Thursday, September 3, 2009

WUJUD DISKRIMINASI DALAM TAKAFUL KIFALAH?

Ketua UMNO Bachok tidak akan bersuara jika segalanya beres.

Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata kerajaan negeri sewajarnya melindungi seluruh golongan tua di negeri ini di bawah program Takaful Kifalah Warga Emas tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Katanya, dengan peruntukan kerajaan, semua rakyat yang berada di paras usia yang ditetapkan sepatutnya menerima faedah melalui skim yang perlu menjadi program kebajikan umum.

Justeru, katanya, pelaksanaan mesti dilakukan secara lebih telus dan adil agar tiada yang tercicir dengan tidak menjadikannya sebagai kepentingan politik.

"Perubahan perlu dilakukan yang mana seluruh rakyat perlu dibanci semula untuk mengagihkan skim Takaful Kifalah tanpa menjadikan perbezaan politik sebagai halangan untuk pelaksanaan yang lebih adil dan saksama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Kampung Perupuk dekat sini baru-baru ini.

Takaful berkenaan ditubuhkan oleh kerajaan Pas sebelum pilihan raya umum lepas bagi meringankan beban keluarga yang meninggal dunia untuk menguruskan jenazah termasuk mengadakan majlis tahlil.

Berdasarkan skim itu, pada awalnya individu berdaftar yang yang meninggal dunia diberi sumbangan sebanyak RM2,500.

Namun, ia dikurangkan sebanyak RM1,500 pada masa ini kerana bebanan kewangan yang semakin tinggi.

Awang yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, UMNO pernah menubuhkan program seumpama itu sebelum pilihan raya umum yang lalu dengan nama Kifalah Merdeka.

Beliau berkata, program itu hanya berbentuk sementara kerana peruntukan mengenainya berasaskan derma daripada orang ramai dan sumbangan syarikat-syarikat swasta.

"Bagaimanapun, UMNO berhasrat akan meneruskan program itu sekiranya diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Kelantan dengan menggunakan peruntukan kerajaan negeri.

"Apabila kita kalah ke mana hendak cari peruntukan yang membabitkan jutaan ringgit setahun itu bagi membiayainya sedangkan kutipan derma hanya dibenar sekali sahaja," katanya.

No comments: