Thursday, December 10, 2009

TUTUP SEMENTARA KB MALL, SPRM PERLU SIASAT

Daripada Tinta Merah

KEJADIAN kereta terjatuh di tingkat tiga di Kota Bharu Mall petang semalam menyebabkan dua penuntut kolej Jururawat Masterskill Kota Bharu mati, adalah satu kejadian yang malang. Pelajar yang mati itu ialah, Siti Noramira Shamsuddin dan Siti Nordiana Azman. Seorang lagi pelajar dan pemandu kereta berkenaan dilaporkan cedera parah.

Kejadian itu seperti mana kata MB, Nik Abdul Aziz Nik Mat diluar dugaan. Katanya enginner sendiri tidak dapat berfikir macam mana tembok yang begitu kuat boleh pecah. Hanya Allah saja yang tahu katanya.

Nik Aziz berkata demikian mungkin tanpa rujuk kepada keadaan tembok berkenaan, bagaimana ianya dibina. Manakala menurut Ketua Polis Kelantan, Abdul Rahim Hanafi tembok setinggi 1.8 meter itu dibina tanpa tulang (kerangka besi) didalamnya sebab itulah ia tidak kukuh dan pecah apabila berlaku rempuhan kuat.

Siasatan awal polis ini sedikit sebanyak menjawab persoalan di sebalik kejadian itu. Sudah pasti kalau tembok itu dibina mengikut spesifikasi yang betul kemungkinan untuk runtuh semudah itu sukar berlaku.

Persoalan sekarang ini timbul apakah pembinaan tembok berkenaan (KB Mall) itu mengikut spesifikasi yang ditentukan? Apakah kemungkinan wujud penyelewengan di dalam pembinaan kompleks yang terletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu itu?

Sekiranya kejadian jambatan gantung yang runtuh di Kampar, Perak dan membunuh tiga orang dibawa ke siasatan SPRM, apakah kejadian di KB Mall petang semalam juga akan turut di bawa ke siasatan SPRM? Rasanya elok kalau SPRM membuat siasatan menghalusi berhubungi pembinaan kompleks beli belah yang dikira canggih di Kota Bharu.

Jika untuk menyiasat pembinaan jambatan gantung di Perak itu apabila kejadian itu melibatkan kehilangan nyawa, maka kejadian di KB Mall itu juga turut meragut nyawa.

Dengan berlakunya tembok runtuh semalam, kemungkinan ada bahagian-bahagian lain yang dibina tanpa ada tulang besi yang menjadi struktur mengukuhkan kompleks berkenaan. Bukan prejudis, tetapi sebelum kejadian lebih buruk berlaku elok siasatan segera dilakukan demi keselamatan nyawa manusia.

Sejajar itu adalah elok kalau kerajaan negeri mengambil tindakan menutup sementara peremis berkenaan dan mengarahkan jurutera atau badan bebas membuat siasatan dan kajian menyeluruh ke atas ke atas pusat membeli belah itu. Bukan apa kita bimbang apa yang menimpa dan berlaku di Terengganu satu demi satu bangunan yang baru dibina runtuh, tercabut bumbung atau patah serambi juga akan berlaku di Kelantan.

Langkah kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat kejadian itu rasanya tidak cukup. Langkah lebih komprehensif perlu dilakukan. Sebelum berlaku kejadian lebih buruk elok ambil tindakan segera.

No comments: