Wednesday, June 1, 2016

Sultan Ingatkan Masjid, Surau Jangan Selit Politik Dalam Tazkirah


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah me­ngingatkan semua masjid dan surau di negeri ini agar tidak menjadikan tazkirah sepanjang Ramadan ini sebagai ceramah politik serta mengambil imam luar untuk solat tarawih.

Semua aktiviti tazkirah hendaklah dibuat antara solat tarawih dan Isyak atau setelah selesai solat tarawih dan witir.

Tazkirah pula tidak disampaikan dalam tempoh lama melebihi 20 minit.

Peringatan itu disampaikan baginda kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Haris berkata, baginda mela­rang isi kandungan tazkirah menyentuh isu-isu sensitif yang menyinggung pihak-pihak tertentu kerana perbuatan sedemikian boleh menimbulkan rasa tidak senang hati serta perpecahan dalam masyarakat.

Menurutnya, baginda mahu perasaan saling menghormati di­terapkan sepanjang bulan yang penuh keberkatan itu.

“Ramadan sebagai bulan rahmat, berkat dan bulan keampunan akan hadir tidak berapa lama lagi.

“Maka, saya sebagai individu yang diamanahkan untuk menyelia pengurusan masjid dan surau di Selangor ingin memohon beberapa perkara penting supaya diambil perhatian oleh semua nazir dan pengerusi surau.

“Tambahan pula, apa yang saya sebut ini seringkali diperingatkan serta dititahkan oleh Sultan Se­langor kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Konvensyen Pemantapan dan Pemerkasaan Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Selangor dan penyampaian sumbangan bantuan moreh di Shah Alam, kelmarin.

Haris menambah, semua penceramah yang dijemput perlu mempunyai tauliah berceramah yang dikeluarkan oleh pihaknya.

Menurutnya, keingkaran nazir dan pengerusi surau mematuhi peraturan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mengenai solat tarawih pula katanya, masjid dan surau diga­lakkan mengambil imam-imam tempatan terdiri daripada pelajar atau lulusan tahfiz dalam negara.

Beliau memberitahu, solat ta­ra­wih pula perlu dilaksanakan sebanyak 20 rakaat sebagaimana amalan Saidina Umar, juga sama seperti dilakukan di Masjidil Ha­ram dan Masjid Nabawi.

No comments: