Showing posts with label royalti minyak. Show all posts
Showing posts with label royalti minyak. Show all posts

Saturday, March 20, 2010

Lebih 100,000 Pelajar Miskin Kelantan Dapat Wang Ihsan

Lebih 100,000 pelajar miskin di sekolah-sekolah rendah dan menengah di Kelantan akan menerima pengagihan wang Ihsan yang membabitkan peruntukan sebanyak RM20 juta daripada RM25 juta mulai 3 April depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata bakinya RM5 juta itu pula akan diperuntukkan kepada mereka yang mengalami bencana alam seperti kebakaran, banjir dan membantu mangsa ribut.

Dr Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata keutamaan akan diberikan kepada para pelajar yang tidak menerima bantuan di bawah dana Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

"Jumlah yang akan diterima oleh setiap murid sedang dinilai oleh jawatankuasa itu," katanya kepada pemberita pada majlis taklimat khas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Parlimen Bachok di Perupuk semalam.

Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan lebih RM25 juta tahun ini kepada Kelantan dalam bentuk wang ihsan hasil penggerudian telaga minyak oleh Petronas di luar perairan Kelantan

Katanya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin akan melancarkan penyampaian kepada kumpulan pertama dalam rangka lawatan sehari ke Kelantan pada 3 April depan.

Beliau berkata kesemua pelajar tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa akan menerimanya bagi meringankan beban ibu bapa masing-masing untuk membiayai persekolahan anak-anak.

"Walaupun pemilihan itu dibuat oleh guru-guru di sekolah mereka perlu mendapat sokongan dari Penyelia-penyelia Pembangunan Mukim (PPM) di kawasan masing-masing," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Friday, March 19, 2010

TENGKU RAZALEIGH KECEWA JASANYA TIDAK DIKENANG

Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau kecewa kerana jasanya menubuhkan agensi itu tidak dikenang bahkan "dimarahi" disebabkan pendiriannya menyokong kerajaan PAS Kelantan menuntut isu royalti minyak.

Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata beliau menyokong tuntutan itu kerana menganggap pemberian wang ihsan (bukan royalti) oleh kerajaan pusat satu tindakan yang tidak tepat.
Bagi Tengku Razaleigh ia seolah-olah mengambarkan sebagai "peminta sedekah".

"Mengikut undang-undang yang saya rangka dan masih dipakai sehingga sekarang Kelantan patut mendapat royalti minyak," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Sekolah Agama Saniah di Pasir Puteh semalam.

Tengku Razaleigh berkata beliau menubuhkan Petronas kira-kira 37 tahun lalu atas arahan Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak mempunyai telaga minyak.

Katanya Abdul Razak mahukan beliau merangka satu draf undang-undang supaya negeri-negeri itu akan mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus sekiranya telaga minyak dijumpai berhampiran dengan sesebuah negeri itu tanpa menyebut jarak dari pantai.

Menurutnya hasil penubuhan itu Petronas menyumbangkan RM75 bilion setahun kepada kerajaan pusat iaitu 42 peratus daripada pendapatan punca hasil negara.