Tuesday, December 1, 2009

DEMONSTRASI DESAK NIK AZIZ MINTA MAAF

Kira-kira 1,000 orang yang mendakwa mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan pintu masuk Kota Darul Naim di sini bagi mendesak Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung satu kenyataan kontroversinya baru-baru ini.

Mereka yang berkumpul di hadapan pintu masuk yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan Kelantan itu turut mendesak Nik Aziz melepaskan jawatannya berikutan kemunculan beberapa isu yang dianggap mereka menjejaskan kerajaan dan rakyat negeri.

Selepas berkumpul hampir setengah jam sejak 10.15 pagi, kumpulan itu menyerahkan memorandum berkenaan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Anual Bakri Haron, di pintu masuk kota berkenaan.
Keadaan hampir menjadi kecoh semasa kumpulan itu meluahkan rasa kecewa apabila gagal menyerahkan sendiri memorandum itu kepada Nik Aziz, namun ia dengan pantas dileraikan oleh polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, yang berada di tempat kejadian kemudiannya meminta kumpulan itu bersurai sebelum tindakan yang lebih tegas diambil.

Mereka yang turut membawa beberapa kain rentang yang antara lainnya tertera kata-kata "Nik Aziz Perlu Letak Jawatan" dan "Kami Desak Nik Aziz Mohon Maaf Kepada Najib", kemudiannya akur dan bersurai sambil diawasi Unit Tindakan Ringan Anti Rusuhan.
Sementara itu, wakil NGO itu yang menamakan diri mereka Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan, Johan Che Pa, berkata memorandum itu menandakan bantahan sebahagian besar rakyat Kelantan yang kecewa dengan kenyataan Nik Aziz berhubung doa diturunkan bala terhadap Najib dan Umno bersabit tuntutan royalti petroleum pada 27 November lalu.

"Sekiranya Nik Aziz enggan memohon maaf kepada Datuk Seri Najib dan seluruh umat Islam, gerakan ini tidak akan berakhir di sini," katanya yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas.

No comments: