Monday, August 15, 2011

Hasan Ali is a HERO not ZERO

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abd. Wahid (gambar) berkata, adalah menjadi kewajipan ke atas setiap orang Islam untuk mempertahankan akidah kerana maqasid syariah itu tidak boleh dijual beli dengan apa sekalipun, hatta kepentingan politik.

Pada masa yang sama, beliau juga berdiri teguh di belakang Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali yang bertindak mempertahankan tindakan JAIS itu.

Menurutnya, orang yang mempertahankan kebenaran Islam seperti Hasan wajib disokong oleh seluruh umat Islam, bukannya dicaci dan dikecam hanya kerana kepentingan politik sempit yang bersifat keduniaan.

“Akidah adalah salah satu daripada maqasid syariah yang wajib dipertahankan oleh setiap yang bergelar Islam. Akidah bukan bahan dagangan politik, ia tidak boleh dijual beli.

“Jika ada musuh yang menyerang, kita wajib mempertahankan diri. Begitu juga dalam soal akidah, jika ada musuh agama yang cuba memurtadkan orang Islam, kita wajib bangkit menentang.

“Lihat bagaimana para sahabat sanggup mati syahid, sanggup diseksa dan sanggup dibunuh demi akidah tetapi untuk menjual agama Allah, mereka tidak sesekali berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai penemuan bukti berbentuk ‘12 soalan kuiz’ mengenai agama Islam pada majlis ‘berbuka puasa’ yang dianjurkan gereja tersebut, Mohd. Tamyes berkata, tindakan JAIS tepat.

Katanya, JAIS tidak bertindak secara semberono jika tiada maklumat lengkap mengenai aktiviti penyebaran agama Kristian kepada orang Islam tetapi malangnya jelas beliau, ada segelintir pemimpin Islam sendiri mempertikaikan tindakan itu.

http://mummyrokiah.blogspot.com/

No comments: