Wednesday, June 1, 2016

Sultan Ingatkan Masjid, Surau Jangan Selit Politik Dalam Tazkirah


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah me­ngingatkan semua masjid dan surau di negeri ini agar tidak menjadikan tazkirah sepanjang Ramadan ini sebagai ceramah politik serta mengambil imam luar untuk solat tarawih.

Semua aktiviti tazkirah hendaklah dibuat antara solat tarawih dan Isyak atau setelah selesai solat tarawih dan witir.

Tazkirah pula tidak disampaikan dalam tempoh lama melebihi 20 minit.

Peringatan itu disampaikan baginda kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Haris berkata, baginda mela­rang isi kandungan tazkirah menyentuh isu-isu sensitif yang menyinggung pihak-pihak tertentu kerana perbuatan sedemikian boleh menimbulkan rasa tidak senang hati serta perpecahan dalam masyarakat.

Menurutnya, baginda mahu perasaan saling menghormati di­terapkan sepanjang bulan yang penuh keberkatan itu.

“Ramadan sebagai bulan rahmat, berkat dan bulan keampunan akan hadir tidak berapa lama lagi.

“Maka, saya sebagai individu yang diamanahkan untuk menyelia pengurusan masjid dan surau di Selangor ingin memohon beberapa perkara penting supaya diambil perhatian oleh semua nazir dan pengerusi surau.

“Tambahan pula, apa yang saya sebut ini seringkali diperingatkan serta dititahkan oleh Sultan Se­langor kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Konvensyen Pemantapan dan Pemerkasaan Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Selangor dan penyampaian sumbangan bantuan moreh di Shah Alam, kelmarin.

Haris menambah, semua penceramah yang dijemput perlu mempunyai tauliah berceramah yang dikeluarkan oleh pihaknya.

Menurutnya, keingkaran nazir dan pengerusi surau mematuhi peraturan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mengenai solat tarawih pula katanya, masjid dan surau diga­lakkan mengambil imam-imam tempatan terdiri daripada pelajar atau lulusan tahfiz dalam negara.

Beliau memberitahu, solat ta­ra­wih pula perlu dilaksanakan sebanyak 20 rakaat sebagaimana amalan Saidina Umar, juga sama seperti dilakukan di Masjidil Ha­ram dan Masjid Nabawi.

Tuesday, May 31, 2016

BN Kekal Dengan Pendapat Fathul Bari Atau Bagaimana?


Bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman menyifatkan keputusan Barisan Nasional (BN) mencalonkan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar dilihat sebagai satu lawak jenaka pucuk pimpinan parti itu.

Beliau berkata demikian selepas mendapati ramai akar umbi parti itu sendiri tidak bersetuju dengan pencalonan Mastura, balu bekas Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang meninggal dunia dalam nahas helikopter baru-baru ini.

Katanya, pencalonan Mastura hanyalah untuk meraih undi simpati rakyat, sekaligus sanggup mengadai perjuangan asal BN sebelum ini yang sentiasa mengetegah calon berkaliber dan mampu berkhidmat untuk rakyat.

“Saya pun tak faham apa strategi BN dengan meletakkan Datin Mastura sebagai calon.
“Strategi meraih simpati itu sudah lari daripada strategi asal UMNO dan BN yang mahu meletakkan calon yang mampu berkhidmat untuk rakyat dan menyumbang tenaga.

“Ia menunjukkan UMNO dan BN sudah tenat sehingga terpaksa guna elemen simpati untuk menarik undi,” katanya yang turut menegaskan Mastura masih tidak cukup pengalaman dalam bidang politik.

Tambahnya lagi, proses berkempen adalah penting untuk calon mengambil tahu dan melihat sendiri permasalahan rakyat demi melakukan perubahan selepas dipilih menjadi Ahli Parlimen.


Sementara itu, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Jamalullail menggesa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir supaya menukar calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Beliau membuat gesaan itu kerana merasakan pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid hanya memberi kelebihan kepada PAS.

Alasan Syed Rosli ialah calon BN (Mastura) tidak dapat turun berkempen kerana dalam iddah menyebabkan pengundi beralih kerana tidak mengetahui tentang perancangan untuk membangunkan Kuala Kangsar dan manfaat kepada pengundi di sana.

Satu lagi kelebihan calon PAS, (Dr Najihatussalehah Ahmad) ialah beliau boleh berbahasa Mandarin. Ini memberi sedikit kelebihan untuk menarik pengundi Cina.

“Saya anak jati Kuala Kangsar dan dibesarkan di sana dan saya merasakan tindakan yang dibuat pucuk pimpinan terutama Dr Zambry amat memeranjatkan dan ini sebenarnya berkemungkinan memberi impak yang negatif kepada UMNO dan BN.

“Ada masa lagi tukar calon lain. Saya sebagai anak jati Kuala Kangsar mohon pucuk pimpinan menukar calon sebelum penamaan calon pada 5 Jun ini,” katanya semalam.

Syed Rosli sebelum ini juga telah memuat naik beberapa status yang agak keras di laman Facebooknya yang dilihat sebagai tanda protes dengan pemilihan Mastura sebagai calon BN di Kuala Kangsar.

Isu mengenai larangan keluar rumah bagi perempuan yang masih dalam tempoh iddah turut menjadi perdebatan, namun menurut Ketua Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama Pemuda PKR Wan Ji Wan Hussin, ia tidak bersifat mutlak.

Larangan keluar rumah itu dibuat bagi mengelakkan perempuan yang masih dalam iddah mengahwini mana-mana lelaki.

“Larangan hadis memakai pakaian berwarna, keluar rumah dan lain-lain bagi perempuan beriddah hanya dalam konteks dibimbangkan boleh membawa kepada pernikahan. Jika tidak membawa kepada pernikahan, ia tidak termasuk di bawah larangan hadis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Wan Ji berkata demikian sebagai respons terhadap strategi kempen BN yang akan berkempen tanpa calon pada PRK Kuala Kangsar.

Ia dilakukan susulan calon BN di Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid, kini masih dalam tempoh iddah selepas suaminya allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad maut dalam nahas helikopter di Sarawak.

Wan Ji berkata pandangan ulama muda UMNO Fathul Bari Mat Jahya bahawa Mastura tidak boleh keluar berkempen kerana masih dalam tempoh iddah adalah pandangan selamat.

“Saya secara peribadi, menganggap pandangan Dr Fathul Bari itu adalah pandangan yang selamat untuk diamalkan. Terutama, pandangan ini lebih banyak diamalkan dalam kalangan masyarakat kita,” katanya.