Sunday, June 5, 2016

Budiman Kata PAS Berebut ‘Hati Azmin’, Mujahid Pula PAS Tengah ‘Mabuk’


Calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi menganggap PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai dua kekasih yang bergelut untuk merebut 'sekeping hati' yang sama.

Kata ADUN Sungai Panjang itu, keadaan berkenaan menyebabkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bingung dan "pening kepala".

Pada masa sama, Budiman menganggap PAS yang akan menentangnya dalam pilihan raya kecil 18 Jun ini sebagai "kekasih gelap" Azmin.

Naib Presiden AMANAH Datuk Mujahid Yusof Rawa pula menuduh parti lamanya PAS, jadi mabuk dengan perkauman UMNO dan mengetepikan kepercayaan parti terhadap universalisme Islam.

Mujahid berkata bapanya, Yusof Rawa, pengasas PAS menegakkan prinsip Islam sepanjang hidupnya.

Bagaimanapun, PAS kini menjadi perkauman selepas “mabuk dengan doktrin UMNO, kenyataan perkauman dan fitnah terhadap masyarakat Cina dan DAP”.

Kenapa Budiman anggap PAS kekasih gelap?

"Pada masa yang sama dia (Azmin yang mewakili PKR) ada 'isteri' yang bernama PAS. Kemudian dia binkan dengan PKR. Pada masa yang sama dia ada kekasih gelap nama PAN (merujuk kepada AMANAH), bin dengan DAP.

"Kalau kita lantik (ADUN) daripada PAN, hari ini pun Azmin dah pening kepala," katanya
Budiman berucap kepada masyarakat setempat di suatu program lawatan di Homestay Batu 23, Sungai Nibong semalam.

Kata Budiman, hubungan Azmin dengan PAS dan AMANAH seperti dua kekasih gelap yang "berebut satu hati yang sama".

Mengenai calon PAS Dr Abdul Rani Osman, Budiman berkata terlalu sukar untuk ADUN Meru itu mengelola Sungai Besar jika berlaku sebarang kecemasan.

"Jika ada adinda yang dekat (merujuk kepada dirinya sebagai ADUN Sungai Besar) mengapa perlu pilih orang jauh (Rani)?" katanya.

Budiman turut menyentuh calon AMANAH Azhar Abdul Shukur yang disebut-sebut sebagai anak tempatan. "Tetapi dia mengundi pun di Temerloh," katanya.

Pilihan raya kecil Sungai Besar akan diadakan pada 18 Jun ini ekoran kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dalam kemalangan helikopter di Sebuyau pada 5 Mei lalu.

Penamaan calon untuk pilihan raya kecil itu diadakan hari ini. Proses itu akan dijalankan serentak dengan kawasan parlimen Kuala Kangsar.



Sementara itu, Mujahid mengeluarkan kenyataan itu sebagai respon terhadap komen dibuat pemimpin Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz bahawa DAP menyediakan ahlinya dengan “arak”, hingga menyebabkan mereka keluar untuk menubuhkan AMANAH.

“Bukan kami yang mabuk, kamu yang mabuk,” kata Mujahid dan kerana itu mereka “keluar parti (PAS), dan itu semua kerana kamu yang mabuk dengan UMNO.” (baca tulisan Mujahid seperti disiarkan Malaysiakini semalam)

AMANAH, parti serpihan PAS, ditubuhkan tahun lalu selepas sekumpulan pemimpin dalam puak progresif disingkirkan oleh calon konservatif dalam pemilihan parti. Langkah itu diambil susulan perbalahan berterusan antara DAP dan PAS berikutan parti Islam itu bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan, dan ia disokong UMNO.

Perbalahan itu menyebabkan terkuburnya Pakatan Rakyat, dan kemudian AMANAH bersama DAP dan PKR membentuk Pakatan Harapan.

Mujahid juga mengkritik pemimpin PAS yang memakai baju Melayu, kain pelikat dan songkok di muktamar itu, bukan jubah putih tradisi pakaian seragam mereka, yang digambarkannya mengikut gaya pemimpin UMNO.

“Cara mereka (PAS) berpakaian menggambarkan apa yang ada dalam fikiran mereka, sedangkan UMNO pun tidak sejauh itu (membuktikan mereka Melayu),” kata Mujahid.

Katanya, tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan keris untuk memotong kek pada muktamar itu “ejekan” kepada semua orang Islam. 


Friday, June 3, 2016

Kesetiaan Pengundi UMNO Bakal Pecah Di Kuala Kangsar?


Skandal 1MDB, derma RM2.6 bilion, perpecahan dalaman UMNO Kuala Kangsar dan calon bukan pilihan semua menjadi antara faktor yang akan menguji kesetiaan pengundi tegar UMNO dalam PRK Parlimen itu pada 18 Jun depan.

Bekas naib ketua Wanita UMNO Datuk Kamilia Ibrahim berkata kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai segmen pengundi yang setia kepada parti masing-masing, sama ada UMNO atau PAS, terutama di kawasan luar bandar.

“Namun tidak mustahil kesetiaan pengundi UMNO akan pecah atas pelbagai sebab. Misalnya isu 1MDB dan RM2.6 bilion membuatkan ahli UMNO sendiri marah, walaupun ada yang tidak menunjukkan kemarahan mereka.

“Begitu juga faktor calon yang tidak dipersetujui semua, selain perpecahan dalaman UMNO Kuala Kangsar akibat perbalahan sesama sendiri,” katanya dalam wawancara bersama FMT semalam.

Kamilia yang juga bekas ketua Wanita UMNO Kuala Kangsar berkata isu 1MDB dan RM2.6 bilion juga mungkin mampu menyebabkan pengundi luar yang biasanya tidak mengundi dalam PRK – yang cenderung menyokong pembangkang, pulang untuk menunjukkan suara mereka.

Bekas senator yang 30 tahun menjadi ahli UMNO itu dipecat pada 2013, selepas mengambil tindakan nekad bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Kuala Kangsar pada PRU13 sebagai tanda protes kepada kepimpinan tertinggi UMNO.

Sementara itu, Kamilia menyambut baik spekulasi yang menyatakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir mungkin ‘menaja’ bekas ketua Wanita UMNO Gopeng Datuk Hamidah Osman yang dipecat tahun lalu untuk turut bertanding sebagai calon bebas.

Beliau juga menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan penentangan Mahathir terhadap Najib sudah bersifat terlalu peribadi.

“Saya percaya apa yang beliau lakukan adalah perjuangan. Ramai orang lupa kalimah ‘perjuangan’ ini. Untuk mewujudkan negara yang lebih bersih, tidak rasuah dan berpegang kepada prinsip kenegaraan yang tulen.

“Saya pun rasa mahu bertanding kalau ada pasukan yang bagus. Ini (menentang kepimpinan Najib) adalah perjuangan yang bagus. Saya sudah lama dalam politik, dan perjuangan tidak pernah mati,” katanya.

Seorang lagi pemimpin UMNO Syed Rosli Syed Harman Jamalullail juga dikatakan akan menjadi calon bebas.

Namun setakat ini hanya UMNO, PAS dan Pakatan Harapan yang mengesahkan akan bertanding di Kuala Kangsar.