Tuesday, June 30, 2009

TUAN AZIZ YAKIN LAKAR SEJARAH DI MANIK URAI

Sumber: Bernama

Calon Barisan Nasional (BN) Tuan Aziz Tuan Mat yakin beliau mempunyai peluang cerah untuk mencipta kemenangan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai berdasarkan hubungan baiknya dengan masyarakat setempat.

Katanya sebagai anak tempatan yang memahami budaya dan masalah masyarakat setempat selain pernah bertugas sebagai Pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Kuala Krai, beliau menaruh keyakinan penduduk akan menyokong BN pada 14 Julai depan.

"Secara tradisi, Manik Urai memang dianggap kawasan Pas tetapi saya yakin mempunyai peluang yang cerah untuk menang di sini kerana mempunyai hubungan rapat dengan rakyat pelbagai lapisan termasuk di peringkat akar umbi.

"Apa yang penting, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekati rakyat dan dengan sokongan padu dan kerja keras daripada jentera parti, saya percaya kita akan memberi saingan paling sengit kepada Pas," katanya di Pusat Operasi BN Manik Urai semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menaruh keyakinan kepada Tuan Aziz berdasarkan kemampuannya dalam melaksanakan tugas sebagai pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan daya kepimpinan beliau selama ini yang mengatasi calon Pas berdasarkan rekod perkhidmatan dan kemampuannya.

"Calon kita ini terbukti kemampuannya sebagai pegawai Kesedar dan dia ni banyak berurusan dengan orang ramai dan orang tempatan.

"Orang tempatan kenali dia dan kalau kita lihat dari segi kemampuan dan daya kepimpinannya, saya lihat apa yang telah dia lakukan selama ini mengatasi calon Pas dari segi 'track record' dan kemampuannya.

"Maknanya kita telah menetapkan calon yang terbaik untuk para pengundi di Manek Urai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Tuan Aziz, 39, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai calon mewakili BN pada pilihan raya kecil 14 Julai ini.

Sehubungan itu, Najib berharap pengundi di kawasan berkenaan akan memilih Tuan Aziz kerana percaya beliau berupaya menjadi seorang wakil rakyat yang dapat memberikan khidmat dengan baik dan berkesan.

"Kita berharap jika mereka (pengundi) ingin kepimpinan dia (Tuan Aziz) dapat diterjemahkan dalam bentuk seorang wakil rakyat yang boleh berkhidmat dengan baik dan berkesan, maka pilihlah calon kita sebagai wakil rakyat di Manek Urai," katanya. - Bernama
PAS sebelum ini mengumumkan seorang pemborong ikan, Mohd Fauzi Abdullah, 50, sebagai calon parti itu bagi mempertahan kerusi DUN itu.

Tuan Aziz yang juga bekas Pengurus Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Kesedar semalam mula bertemu penduduk setempat dengan beramah-mesra dengan mereka selain mendengar masalah yang dihadapi mereka.

Beliau berkata sepanjang tempoh berkempen mulai 6 Julai ini, beliau akan mengamalkan pendekatan turun padang dari rumah ke rumah serta berusaha sedaya-upaya untuk bersemuka dengan seberapa ramai pengundi di Manik Urai.

"Bagi saya, rakyat Manik Urai memerlukan seorang pemimpin yang sensitif terhadap keperluan mereka serta seorang wakil rakyat yang mampu mengetengahkan masalah yang dihadapi mereka, insyaAllah saya akan memberi khidmat terbaik kepada semua lapisan masyarakat di sini," katanya.

Selain itu, katanya, beliau tidak akan berkempen secara menyerang peribadi mana-mana pemimpin parti lawan termasuk calon Pas, sebaliknya akan mengamalkan pendekatan mesra rakyat serta turun padang bagi menjelaskan apa yang akan dilakukannya kepada masyarakat setempat jika dipilih sebagai calon.

"Saya tidak akan menyerang peribadi atau individu dalam Pas... sebaliknya saya mahu memberitahu rakyat bahawa saya bertanding pada pilihan raya kecil ini kerana ingin berkhidmat kepada mereka," katanya.

Seorang penduduk di Kampung Sungai Sok, Yahya Seman, 45, gembira kerana BN memilih Tuan Aziz untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Katanya Tuan Aziz banyak berjasa kepada penduduk Manik Urai kerana banyak membantu meningkatkan taraf ekonomi terutama dalam sektor pertanian.

"Kalau pengundi Manik Urai tolak calon BN adalah sangat rugi kerana jasanya terhadap petani di sini memang tidak boleh dinafikan," katanya sambil diakui rakannya Abdullah Muda, 47.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat daripada PAS Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu akibat sakit jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Julai sebagai tarikh penamaan calon manakala 14 Julai sebagai hari pengundian.

No comments: