Oleh Hambali Abdul Latiff (hambali1.blogspot.com)
Sifat malu hanya ada pada orang mukmin sahaja. “Tetapi orang yang kulit muka tebal seperti menggunakan kulit tapak kaki kerana tidak akan ada perasaan malu,” - Menteri Besar Kelantan
Nak tergelak apabila membaca betapa marahnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan wakil kerajaan Kelantan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan gara-gara tindakan penganjur perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTDL) dikatakan membelakangkan Menteri Besar, pada upacara melepaskan peserta kelmarin.
Marah kerana gagal ‘tumpang sekaki’ pada acara anjuran kementerian kerajaan Pusat?
Sebenarnya inilah sikap kerajaan negeri Kelantan yang selalunya mengambil kredit daripada dasar atau program yang dirancang dan dianjurkan oleh orang lain.
Selama ini banyak program yang menggunakan dana Kerajaan Pusat yang dilancar atau dirasmikan oleh pemimpin PAS dilihat sebagai hasil usaha PAS.
Mungkin kelmarin ditakdirkan pemimpin Kelantan tidak ‘dibenarkan’ sekali lagi mengambil untung daripada program yang dirancang oleh orang lain.
Nama Nik Aziz sebagai tetamu kehormat yang akan melepaskan peserta di hadapan Istana Balai Besar digugurkan pada saat akhir tanpa dimaklumkan kepada kerajaan negeri.
Ini yang menyebabkan pemimpin PAS Kelantan menyinga...Majlis pelepasan perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia yang memulakan peringkat pertama dari sini ke Kuala Berang sejauh 174.5km itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.
Menyedihklan, perkataan biadab disebut beberapa ADUN apabila isu Dr Awang dikatakan ‘merampas’ tempat Menteri Besar melakukan upacara pelepasan pada persidangan DUN itu.
Hassan Mahmood (PAS-Tawang) mahu perkataan biadab digunakan bagi menggambarkan situasi sebenar yang berlaku semalam kerana ada cubaan memalukan seorang ketua kerajaan.
Datuk Omar Mohamed (PAS-Perupuk) pula menceritakan pernah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan seorang pegawai Jabatan Penerangan meninggalkan majlis apabila dia enggan menghormati ketua kerajaan negeri.
Anggota Exco kerajaan negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sambutan LTdL peringkat negeri telah menetapkan Nik Aziz yang melakukan upacara pelepasan tersebut.
“Malah dalam surat-surat yang dihantar kepada ketua-ketua jabatan telah disebut dengan jelas flag off akan dilakukan Menteri Besar. Dan semua orang telah maklum perkara itu.
“Dalam mesyuarat sebelum itu hanya nama Menteri Besar dan Pemangku Raja sahaja yang disebut untuk melakukan pelepasan.
“Namun memikirkan majlis itu berlaku dalam tempoh singkat dan kesibukan Pemangku Raja maka telah diputuskan Menteri Besar melakukan flag off. Langsung tidak ada nama Awang Adek,” katanya ketika menjelaskan peristiwa semalam pada persidangan Dun.
Pada upacara pelepasan pelumba LTdL bagi peringkat pertama Kota Bharu ke Kuala Berang, Terengganu semalam difahamkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) tiba-tiba meminta Awang Adek melakukan pelepasan sedangkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih berada di situ.
Lebih mendukacitakan lagi apabila Menteri Besar pada awalnya tidak dibenarkan menaiki pentas utama pelepasan setelah Awang Adek dan pengarah JPP lebih awal berada di atas.
Ekoran itu difahamkan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan mengarahkan Menteri Besar diberi tempat di atas pentas terbabit bersama Awang Adek.
“Namun ketika itu bendera untuk flag off telah berada di tangan Awang Adek. Menteri Besar hanya berada di atas pentas sekadar memerhati apa yang dilakukan Awang Adek,” kata Abdul Fattah.
Akhirnya, apa kata media PAS? Harakahdaily menyebut, menurut sumber lain, sabotaj itu difahamkan telah dirancang lebih awal oleh UMNO yang berselindung di sebalik JPP bagi memalukan ketua kerajaan Kelantan.
