Saturday, May 4, 2013

Menanti Kerajaan Baharu Barisan Nasional Di Selangor


``5 Mei saya hendak tuan-tuan memberikan sokongan kepada BN, bukan kerana saya minta tetapi kerana kita mempunyai agenda yang jauh lebih baik daripada parti pembangkang. Ini tidak termasuk janji yang tidak ditunaikan oleh mereka sehingga Menteri Besar (Abdul Khalid) melarikan diri dan bertanding di tempat lain.''
 - Datuk Seri Mohd Najib Razak

Dalam tempoh kurang daripada 24 jam menjelang 5 Mei, hari yang sudah sekian lama ditunggu oleh rakyat Selangor untuk membuat perhitungan.

Selama tempoh lima tahun berada di bawah pemerintahan pakatan pembangkang, pelbagai kemelut terjadi sama ada membabitkan pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan juga isu panas melibatkan rakyat negeri ini.

Jadi esok, merupakan peluang terbaik rakyat negeri ini untuk menamatkan segala kemelut yang meletihkan itu.

Berdasarkan kempen sepanjang 15 hari sejak 20 April lalu yang disaduri beberapa insiden kecil seperti cubaan membakar bilik gerakan Barisan Nasional (BN), rakyat negeri ini menunjukkan satu keinginan agar BN kembali memerintah.


Daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), BN diyakini dapat menawankan paling kurang 30 kerusi bagi membolehkan parti itu kembali menubuhkan kerajaan negeri yang baharu pada 6 Mei ini. BN hanya perlu menambah 10 lagi kerusi DUN yang pernah dimenangi dalam pilihan raya umum lalu.

Setakat ini tidak ada masalah besar yang dihadapi oleh jentera parti untuk mengekalkan kubu kuat BN di kawasan persisiran pantai sebelah utara iaitu dari Sabak Bernam hingga ke Tanjong Karang.

Dari situ kita yakin BN dapat merampas kembali kerusi DUN Sekinchan yang dahulunya BN hanya kalah tipis sebagai 190 undi.
 
Tindakan Abdul Khalid seperti yang digambarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau, ``lari terjun tingkap di tengah malam' meninggal DUN Ijok untuk bertanding di DUN Pelabuhan Klang sudah menunjukkan isyarat awal bahawa kawasan Parlimen Kuala Selangor melibatkan DUN Ijok dan Bukit Melawati mempunyai peluang cerah untuk dimenangi semula oleh BN manakala DUN Jeram terus kekal menjadi kubu BN seperti 2008.

 Semalam, Perdana Menteri turun ke Bandar Bukit Raja yang terletak di bawah Parlimen Kapar.


Di situ mempunyai DUN Meru yang ditandingi oleh Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Abdul Rani Osman. Di situ, Najib melahirkan rasa gembira dengan sambutan kira-kira 10,000 orang ke majlis tersebut dan menganggap perkembangan itu sebagai petanda BN mampu kembali mentadbir negeri ini.

``Kita mesti memberikan keyakinan kepada pihak yang mempunyai visi berkredibiliti untuk negara malah mampu menjadikan visi tersebut dengan pelaksanaan projek dan program sangat bermakna kepada rakyat.

``5 Mei saya hendak tuan-tuan memberikan sokongan kepada BN, bukan kerana saya minta tetapi kerana kita mempunyai agenda yang jauh lebih baik daripada parti pembangkang. ``Ini tidak termasuk janji yang tidak ditunaikan oleh mereka sehingga Menteri Besar (Abdul Khalid) melarikan diri dan bertanding di tempat lain,'' katanya.

Di Kapar juga Najib telah mengumumkan tiga aku janji tambahan iaitu menaik taraf pasar besar Jalan Meru dan pasar pekan Kapar yang selama ini gagal dilaksanakan oleh wakil rakyat parti pembangkang termasuk Abdul Rani meskipun masalah di pasar berkenaan banyak kali dibangkitkan oleh rakyat.

