Showing posts with label Curi Pasir. Show all posts
Showing posts with label Curi Pasir. Show all posts

Friday, February 24, 2012

Curi Pasir Di Selangor - Dedah Jangan Tak Dedah


Dedah jangan tak dedah.

Biar terlondeh semua yang terbabit denganh curi pasir di Selangor.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Noh Omar berkata di Tanjung Karang hari ini, beberapa pihak lagi dijangka tampil mendedahkan isu penyelewengan pasir di Selangor dalam masa terdekat.

Peduli apa dengan kerajaan negeri, mereka kini semakin terspit dan berusaha untuk terus menafikannya.

Menurut Noh, kerajaan Selangor perlu berdepan dengan realiti bahawa berlakunya ketidaktelusan berhubung isu pasir di negeri ini dan tidak boleh menuding jari kepada pihak lain untuk menutup kelemahan mereka.

"Saya percaya akan ada lagi pendedahan yang dibuat mengenai isu pasir ini seperti yang dilaporkan oleh media hari ini.

"Kerajaan negeri pastinya akan mencari alasan termasuk terus menggunakan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) untuk menutup kelemahan pentadbiran mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiram Jaya hari ini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar hari ini yang mendedahkan aktiviti mencuri pasir berleluasa di Rawang, Hulu langat dan Semenyih.

Laporan itu turut mendedahkan aktiviti mencuri pasir di tiga kawasan terbabit mengaut keuntungan lumayan minimum RM30,000 sehari dan terus berleluasa serta diteruskan walaupun sudah dikenakan tindakan undang-undang ekoran tiada pemantauan oleh pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Noh berkata kerajaan Selangor akan terus menggunakan Selcat bagi menutup kelemahan mereka kononnya telus dalam menangani sesuatu isu yang didedahkan.

"Bagi saya Selcat hanyalah gimik politik kerajaan Selangor yang lebih berminat mencari kesalahan kerajaan persekutuan bukannya mendedahkan apa yang dibangkitkan terutamanya isu berhubung skandal pasir di negeri itu," katanya.

Beliau berkata mahkamah rakyat merupakan satu kaedah terbaik sekiranya kerajaan Selangor serius untuk menyelesaikan isu pasir yang dibangkitkan.

Terdahulu, Anggota Parlimen Tanjong Karang itu menyampaikan cek bernilai RM100,000 kepada tabung PIBG SMK Tiram Jaya dan merasmikan dewan terbuka sekolah berkenaan.

Wednesday, February 15, 2012

Skandal Pasir: Orang Muda Selangor Buat Laporan Kepada SPRM



Sekretariat Orang Muda Selangor (SERANG) Selasa membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdasarkan dua pendedahan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin termasuk skandal pasir di Selangor.

Pengerusi SERANG, Budiman Mohd Zohdi berkata badan bukan kerajaan itu mahu SPRM membuat siasatan terhadap pendedahan itu dalam portal Malaysia Today, http://malaysia-today.net Khamis lepas berhubung pembabitan dua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dalam skandal pasir tersebut.

"Kami mendesak pihak SPRM menyiasat dakwaan ini sekiranya wujud salahguna kuasa, konflik kepentingan kerana menyokong syarikat yang mereka sendiri merupakan Anggota Lembaga Pengarah syarikat.

"Sekiranya dakwaan Raja Petra merupakan satu fitnah maka kita mencabar mereka (dua wakil rakyat PKR itu) membuat laporan polis terhadap dakwaan Raja Petra. Namun, sehingga hari ini, tiada laporan polis dibuat lagi," katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Sebelum itu, Budiman bersama kira-kira 20 penyokong SERANG berkumpul di perkarangan SPRM memegang poster bantahan berhubung skandal pasir di Selangor.

Selain skandal pasir, Budiman berkata SERANG turut membuat laporan kepada SPRM berhubung pendedahan Raja Petra pada 6 Jan lepas bahawa abang ipar kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berjumpa dengan pihak pemaju dengan tujuan mendapatkan wang untuk mempercepatkan kelulusan projek-projek kerajaan negeri Selangor.

"Kami percaya tindakan ini berunsurkan rasuah dan meminta SPRM menyiasat dakwaan ini.

"Kami, wakil Orang Muda Selangor berasa sangat kecewa dan dukacita dengan perkembangan kerajaan negeri Selangor yang bertentangan dengan manifesto pilihan raya umum ke-12 bahawa pentadbiran mereka telus, berwibawa dan bebas daripada kronisme... Mereka lebih buruk daripada kerajaan terdahulu," katanya.