Anggota Exco terbabit berkata, pada jam 9.15 pagi sebelum upacara pelepasan dilakukan tidak ada perubahan lagi dari segi protokol untuk melakukan flag off.
Namun katanya, ketika pelepasan mahu dilakukan tiba-tiba juruacara majlis menyebut nama Awang Adek, sedangkan Menteri Besar masih ada di situ.
“Ini sesuatu yang betul-betul memalukan tidak pernah berlaku sepanjang 20 tahun pentadbiran kerajaan PAS.
“Malam tadi saya telah memaklumkan apa yang berlaku dalam facebook perdana menteri. Dan sekarang kerajaan negeri sedang mendrafkan surat untuk menghantar bantahan rasmi kepada Perdana Menteri,” ujarnya.
Beliau juga dimaklumkan pada petang sehari sebelum program berlangsung Ketua Umno Bachok terbabit meminta baju rasmi LTdL daripada pihak urusetia.
Apa komen Nik Aziz? Nik Aziz berkata, sifat malu hanya ada pada orang mukmin sahaja. “Tetapi orang yang kulit muka tebal seperti menggunakan kulit tapak kaki kerana tidak akan ada perasaan malu,” katanya pada persidangan Dun terbabit.
Sidang DUN semalam juga hangat dan rata-rata wakil rakyat Pas mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan segera terhadap penganjur yang didakwa mereka telah memalukan bukan sahaja Nik Aziz tetapi rakyat Kelantan keseluruhannya.
Rakyat Kelantan pun bukan semuanya mahu Nik Aziz membuat pelepasan. Hadir di pentas pun dah bagus tu!
Hmm...tak tahulah apa nak dikata mengenai kejadian ini.
Abdul Fatah berkata, beliau telah menghantar mesej kepada Najib melalui laman sosial Facebook Perdana Menteri itu semalam.
"Saya juga sudah mengutus surat secara rasmi kepada Perdana Menteri hari ini agar sesuatu tindakan susulan diambil terhadap penganjur yang telah memalukan Menteri Besar (Nik Aziz) dan juga rakyat Kelantan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan DUN, semalam.
Abdul Fatah berkata, yang lebih mengecewakan ialah Nik Aziz pada mulanya tidak dibenar menaiki pentas utama untuk bersama-sama Awang Adek membuat pelepasan itu tetapi selepas campurtangan pegawai, Menteri Besar itu dibenar naik ke pentas.
Mat Yusoff Abdul Ghani (BN-Nenggiri) bangun meminta penjelasan adakah benar Nik Aziz yang sepatutnya membuat pelepasan itu atau sebaliknya seperti yang diputus dalam mesyuarat jawatankuasa sambutan sebelum itu.
Abdul Fatah berkata, perkara itu tidak timbul kerana pemilihan Nik Aziz diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.
Ketika ditemui di luar Dewan, beliau berkata, kerajaan negeri akan menilai semula peranannya dalam memberikan kerjasama pada masa akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, Mohamed Salleh pula berkata isu siapa yang melepaskan pelumba LTdL pada peringkat pertama di Kota Baharu semalam, seharusnya tidak berbangkit.
Sebaliknya, beliau berkata semangat kesukanan yang harus diutamakan.
"Konsep 'sukan untuk semua' harus dijadikan sebagai asas dan tidak seharusnya dipolitikkan," katanya kepada pemberita di Kemaman, semalam.
Mohamed turut berkata Nik Aziz sebelum itu telah pun hadir mewakili Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra di majlis pengenalan pasukan Ahad lepas.
"Selepas ini post-mortem akan dilakukan dan kita akan fikirkan sama ada sebarang tindakan susulan perlu dilakukan atau sebaliknya," katanya.
Beliau menambah apa yang penting ialah kejohanan yang masih berbaki lima peringkat dapat dilancarkan dengan sempurna.
Perlumbaan edisi ke-15 tahun ini bermula di Kelantan, menyusuri Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur sejauh 1013.9km.
No comments:
Post a Comment