Keyakinan sama turut ditunjukkan oleh Najib ketika melawat kawasan DUN Dengkil, Sepang semalam. Kawasan tersebut diyakini akan terus dikuasai oleh BN meskipun timbul masalah pertembungan dengan calon Bebas yang dahulunya adalah bekas wakil rakyat dan anggota BN.


Di Parlimen Kota Raja yang walaupun kelihatan sukar untuk dimenangi memandangkan majoriti pembangkang melebih 20,000 pada pilihan raya lalu mungkin dapat dipecahkan ekoran kembalinya sokongan masyarakat India kepada BN.

Di samping itu faktor calon PKR di DUN Sri Muda, Mat Suhaimi Shafiei sebelum ini mencetuskan isu `derhaka' manakala prestasi calon PKR DUN Sri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar yang kurang memberangsangkan semasa menjadi Exco selain berdepan dengan tiga calon Bebas dengan dua daripadanya memang bertanding atas tujuan untuk menyasarkan serangan ke atas beliau.

Parlimen Kuala Langat menyaksikan calon muka baharu, Kapten (B) Sharuddin Omar dilihat mampu menumpaskan calon PKR, Abdullah Sani yang hanya merupakan proksi Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan bukannya calon yang dikehendaki di peringkat akar umbi sendiri.

Bagi kawasan DUN pula, Hasiman Sidom diyakini dapat terus mengekalkan kerusi DUN Morib selain mengharapkan DUN Sijangkang akan jatuh kepada BN kali ini.

Kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir turun ke Shah Alam malam baru-baru ini yang mendapat sambutan puluhan ribu penduduk turut menggambarkan gelombang dan lonjakan sokongan kepada BN. Sebelum itu beliau juga menggempurkan kawasan Parlimen Kapar.

Parlimen Shah Alam cukup signifikan untuk dimenangi oleh BN yang menampilkan Datuk Zulkifli Noordin untuk berdepan dengan warlord Pas di bandar raya ini, Abdul Khalid Samad. Kehadiranya tepat pada waktu bagi berdepan dengan isu paling mendasar umat Islam iaitu kalimah Allah.

Kemenangan di Shah Alam boleh menjadi kayu ukur kepada kemampuan BN untuk memenangi kawasan-kawasan elit yang lain di Selangor.

Parti yang ingin menguasai Selangor perlu menang di kerusi ini kerana Shah Alam adalah ibu negeri. Kedudukan BN yang kukuh di Parlimen Hulu Selangor melalui penguasaan di DUN Hulu Bernam, Kuala Kubu Baharu dan Batang Kali memberikan jaminan untuk parti itu mengekalkan jumlah kerusi yang sedia dimenangi sebelum ini selain terus berusaha menguasai Parlimen Selayang dengan mengekalkan kerusi DUN Taman Templer dan Kuang.

Sementara itu, rakyat Selangor sewajarnya tidak membiarkan kerusi DUN Bukit Antarabangsa terus kekal di bawah Azmin yang turut bertanding di Parlimen Gombak.

Malah difahamkan kem Abdul Khalid juga dikatakan tidak mahu Azmin menang di kerusi DUN kerana sekiranya beliau menang sudah pasti kerusi Menteri Besar akan terlepas daripada tangan Abdul Khalid. Ini kerana Azmin dikatakan sudah lama mengidam kerusi Menteri Besar.

Soalnya adakah rakyat Selangor sanggup memilih sebagai Menteri Besar yang dipersoalkan dari segi moralnya?

Keputusan menempatkan Azmin di kerusi Parlimen Gombak juga dipersoalkan. Istimewa sangatkah Azmin sehingga diberikan dua kerusi sebagaimana Abdul Khalid turut diberikan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak tetapi dalam masa yang sama seorang presiden parti tidak diberikan laluan untuk bertanding di mana-mana kerusi.

Permainan dalaman PKR sendiri juga dikatakan menghampakan niat Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk bertanding di Selangor.

Siapa yang menghalang hasrat Wan Azizah itu semua orang tahu.

