Saturday, October 24, 2009

PAS SEDANG ‘NGOK-GHAK’

PAS sedang bergelora? Nik Aziz kritik pemimpin atasan PAS.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan parti itu mengadakan satu muktamar khas bagi menentukan kedudukan "dua tiga kerat pemimpin yang bermasalah".

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dalam laman webnya www.blogtokguru.com. berkata bahawa perlu ada perubahan dalam "pemain-pemain penting" yang menduduki kerusi kepimpinan PAS di peringkat pusat.

"Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi, walaupun mesyuarat yang diadakan itu sehari penuh ataupun dua hari, tetapi prosesnya mesti ringkas dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas," katanya.

Beliau bersetuju dengan tulisan seorang bernama Dr Aziz Bari dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang turut membangkitkan mengenai isu berhubung beberapa pemimpin parti itu yang bermasalah.

Aziz dalam rencananya turut membangkitkan isu mengenai PAS perlu mengambil langkah drastik sama ada mendisiplin atau menyingkirkan anggota exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali, selain menyentuh mengenai golongan pro-Umno dalam PAS yang didakwanya seperti Presidan PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa.

Dalam blognya itu, Nik Aziz turut menyentuh mengenai Hasan dan setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali yang katanya tak habis-habis dengan isu kerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan.

"Tidak boleh jadi ni, kita duk "ghok-ghak" (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah, senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana.

"Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana, Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini," kata Nik Aziz.

Menurut Nik Aziz, muktamar khas itu juga boleh digunakan untuk membincang mengenai golongan atas pagar yang membuat "swing votes" dan mempengaruhi keputusan pilihan raya.

"Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke-3 (Pilihan raya umum), kata gi lah dan memang betul begitulah," katanya.

Sementara itu, Nasharudin pula berkata mesyuarat Majlis Syura parti itu perlu diadakan dengan secepat mungkin bagi membincangkan perkara itu, selain mendapatkan penjelasan terperinci daripada Nik Abdul Aziz sendiri.

"Saya merasakan mungkin mesyuarat Majlis Syura akan diadakan kerana beliau (Nik Abdul Aziz) adalah pengerusi majlis syura ulama (yang) akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan penjelasan daripada mulut beliau sendiri," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen apabila diminta mengulas cadangan Nik Aziz itu.

Bagaimanapun, Nasharudin berkata ia merupakan pandangan peribadi Nik Abdul Aziz dan tidak boleh membawa kepada perubahan dasar parti berkenaan kerana sebarang perubahan perlu dilakukan sebulat suara.

"Beliau sebagai Mursyidul Am bebas untuk memberikan pandangan tapi untuk membuat suatu keputusan, sudah tentulah ianya perlu dimesyuaratkan sebab ini benda besar, bukannya benda yang boleh dibuat oleh seorang ataupun dua orang.

"Pandangan peribadi tidak boleh menjadi sesuatu yang boleh membawa kepada perubahan dasar dalam parti kerana parti ini adalah milik ahlinya yang bermuktamar setiap tahun," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula enggan memberi sebarang komen mengenai perkara itu dan akan berjumpa dengan Nik Abdul Aziz esok.

"Saya akan berjumpa dengan beliau sendiri esok dan mendengar sendiri penjelasan daripada mulut beliau," katanya.
Sumber: Bernama

No comments: