan, bukan semua (perkara) kena rujuk (Majlis Pimpinan PR), kita tak pernah ganggu tetapi ini melibatkan manifesto, melibatkan Langat 2.

"Ada beberapa perkara perlu diteliti...peruntukan yang masih lagi samar-samar," tegasnya.

Dalam pada itu Anwar juga memberitahu bahawa beliau telah memaklumkan kepada Khalid supaya meminta tempoh daripada Kerajaan Persekutuan sebelum menandatangani perjanjian tersebut.

Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu munasabah dalam menetapkan tempoh perjanjian.

"Takkan malam pukul 11 telefon, esok pagi pukul 10 suruh tandatangan dokumen perjanjian yang melibatkan nilai RM9.6 bilion atau 11 bilion," katanya.

1 comment:

Perusahaan O.D.A.P said...

Lowongan Menghasilkan Uang 3 Juta - 15 Juta/Minggu.

Hasilkan Blog Anda Menjadi Mesin Penghasil Uang Dengan Penghasilan 3 Juta - 15 Juta / Minggu, Daftar & Pelajari Segera Caranya Di http://newkerjaonline2014.blogspot.com/