Datuk Shamsuddin Lias....elaun RM8,620. |
Menerusi keistimewaan tersebut, Ketua Pembangkang Selangor bakal menerima elaun tetap, elaun pemandu, elaun Setiausaha Kerja serta kereta rasmi kerajaan.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan untuk memberikan keistimewaan tambahan itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bermesyuarat semalam (9Oktober 2013) mengikut Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980.
"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira Ketua Pembangkang adalah komponen penting dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi untuk menjalankan peranan semak dan imbang kepada kerajaan pemerintah sedia ada.
"Pemberian elaun dan keistimewaan ini sebagai pengiktirafan kepentingan jawatan tersebut dalam sebuah kerajaan demokrasi," katanya hari ini.
Menurut Abdul Khalid kelulusan tersebut akan dikuatkuasakan selepas usul mengenainya dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Ke-13 yang dijangka mula bersidang pada 19 November depan.
Selepas PRU-13, Barisan Nasional (BN) yang menjadi parti pembangkang di Selangor melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias sebagai Ketua Pembangkang Selangor yang baharu, menggantikan Datuk Mohd Satim Diman. MStar
No comments:
Post a Comment