Penanam tembakau terutama di jajahan Bachok dan Pasir Puteh tidak seharusnya terus bergantung terhadap hasil tanaman tembakau selepas Perjanjian Perdagagan Bebas Asean (AFTA) dikuat kuasa mulai 1 Januari, tahun depan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata kerajaan tidak akan menggalakkan mereka mengusahakannya selepas itu sebaliknya sedang berusaha untuk memperkenalkan tanaman alternatif lain.
"Ini disebabkan kos pengeluaran untuk menghasilkannya terlalu tinggi berbanding negara-negara jiran," katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan Hari Raya Aidilfitri peringkat Parlimen Pasir Puteh, semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan penanam berhubung keputusan kerajaan yang tidak akan menurunkan cukai tembakau, arak dan beras.
Mereka berkata tindakan itu akan memalapkan industri itu yang menjadi tempat mereka bergantung hidup sejak 50 tahun lepas.
Mustapa berkata kos yang lebih tinggi menyebabkan mereka tidak akan mampu bersaing dengan pengeluaran yang dihasilkan oleh penanam dari negara jiran yang kosnya lebih rendah.
"Lagi pun tembakau merbahaya kepada kesihatan dan ditegah oleh agama," katanya.
Beliau berkata kerajaan telah banyak membantu mereka termasuk meluluskan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada setiap penanam sejak dua tahun lepas supaya mereka keluar dari industri itu.
Katanya dengan bantuan itu kerajaan berharap mereka akan menyertai bidang lain seperti ternakan dan mengusahakan tanaman saperti kenaf dan ubi keledek.
No comments:
Post a Comment