Krisis dalaman itu juga menyebabkan berlaku perebutan kerusi DUN Kota Damansara apabila Pas tidak setuju dengan calon berideologi sosialis manakala DUN Semenyih menyaksikan pertembungan antara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang pro pakatan pembangkang dengan PKR.

Dalam pada itu, istilah atau jenama `Ubah' atau Ini Kalilah' serta `Bersihkan Malaysia' yang dipasarkan oleh pakatan pembangkang sebenarnya menimbulkan rasa sangsi dalam kalangan rakyat. Ini kerana rakyat negeri Selangor sudah benar-benar merasai bagaimana selama ini kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya cuba menggunakan kuasa sebagai kerajaan negeri untuk `berperang' dengan Kerajaan Pusat.

Banyak tindakan dilakukan oleh kerajaan negeri seolah-olah cuba menunjukkan kuasa untuk menjerut Kerajaan Pusat dengan tujuan akhirnya mereka boleh menuding jari bahawa pentadbiran Najib sengaja menganiaya kerajaan negeri.

Sedangkan apa yang berlaku ialah kerajaan negeri sengaja menggunakan kuasanya untuk menyekat program dan projek yang boleh memberikan manfaat kepada rakyat seperti pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah dan keengganan memberikan kelulusan kepada projek Loji Rawatan Air Langat 2.

Kegagalan usaha mengambil alih syarikat konsesi air merupakan tamparan paling hebat ke atas pentadbiran Abdul Khalid selain beberapa isu sebelum ini yang banyak menjejaskan kedudukan Menteri Besar antara lainnya berkaitan pengurusan kutipan sampah, pengambialihan hutang Talam Corporation, masalah perlombongan haram pasir dan prestasi Yayasan Selangor serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Kemuncaknya ialah kesilapan Abdul Khalid terlepas cakap bahawa `manifesto bukan perjanjian' menyebabkan banyak pihak berasa marah dengan kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji manifesto.

Air percuma yang boleh dikatakan menjadi produk kebanggaan pentadbiran Abdul Khalid akhirnya menjadi senjata makan tuan apabila ribuan rakyat miskin dan layak dinafikan hak semata-mata kerana tidak memiliki meter air individu bangkit menunjukkan penentangan.

Akhirnya rakyat membuat kesimpulan, sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran pakatan pembangkang, rakyat menghadapi pelbagai masalah. Jika diberikan peluang sekali lagi pun rakyat pasti akan berhadapan dengan pelbagai kemelut yang berpanjangan.


Pertama; Abdul Khalid belum tentu akan dipilih sekali lagi menjadi Menteri Besar dan Azmin yang menguasai politik PKR Selangor sudah pasti akan berdepan dengan persaingan perebutan kuasa dengan kem lawannya.

Kedua: Pas yang semakin tertekan dengan isu-isu berkaitan Islam seperti kalimah Allah dan pelaksanaaan Islam yang banyak diganggu dalam pakatan pembangkang turut dikatakan mahu memilih Menteri Besar daripada kalangan ahli parti itu.

Ketiga: DAP yang menyasarkan menang di banyak kerusi majoriti masyarakat Cina dilihat akan terus berdepan dengan pertembungan ideologi dengan Pas termasuk dalam soal pentadbiran kerajaan negeri. Memandangkan semua keputusan dalam pakatan adalah berdasarkan konsensus, maka jangan harap sebarang pelaksanaan Islam di Selangor akan mendapat persetujuan konsensus.

Jadi kenapa rakyat Selangor perlu pening kepala dengan segala masalah dalaman parti pembangkang tersebut dengan memberikan undi kepada mereka sekali lagi.

Sewajarnya esok kita tamatkan sahaja persoalan yang memeningkan itu dengan memberikan undi kepada Barisan Nasional (BN). Di hadapan ada sudah tersedia tujuh teras aku janji yang mengandungi 56 perkara asas untuk dilaksanakan selepas ini demi masa depan rakyat Selangor

. Jadi kita 'TUKAR!' kali ini!

Oleh HELMI MOHD. FOAD - UTUSAN ONLINE (Penulis adalah Ketua Biro Utusan di Selangor)..

No comments: