Showing posts with label Rafizi. Show all posts
Showing posts with label Rafizi. Show all posts

Friday, January 6, 2017

Biar Betul...FELDA Berhutang Untuk Bayar Bonus Peneroka...

 

Dakwaan Ahli Parlimen Pandan bahawa FELDA terpaksa berhutang untuk membayar bonus adalah sesuatu yang perlu dipadang berat oleh pengurusan FELDA.

Apakah ia benar dan jika tidak, apakah langkah wajar untuk menangkis serangan Rafizi Ramli kali ini?

Mengheret Rafizi ke mahkamah kerana  membuat fitnah terhadap FELDA?

Naib Presiden PKR itu dalam kenyataannya seperti dipetik beberapa portal online menyebut FELDA membuat pinjaman dalam usaha untuk membiayai bonus sejumlah RM66.7 juta yang dijanjikan kepada para peneroka.

Rafizi mempersoalkan tindakan itu  kerana FELDA tidak mempunyai tunai yang mencukupi untuk membayar bonus ini, ulang Rafizi pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Kata  Rafizi, pada 2014, kerugian operasi FELDA ialah RM968 juta dan diperingkat kumpulan (termasuk kerugian anak-anak syarikat), FELDA mencatatkan kerugian operasi sehingga RM1.4 bilion.

Ini bermakna pada  2014, FELDA tidak berjaya menjana wang dari operasi kelapa sawit dan perniagaannya kerana mengalami kerugian.

Beliau yakin prestasi kewangan FELDA tidak banyak berubah dalam tahun 2015 dan 2016, oleh itu unjurannya FELDA dan anak-anak syarikatnya akan terus menunjukkan kerugian operasi.

Ini bermakna, jika ada sebarang bonus yang dibayar, ternyata  adalah dengan menggunakan wang hutang kerana operasinya tidak berjaya menjana keuntungan.

Lebih teruk dari itu, iaitu dengan keputusan FELDA untuk membeli 37% pegangan saham Eagle High Plantations berjumlah RM2.26 bilion.

“Ini menyebabkan hutang FELDA dan anak-anak syarikatnya akan melonjak naik kerana pembelian itu akan dibiayai melalui hutang.” katanya.

Pada 30 Disember 2016 lalu, Pengerusi FELDA Tan Sri Isa Samad seperti dilaporkan media mengumumkan pemberian bonus Insentif Produktiviti Peneroka hasil berjumlah RM66.7 juta yang akan diagihkan kepada 95,683 peneroka di seluruh negara.


Daripada jumlah 95,683 peneroka ini, mereka akan menerima insentif yang berbeza-beza di antara RM300 hingga RM800 bergantung kepada hasil. “Secara purata, setiap peneroka akan menerima RM697 bonus setiap seorang berdasarkan jumlah RM66.7 juta yang dibahagikan kepada 95,683 peneroka,” dakwa Rafizi.

Isa juga dipetik bahawa  FELDA masih mampu membayar bonus walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Apa yang tidak disebut oleh Isa ialah bonus itu (berdasarkan unjuran penyata kewangan tahun 2014 dan kedudukan kewangan FELDA sejak dari itu) dibayar dengan menggunakan wang pusingan hutang kerana prestasi kewangan FELDA setakat ini (setakat yang terkini iaitu 2014) menunjukkan FELDA mencatatkan kerugian dari operasinya (iaitu operasi bersabit kelapa sawit dan perniagaan sebelum ditolak bayaran faedah hutang, cukai dan lain-lain).

Berdasarkan laporan The Star bertarikh 28 Disember 2016 yang memetik sumber yang rapat dengan urusniaga itu mengesahkan bahawa pembelian saham berjumlah RM2.26 bilion dalam Eagle High itu akan dibiayai melalui 2 pinjaman:

i. Terbitan hutang sukuk (kertas hutang mematuhi shariah) berjumlah RM1.13 bilion iaitu 50% dari pembiayaan tersebut

ii. Baki pembelian RM1.13 bilion akan dibiayai oleh satu hutang dari kumpulan bank Eropah

Rafizi menegaskan hasil semakannya, kadar purata faedah (kupon) yang perlu dibayar oleh hutang-hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara, seperti berikut:


a) Berdasarkan kadar di pasaran yang terkini bertarikh 4 Januari 2017, kadar bayaran faedah bagi hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia mencecah 5% bagi hutang-hutang yang perlu dilangsaikan dalam tempoh 20 tahun.

b) Hutang yang akan diterbitkan oleh FELDA dan dijamin oleh Kerajaan Malaysia juga akan dikenakan kadar faedah yang sama dengan hutang-hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia, iaitu sekitar 5%.

c) Bagi hutang yang diambil dari kumpulan bank Eropah, kadar pinjaman dari bank perdagangan selalunya beberapa % lebih tinggi dari kadar hutang yang diterbitkan oleh sesebuah kerajaan.

Jadi, jika kadar hutang bagi hutang-hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia adalah 5%, beliau mengunjurkan (dengan mengambil kira risiko kewangan akibat kedudukan kewangan FELDA yang lemah) FELDA terpaksa membayar kadar faedah sekurang-kurangnya 7% (iaitu 2% lebih tinggi dari kadar hutang Kerajaan Malaysia atau MGS) ke atas RM1.13 bilion yang diambil dari bank Eropah itu.

“Berdasarkan angka-angka ini, saya sertakan satu perkiraan jumlah hutang yang terpaksa ditanggung oleh FELDA dan anak syarikatnya setelah pengambil alihan 37% pegangan di dalam Eagle High Plantations, seperti yang ditunjukkan di bawah:


Kedudukan hutang FELDA, jumlah kos membayar faedah hutang dan purata kos faedah hutang tahunan yang ditanggung oleh seorang peneroka FELDA selepas pembelian saham-saham itu adalah seperti berikut:

i. Jumlah kos membayar hutang FELDA dan anak syarikatnya – RM485 juta setahun

ii. Purata bayaran faedah hutang FELDA dan anak syarikatnya bagi setiap peneroka – RM5,065 setahun


Berikutan itu, beliau minta Isa meletakkan jawatan kerana bukan sahaja prestasi kewangan FELDA jatuh merudum semasa beliau memimpin FELDA, beliau juga mengumumkan bonus purata RM697 seorang peneroka yang akan dibayar dari hutang.

“Sedangkan beliau menyembunyikan bahawa setiap peneroka itu pula akan menanggung bayaran faedah hutang FELDA dan anak syarikatnya sebanyak RM5,065 setahun,” tegas Rafizi.


Benarkah dapat bonus RM697 tetapi tanggung hutang RM5,065?

Tuesday, May 24, 2016

Tuduhan Rasuah Kerajaan Selangor - Kenapa Ke PKR Bukan SPRM?


Negara dan khususnya Selangor digemparkan dengan isu kononnya terdapat amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor beberapa hari lalu.

Laporan itu dibuat berikutan pendedahan perbualan aplikasi WhatsApp Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang didakwa mendedahkan wujud permintaan "untuk mendapatkan wanita" sebagai habuan dalam urusan dengan kerajaan negeri.

Laporan ini hanya beberapa bulan selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 12 Disember tahun lalu mengingatkan kerajaan negeri dan agensi di bawahnya agar tidak menyalahgunakan kuasa sekaligus terlibat dalam kegiatan rasuah.

Titah baginda, sekiranya rasuah berlaku ia akan mendorong kepada kemerosotan ekonomi, ketidakstabilan politik dan wujud ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat.

“Jika tidak dibendung gejala rasuah ini dengan serius, maka akan timbul ketidakpuasan hati rakyat, yang mana ekonomi negeri akan menurun dan timbul pula kemiskinan serta berlaku politik yang tidak stabil.


“Apabila rasuah ini dibiarkan berleluasa, maka hasil negeri akan disalahgunakan dan pendapatan negeri akan lesap … justeru rakyat tidak akan berpuas hati, negeri akan menjadi kacau bilau dan rakyat tidak dapat hidup dengan selesa dan harmoni,” titah Sultan Sharafuddin pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor bersempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-70 yang disambut semalam, di Istana Alam Shah.

Menurut laporan, Rafizi dalam perbualan itu didakwa mengatakan menerima aduan bahawa selain wang yang diminta untuk urusan dengan kerajaan negeri, terdapat juga permintaan untuk mendapatkan wanita.

Namun, hairan juga apabila Rafizi mahu menyerahkan bukti berlakunya rasuah kepada pemimpin tertinggi PKR, bukannya terus kepada Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM).

Apakah Rafizi melihat isu ini sebagai isu parti atau kepemimpinan dalam PKR semata-mata atau menyelamatkan pentadbiran pembangkang negeri Selangor?

Atau apakah Rafizi melihat kepentingan menyelamatkan parti PKR di Selangor lebih penting daripada mendedahkan berlakunya rasuah di negeri yang ditadbirkan oleh antara pemimpin tertinggi PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali?

Setiausaha Agung PKR itu berkata semalam , dia akan mengemukakan bukti berhubung dakwaan rasuah dalam kerajaan Selangor kepada presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada mesyuarat PKR hari ini.

Rafizi berkata, setiap kes berkaitan disiplin akan dibawa kepada biro disiplin parti dan tindakan selanjutnya akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah.

"Saya akan menyerahkan segala bukti kepada beliau (presiden) dan kita akan menunggu perbincangan dalam parti sebelum membuat keputusan untuk melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen semalam.


Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dalam kenyataan 20 Mei lalu menafikan tuduhan salahlaku membabitkan pentadbirannya susulan pendedahan transkrip perbualan WhatsApp Rafizi itu.

Azmin menyifatkan tindakan tersebut sebagai kempen cubaan memburukkan pentadbirannya yang diusahakan oleh pihak tertentu.

“Ini merupakan satu tuduhan jijik yang tidak disokong oleh sebarang bukti. Ia juga satu kempen fitnah yang terancang terhadap kerajaan serta kakitangan awam di Selangor.

“Dalam melaksanakan serangan jahat dan semberono ini, orang yang menuduh sebenarnya telah mencemarkan nama baik, maruah serta integriti perkhidmatan awam negeri,” kata Azmin.

Hendaknya jika benar-benar Rafizi atau yang ‘sewaktu’ dengannya mempunyai maklumat, rasuah perlu dibanteraskan.


Bukankah ini akan membawa keyakinan kepada rakyat Selangor dan Malaysia amnya bahawa partin dan pemimpin PKR tidak akan bertolak ansutr dengan rasuah?