Thursday, December 17, 2009

NIK AZIZ NAFI AKAN ROMBAK EXCO

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata barisan Exco Kerajaan Negeri sekarang akan dikekalkan dan tidak akan berlaku sebarang rombakan dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata khabar angin kononnya akan berlaku rombakan adalah tidak benar.

"Saya beri jaminan tidak akan berlaku rombakan exco," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Mengenai pertukaran beberapa pegawai kanan kerajaan, Nik Aziz berkata itu adalah perkara biasa dalam memantapkan pentadbiran negeri.

Mengenai keputusan kerajaan negeri untuk membawa balik Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra yang sedang menerima rawatan di Singapura, Nik Aziz berkata, ia adalah satu langkah psikologi untuk mendekatkan ingatan rakyat Kelantan agar sentiasa mendoakan kesejahteraan baginda.

"Faktor perbelanjaan atau kewangan adalah perkara kedua, tetapi yang nyata ialah psikologi minda rakyat terhadap Sultan dalam menghadapi suasana itu. Kalau tidak ada dalam negara bagi tempoh sebulan dua, itu perkara biasa," katanya.

Nik Aziz berkata kerajaan negeri bagaimanapun masih menunggu keputusan perubatan baginda sebelum langkah seterusnya diambil.

"Apa pun Tuanku Sultan akan dirawat di hospital yang dipilih dalam negara dan bukannya di Istana," katanya.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas, berkata beliau tetap memuji Datuk Seri Najib Razak dalam usaha Perdana Menteri membantu umat Islam di Selatan Thailand.

Menurutnya, beliau terpaksa akur dengan kebaikan seseorang itu walaupun orang itu merupakan musuh dalam politik.

"Mana boleh manusia ini buruk 100 peratus dan baik 100 peratus. Yang baik 100 peratus itu adalah malaikat, dan buruk 100 peratus itu adalah syaitan. Saya (kalau boleh) berusaha nak jadi malaikat," katanya.

Sumber: Bernama

No comments: