Saturday, June 12, 2010

KELANTAN BAWA ISU ROYALTI MINYAK KE MAHKAMAH 30 OGOS

Kerajaan Kelantan akan membawa isu royalti minyak ke mahkamah pada 30 Ogos ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Exco kerajaan negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Royalti Datuk Husam Musa semasa berucap pada demonstrasi menuntut royalti minyak yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) selepas majlis perasmian Muktamar PAS kali ke-56, semalam.

Kira-kira 3,000 anggota dan pemimpin parti berkenaan menyertai demonstrasi yang dianjurkan Dewan Pemuda PAS Kelantan.

"Kita akan membawa tuntutan royalti negeri itu ke mahkamah 30 Ogos nanti selepas beberapa tindakan secara rundingan dilihat tidak membuahkan hasil," katanya dengan disambut laungan takbir oleh anggota dan pemimpin parti itu.

Kerajaan Kelantan yang diterajui PAS bertegas mahukan Kerajaan Pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri berkenaan tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Kerajaan Pusat setakat ini telah menyerahkan wang ihsan sebanyak RM20 juta kepada penduduk Kelantan.


Pada 19 April lalu, Husam berkata PAS Kelantan akan membawa kes tuntutan royalti minyak daripada Kerajaan Pusat ke Mahkamah sebagai jalan terakhir selepas gagal berunding dengan Petronas.

Menurutnya, langkah itu diambil sebagai memenuhi resolusi yang diputuskan oleh kerajaan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas.

Beliau berkata, pada persidangan itu, semua anggota dewan bersetuju supaya tuntutan royalti minyak yang diperoleh di perairan negeri ini dibuat secara rundingan dengan Petronas dan jika gagal, barulah tindakan mahkamah diambil.

Pesuruhjaya Pas II Kelantan itu juga berkata, kerajaan negeri berusaha untuk berunding dengan Petronas dan sudahpun menghantar surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas yang baru, Datuk Shamsul Azhar Abbas untuk tujuan itu tetapi tiada jawapan.

"Atas dasar itulah, kita akan tetap mengemukakan tuntutan royalti minyak kerajaan negeri ke mahkamah. Bagaimanapun, bila dan bentuk tindakan itu bergantung kepada keadaan,” katanya.

Baru-baru ini, Kerajaan Pusat membuat keputusan tidak akan membayar tuntutan royalti minyak kepada Kelantan sebaliknya diberi dalam bentuk wang ihsan.

No comments: