Tuesday, March 2, 2010

AWANG ADEK IKRAR SALUR WANG IHSAN SECARA TELUS

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein berikrar untuk melaksanakan amanah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan sebaik mungkin dan memastikan pengagihan secara telus.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata beliau juga akan memastikan wang berjumlah RM20 juta itu disalur kepada golongan yang berhak menerimanya.

"Saya menyambut baik pelantikan itu dan akan cuba menyelesaikan segera pengagihan wang ihsan dengan setelusnya supaya tiada lagi isu yang berbangkit.

"Kita akan mengumpul dan memanggil semua anggota jawatankuasa dalam masa terdekat ini untuk mengagihkan dan menjalankan tugas masing-masing. Kita mahu rakyat mendapat hak mereka yang sepatutnya dan mereka tidak akan bising lagi selepas ini," katanya ketika dihubungi oleh mStar.

Beliau diminta mengulas pengumuman Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini yang menyatakan beliau dilantik menguruskan agihan wang ihsan itu di atas kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Mustapa berkata, Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, dilantik untuk menguruskan agihan wang ehsan berkenaan atas kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkata, mesyuarat jawatankuasa untuk pengagihan wang ehsan itu akan berlangsung pada Mac nanti untuk membincangkan kaedah agihan peruntukan itu.

"Kerajaan Pusat sudah bersetuju dengan pelantikan Awang Adek untuk ketuai jawatankuasa ini.

"Agihan wang ehsan RM20 juta itu akan disampaikan kepada rakyat Kelantan pada April nanti,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penyampaian sumbangan dan sambutan Maulidur Rasul di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa yang mempertikaikan tindakan pemimpin UMNO Kelantan memberi penerangan berhubung isu royalti minyak, Awang Adek berkata maklumat yang disebarkan kepada rakyat Kelantan adalah mengikut penjelasan Petronas.

"Bukan UMNO yang membuat keputusan terhadap wang ihsan di Kelantan, sebaliknya semuanya ditentukan oleh Kerajaan Pusat. Mereka (Kerajaan Negeri) perlu ingat, Datuk (Seri) Mustapa bercakap atas kapasiti Menteri dan saya Timbalan Menteri. Bukan UMNO yang cakap.

"Jadi, tak ada sebab saya dan beliau (Mustapa) tidak boleh bercakap mengenai wang royalti memandangkan kami memegang jawatan dalam Kerajaan Pusat," katanya.

Kerajaan Kelantan yang diteraju PAS bertegas mahukan Kerajaan Pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan dan Kerajaan pusat bersetuju memberi RM20 juta wang ihsan kepada penduduk Kelantan, yang merupakan bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008.

Perkara itu adalah seperti yang termaktub dalam perjanjian Akta Peroleum 1974, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Kerajaan Pusat tetap mahu memberikan wang ihsan kepada Kelantan kerana yakin ada rakyatnya yang mahu menerima pemberian berkenaan.

"Kerajaan Pusat akan bagi dan kita akan bagi kepada siapa yang akan terima, siapa yang tidak terima terpulang kepada dia, tentu ada orang yang nak terima," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini Khamis, Najib yang juga Presiden UMNO berkata kerajaan akan memastikan bantuan itu dibuat secara telus kepada golongan yang layak menerimanya.

"Bantuan kepada rakyat Kelantan tetap akan diberikan dan kita akan bagi kepada siapa yang hendak menerimanya.

"Kita nak bagi kepada rakyat... pokoknya kita mahu rakyat mendapat manfaat (daripada pemberian wang ihsan)," katanya ketika ditanya mengenai implikasi politik berhubung pemberian wang ihsan itu kepada rakyat Kelantan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Kerajaan Pusat akan tetap dengan pendiriannya berhubung pemberian wang ihsan dan bukannya royalti minyak seperti yang didakwa kerajaan Kelantan pimpinan PAS.

"Kita punya pendirian jelas dan apa yang diputuskan ikut Perlembagaan dan undang-undang negara dan mengikut pakar-pakar perundangan tiada apa-apa yang dikemukakan (oleh Kelantan) bagi membolehkan kita rasa keputusan kerajaan itu tidak betul," katanya.

Najib berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Kerajaan Pusat telah memperuntukkan lebih RM7 bilion kepada Kelantan untuk perbelanjaan pembangunan walaupun negeri itu berada di bawah pemerintahan pembangkang.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang terus mempersoalkan langkah kerajaan Persekutuan berhubung isu royalti minyak Kelantan.

Terbaru, Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan Persekutuan menerusi akhbar-akhbar bahasa Malaysia baru-baru ini menimbulkan lebih banyak implikasi negatif dan kekeliruan berbanding penjelasan.

Ditanya mengenai pertemuan dengan anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Najib berkata perkara itu sudah lama dan tidak perlu diulas.

Mengenai sama ada UMNO akan mengambil tindakan terhadap Tengku Razaleigh, Najib berkata MT UMNO akan mendengar pendapat anggota parti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan

Najib berkata mesyuarat MT membincangkan perkembangan semasa parti termasuk tumpuan terhadap jentera parti dan Program Juara Rakyat yang akan diteruskan di Perak dan negeri-negeri lain.

Mesyuarat juga mengambil maklum bahawa setakat 31 Jan lalu, keahlian UMNO ialah sebanyak 3,526,952 orang dan parti masih dalam proses mengemas kini keahlian.

"Kita harap semua bahagian menjalankan aktiviti seperti diarahkan dan mengambil tindakan untuk menambah ahli serta mengemas kini daftar keahlian. Kita harap kerancakan aktiviti oleh sayap parti juga berterusan," katanya.

Ditanya mengenai cadangan pindaan Perlembagaan Barisan Nasional (BN), Najib berkata perkara itu hanya dimaklumkan pada mesyuarat itu tetapi akan hanya dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

No comments: