Sunday, December 14, 2008

UMNO KELANTAN PILIH NAJIB

Apa nak dikatakan lagi.

Ternyata hanya Umno Bahagian Gua Musang sahaja dari Kelantan yang mencalonkan ketuanya Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding Presiden UMNO.

Dan itulah satu-satunya pencalonan untuk Tengku Razaleigh dan tidak melepasi kuota iaitu 58 pencalonan bagi membolehkan beliau layak bertanding jawatan Presiden parti.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mendapat pencalonan terbanyak di Kelantan, biarpun beliau mengekori Tan Sri Muhyiddin Yassin dari segi pencalonan keseluruhan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak jelas menjadi pilihan 13 daripada 14 Umno bahagian di Kelantan untuk dicalonkan bagi jawatan Presiden pada pemilihan parti Mac depan.

Apapun, Najib sudah menang tanpa bertanding jawatan presiden parti.
Mesyuarat Umno Bahagian Tanah Merah semalam menjadi penutup kepada mesyuarat Umno peringkat bahagian di Kelantan.

Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka mendapat enam pencalonan iaitu daripada Tanah Merah, Pasir Puteh, Ketereh, Tumpat, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat empat pencalonan iaitu daripada Kota Baharu, Jeli, Bachok dan Machang.

Ini diikuti Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendapat tiga pencalonan dari Pasir Mas, Kuala Krai dan Rantau Panjang manakala Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad mendapat satu pencalonan daripada Gua Musang.

Bagi jawatan Naib Presiden, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menjadi pilihan Umno Kelantan dengan mendapat 13 pencalonan daripada 14 bahagian kecuali bahagian Gua Musang.

Diikuti Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendapat sembilan pencalonan daripada Pasir Mas, Kota Baharu, Jeli, Bachok, Kubang Kerian, Kuala Krai, Tumpat dan Pasir Puteh manakala Tan Sri Rahim Thamby Chik mendapat lima pencalonan daripada Rantau Panjang, Kota Baharu, Kubang Kerian, Pengkalan Chepa dan Tanah Merah.

Datuk Seri Mohd Khaled Nordin juga mendapat lima pencalonan daripada Kuala Krai, Tumpat, Pengkalan Chepa, Machang dan Bachok manakala Datuk Mohd Shafie Apdal mendapat empat pencalonan daripada Jeli, Rantau Panjang, Kota Baharu dan Pasir Puteh.

Datuk Seri Syed Hamid Albar mendapat dua pencalonan daripada Tanah Merah dan Ketereh serta Tan Sri Isa Samad juga mendapat dua pencalonan iaitu daripada Pasir Mas dan Gua Musang.

Datuk Halimah Mohamed Sadique, Datuk Dr Affifudin Omar, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Tan Sri Annuar Musa masing-masing mendapat satu pencalonan, bagaimanapun Annuar telah mengumumkan menarik diri daripada bertanding.

No comments: