Thursday, January 12, 2017

Penajaan MARA & UniKL Untuk TRW Suatu ‘Pertindihan Kepentingan’?



‘Hujah bodoh’ tetapi jawab juga hujah berkenaan?

Apakah hujah pemilik kelab bola sepak JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tengku Mahkota Johor (TMJ) memang 'bodoh', tidak ada daya ‘intellectual’ dan hanya kutip daripada percakapan orang?

Apapun isu penajaan MARA kepada pasukan boleasepak Kelantan  sudah menjadi kes polis apabila satu laporan polis berkenaan dakwaan salahguna kuasa dan penggunaan dana MARA  dan UniKL dibuat oleh Ketua Syed Saddiq di Balai Polis Shah Alam.

Syed Saddiq yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata laporan tersebut dibuat kerana mendakwa berlaku pertindihan kepentingan sekali gus tindakan yang salah.


Tetapi yang nyata, TMJ jelas membuat gesaan supaya Pengerusi MARA, Tann Sri Annuar Musa menjelaskan ke mana hala tuju pelaburan MARA dan UniKL tersebut yang merupakan wang rakyat.

Annuar sebaliknya membalas kenyataan TMJ dengan berkata: “Ada pula yang kata saya pakai duit Mara, duit biasiswa Mara untuk taja TRW. Saya rasa tak rugi kalau kita belajar menyelidik sikit supaya kita kelihatan ada daya ‘intellectual’ dan ada ‘substance’ daripada pungut saja semua ‘hear say’.

Dan untuk Annuar mudah menjawab, beliau mengemukakan beberpa perkara yang sebaliknya disifatkan oleh Annuar sebagai tuduhan. Itu sahaja.

Apakah itu tindakan bodoh atau memang Annuar tertekan dan terpaksa mengatakan kenyataan TMJ itu  bodoh? Tidak betul cara itu.

Untuk rekod, Annuar telah meletak jawatan sebagai pengerusi KAFA pada November lalu tetapi masih membantu kelab itu.

Perkara yang disuarakan oleh TMJ ialah:

1.    Annuar perlu menjelaskan ke mana hala tuju pelaburan MARA dan UniKL tersebut yang merupakan wang rakyat.

2.    Annuar perlu beri  keterangan mengenai duit tajaan daripada Pelaburan MARA Berhad (PMB) dan UniKL yang ‘dipaksa’ untuk menaja pasukan The Red Warriors (TRW).

3.      Tidak cukup dengan pelaburan MARA, UniKL juga turut menjadi mangsa. Menurut TMJ, UniMARA.


Memperkukuhkan hujahnya TMJ menganggap “UniKL terpaksa mengurangkan biasiswa pelajar-pelajar Malaysia dari RM2 billion kepada RM1.3 billion bagi tahun 2016.

Semua ini terkandung dalam kenyataan TMJ di Facebook rasmi JDT, hari ini.

Tunku Ismail turut mendedahkan beberapa dokumen berkaitan penyaluran wang tajaan PMB  dan UniKL kepada pasukan Kelantan. 

Dalam konteks menggunakan kejayaan Faiz Subri untuk populariti Annuar, itu tanggapan TMJ sahaja. menyedapkan hujah sahaja. Jika benar akauilah, jika tidak benar lupakan saja. Tak kan sampai saman?

Isu yang cuba ditekankan TMJ ialah ‘sewaktu ekonomi negara tidak begitu baik dan banyak pemotongan di sana sini, masih tergamak Tan Sri menggunakan duit rakyat untuk pasukan TRW yang mana Tan Sri sendiri merupakan pengerusi MARA.’

Reaksi  Annuar terhadap kenyataan TMJ ialah:

1.      Mara tidak pernah menaja TRW, walau satu sen -  logo MARA 50th dipamerkan di lengan jersi TRW 2016 diberi percuma kepada MARA, walaupun ruangan itu bernilai RM250,000;
.
2.      Pengerusi Mara itu dalam kenyataan di Facebook hari ini berkata penjelasan itu tidak merujuk kepada individu tertentu saja, sebaliknya bersifat umum.

Hanya kerana Annuar sebagai Pengerusi MARA dan kebetulan berkait rapat dengan TRW sebagai Presiden, Kelantan dapat ‘tajaan free’ MARA.

Kenapa syarikat lain tidak dapat ‘tajaan free’ ini kalau benar-benar mahu berterima kasih dan mempopularkan MARA?

Apa rasional di sebalik itu dan apa keputusan pengurusan MARA hanya beri penajaan percuma ini kepada Kelantan sahaja? Bukankah kerana kebetulan Annuar Pengerusi MARA?

Bukan suatu paksaan tetapi sebagai suatu bakti?

Mengenai UniKL, ia sebuah syarikat bernaung di bawah MARA dan Annuar mengatakan jangan samakan TRW dengan pasukan lain, TRW ada cara kami sendiri, kami tidak ‘pau’ duit tajaan menggunakan paksaan, ugutan, penyelewengan, titah perintah. TRW mempunyai pakej komersial sendiri.

Namun pertanyaan ialah tidakkah berlaku suatu ‘konflik of interest’ apabila UniKL menaja TRW yang Presidennya ialah Annuar yang juga Pengerusi MARA.

Apakah UniKL bersedia menaja pasukan bolasepak (diulangi BOLASEPAK) lain selain TRW sejumlah itu?

TMJ mengatakan Annuar sengaja 'mengejutkan harimau sedang tidur' sambil mendakwa, Annuar sentiasa tidak berpuas hati dengannya dan ini perlu diselesaikan.

Berkaitan politik ini, tiga parti pembangkang menggesa  Annuar menjelaskan dakwaan penggunaan duit tajaan PMB  dan UniKL untuk menaja pasukan Kelantan sehari sebelum pelancaran jersi pasukan itu di Dewan Konvensyen Pusat Dagangan Kota Bharu.

Tuntutan itu dibuat hari ini melalui pimpinan Pemuda mereka iaitu Fahmi Zainol, Shazni Munir Mohd Ithnin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mereka menyifatkan kenyataan TMJ mengejutkan dan perlu diperjelaskan oleh Annuar yang juga bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

“Bagaimana pengerusi MARA iaitu Annuar tergamak bertindak sedemikian? Sedangkan dalam masa yang sama, masa depan pelajar Melayu tergadai dek perbuatan beliau.

“Pemuda PKR yakin prestasi buruk pihak Mara mempunyai hubung kait dengan tindakan Annuar menaja pasukan bola sepak Kelantan dengan menggunakan duit Mara,” kata Fahmi yang juga pengerusi Biro Mahasiswa Pemuda PKR.

Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir berkata Annuar sebagai ahli politik yang bertanggungjawab kepada rakyat tidak boleh berdiam diri.

“Jumlah RM700,000 bukan sedikit. Adalah difahami kesukaran pasukan Kelantan bergelut mencari sumber kewangan bagi meneruskan saingan untuk musim 2017, ia tetap tidak menjadi jalan pintas untuk mana-mana agensi ‘dirompak’ sedemikian rupa,” katanya.

Annuar masih berpeluang memberikan justifikasi setiap tajaan yang dibuat dan sejauh mana kesemua tajaan tersebut benar-benar membantu Bumiputera atau penerimanya.

Jika gagal Annuar perlu bertanggungjawab untuk mengembalikan semula RM700,000 itu ke kantung asalnya.

Syed Saddiwpula berkata beliau  faham keperluan untuk menaja kelab bola sepak tetapi jika kita lihat cara untuk timbang keperluan tersebut pertama ada pertindihan kepentingan.


"Jika Tan Sri Annuar Musa yang ketika itu Presiden KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) dan pada masa yang sama bertindak sebagai Pengerusi MARA dan UniKL menggunakan wang yang sepatutnya digunakan untuk anak Melayu yang bijak dan cerdik tetapi wang tersebut digunakan untuk selamatkan kelab bola sepak, saya rasa ini merupakan tindakan yang salah," kata Syed Saddiq.

Friday, January 6, 2017

Biar Betul...FELDA Berhutang Untuk Bayar Bonus Peneroka...

 

Dakwaan Ahli Parlimen Pandan bahawa FELDA terpaksa berhutang untuk membayar bonus adalah sesuatu yang perlu dipadang berat oleh pengurusan FELDA.

Apakah ia benar dan jika tidak, apakah langkah wajar untuk menangkis serangan Rafizi Ramli kali ini?

Mengheret Rafizi ke mahkamah kerana  membuat fitnah terhadap FELDA?

Naib Presiden PKR itu dalam kenyataannya seperti dipetik beberapa portal online menyebut FELDA membuat pinjaman dalam usaha untuk membiayai bonus sejumlah RM66.7 juta yang dijanjikan kepada para peneroka.

Rafizi mempersoalkan tindakan itu  kerana FELDA tidak mempunyai tunai yang mencukupi untuk membayar bonus ini, ulang Rafizi pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Kata  Rafizi, pada 2014, kerugian operasi FELDA ialah RM968 juta dan diperingkat kumpulan (termasuk kerugian anak-anak syarikat), FELDA mencatatkan kerugian operasi sehingga RM1.4 bilion.

Ini bermakna pada  2014, FELDA tidak berjaya menjana wang dari operasi kelapa sawit dan perniagaannya kerana mengalami kerugian.

Beliau yakin prestasi kewangan FELDA tidak banyak berubah dalam tahun 2015 dan 2016, oleh itu unjurannya FELDA dan anak-anak syarikatnya akan terus menunjukkan kerugian operasi.

Ini bermakna, jika ada sebarang bonus yang dibayar, ternyata  adalah dengan menggunakan wang hutang kerana operasinya tidak berjaya menjana keuntungan.

Lebih teruk dari itu, iaitu dengan keputusan FELDA untuk membeli 37% pegangan saham Eagle High Plantations berjumlah RM2.26 bilion.

“Ini menyebabkan hutang FELDA dan anak-anak syarikatnya akan melonjak naik kerana pembelian itu akan dibiayai melalui hutang.” katanya.

Pada 30 Disember 2016 lalu, Pengerusi FELDA Tan Sri Isa Samad seperti dilaporkan media mengumumkan pemberian bonus Insentif Produktiviti Peneroka hasil berjumlah RM66.7 juta yang akan diagihkan kepada 95,683 peneroka di seluruh negara.


Daripada jumlah 95,683 peneroka ini, mereka akan menerima insentif yang berbeza-beza di antara RM300 hingga RM800 bergantung kepada hasil. “Secara purata, setiap peneroka akan menerima RM697 bonus setiap seorang berdasarkan jumlah RM66.7 juta yang dibahagikan kepada 95,683 peneroka,” dakwa Rafizi.

Isa juga dipetik bahawa  FELDA masih mampu membayar bonus walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Apa yang tidak disebut oleh Isa ialah bonus itu (berdasarkan unjuran penyata kewangan tahun 2014 dan kedudukan kewangan FELDA sejak dari itu) dibayar dengan menggunakan wang pusingan hutang kerana prestasi kewangan FELDA setakat ini (setakat yang terkini iaitu 2014) menunjukkan FELDA mencatatkan kerugian dari operasinya (iaitu operasi bersabit kelapa sawit dan perniagaan sebelum ditolak bayaran faedah hutang, cukai dan lain-lain).

Berdasarkan laporan The Star bertarikh 28 Disember 2016 yang memetik sumber yang rapat dengan urusniaga itu mengesahkan bahawa pembelian saham berjumlah RM2.26 bilion dalam Eagle High itu akan dibiayai melalui 2 pinjaman:

i. Terbitan hutang sukuk (kertas hutang mematuhi shariah) berjumlah RM1.13 bilion iaitu 50% dari pembiayaan tersebut

ii. Baki pembelian RM1.13 bilion akan dibiayai oleh satu hutang dari kumpulan bank Eropah

Rafizi menegaskan hasil semakannya, kadar purata faedah (kupon) yang perlu dibayar oleh hutang-hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara, seperti berikut:


a) Berdasarkan kadar di pasaran yang terkini bertarikh 4 Januari 2017, kadar bayaran faedah bagi hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia mencecah 5% bagi hutang-hutang yang perlu dilangsaikan dalam tempoh 20 tahun.

b) Hutang yang akan diterbitkan oleh FELDA dan dijamin oleh Kerajaan Malaysia juga akan dikenakan kadar faedah yang sama dengan hutang-hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia, iaitu sekitar 5%.

c) Bagi hutang yang diambil dari kumpulan bank Eropah, kadar pinjaman dari bank perdagangan selalunya beberapa % lebih tinggi dari kadar hutang yang diterbitkan oleh sesebuah kerajaan.

Jadi, jika kadar hutang bagi hutang-hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia adalah 5%, beliau mengunjurkan (dengan mengambil kira risiko kewangan akibat kedudukan kewangan FELDA yang lemah) FELDA terpaksa membayar kadar faedah sekurang-kurangnya 7% (iaitu 2% lebih tinggi dari kadar hutang Kerajaan Malaysia atau MGS) ke atas RM1.13 bilion yang diambil dari bank Eropah itu.

“Berdasarkan angka-angka ini, saya sertakan satu perkiraan jumlah hutang yang terpaksa ditanggung oleh FELDA dan anak syarikatnya setelah pengambil alihan 37% pegangan di dalam Eagle High Plantations, seperti yang ditunjukkan di bawah:


Kedudukan hutang FELDA, jumlah kos membayar faedah hutang dan purata kos faedah hutang tahunan yang ditanggung oleh seorang peneroka FELDA selepas pembelian saham-saham itu adalah seperti berikut:

i. Jumlah kos membayar hutang FELDA dan anak syarikatnya – RM485 juta setahun

ii. Purata bayaran faedah hutang FELDA dan anak syarikatnya bagi setiap peneroka – RM5,065 setahun


Berikutan itu, beliau minta Isa meletakkan jawatan kerana bukan sahaja prestasi kewangan FELDA jatuh merudum semasa beliau memimpin FELDA, beliau juga mengumumkan bonus purata RM697 seorang peneroka yang akan dibayar dari hutang.

“Sedangkan beliau menyembunyikan bahawa setiap peneroka itu pula akan menanggung bayaran faedah hutang FELDA dan anak syarikatnya sebanyak RM5,065 setahun,” tegas Rafizi.


Benarkah dapat bonus RM697 tetapi tanggung hutang RM5,065?