SERANG yang ditubuhkan pada hujung 2008, mewakili suara orang muda di Selangor, khususnya mereka berumur 40 tahun ke bawah, bertujuan membuat teguran kepada kerajaan khususnya berhubung penyelewengan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional negeri, Datuk Seri Noh Omar mengingatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak terus bermain 'wayang' berhubung isu penyelewengan pasir di negeri itu.

Katanya, pihaknya mempunyai dokumen serta bukti kukuh bagi membuktikan kegiatan tersebut sememangnya berlaku.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan segala bukti dan dokumen tersebut apabila tiba masanya nanti.

"Dakwaan yang mengatakan syarikat yang monopoli perlombongan pasir di Selangor, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) diurus secara telus hanya mainan politik untuk menutup isu tersebut.

"Justeru amat wajar sekiranya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan kerana banyak persoalan yang perlu dijawab oleh Menteri Besar itu.

"Sekiranya mahu bukti, kita ada semua bukti termasuk surat menyurat, transaksi bank dan akuan bersumpah orang-orang terlibat," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Padi Pertubuhan Peladang Peringkat Kebangsaan 2012 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Khalid yang menolak penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan wujudnya skandal penyelewengan pasir di negeri itu dan turut dikaitkan dengan kes kematian Datuk Patrick Wong Kie Yik.

Tambah Noh, jika isu penyelewengan tidak wujud, mengapa Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) menyiasat perkara itu tetapi berhenti separuh jalan.

"Di mana yang dikatakan ada ketelusan dalam pengurusan pasir? Apabila ada kes melibatkan bekas pemimpin BN, Selcat telah dijalankan secara terbuka tetapi bila ada dakwaan penyelewengan melibatkan pemimpin pakatan pembangkang semuanya ditutup.

"Inilah makna keadilan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu apabila timbul isu penyelewengan membabitkan kepentingan mereka semua itu akan ditutup," jelasnya.

Beliau berkata, rakyat perlu sedar dengan penipuan dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin pakatan pembangkang di Selangor lebih-lebih lagi dalam isu pasir.

"Jangan cuba untuk menipu rakyat dengan ayat-ayat retorik sahaja kerana segala penyelewengan itu akan didedahkan," ujarnya.

Sunday, August 15, 2010

SELANGOR PERLU TUBUH SEMULA 'BLUE TEAM'

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, semalam berkata kerajaan negeri Selangor perlu menubuhkan pasukan penguatkuasa khas bagi membanteras kecurian pasir jika ia serius ingin menghapuskan kegiatan itu.

Dr Khir berkata, semasa beliau menjadi Menteri Besar dahulu sepasukan 40 penguatkuasa yang dikenali sebagai "Blue Team" telah ditubuhkan bagi memerangi kegiatan kecurian pasir di Selangor tetapi pasukan itu telah dibubarkan oleh kerajaan negeri sekarang.

Beliau juga menafikan dakwaan EXCO Kerajaan Negeri, Ronnie Liu, bahawa pasukan Blue Team ditubuhkan di zaman Tan Sri Muhammad Muhd Taib menjadi Menteri Besar dan telah dibubarkan apabila beliau menjadi Menteri Besar.

"Pembubaran Blue Team ini baru setahun, iaitu di zaman pemerintahan Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media di Kuala Selangor.

Beliau mendakwa dengan pembubaran pasukan penguatkuasa ini, maka kurang pemantauan mengenai kegiatan mencuri pasir ini di peringkat bawah kerana anak syarikat kerajaan negeri Kumpulan Semesta Sdn Bhd hanya menguruskan perniagaan pasir dan tidak mempunyai kuasa untuk membendung kegiatan mencuri pasir.

Dr Khir berkata, kalau kerajaan negeri bersungguh-sungguh untuk membanteras kegiatan mencuri pasir, ia perlu menubuhkan satu pasukan penguatkuasaan baru yang dikendalikan oleh Pejabat Tanah dan Galian.

Beliau juga berkata, kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah perlu digerakkan untuk mengawal selia kawasan lombong pasir sah milik Kumpulan Semesta bagi memastikan tiada pasir yang diangkut keluar dari lombong itu di luar waktu operasi iaitu dari pukul lima pagi hingga tujuh malam atau pukul lapan pagi hingga enam petang.

Dr Khir berkata beliau khuatir jika perlombongan pasir haram atau yang tidak terkawal berleluasa akan mencemarkan sungai dan mempercepatkan krisis bekalan air di Lembah Klang.

Ditanya mengenai pandangan Pengarah Eksekutif Kumpulan Semesta, Ir Ramli Abdul Majed, bahawa lubang bekas lombong boleh digunakan sebagai kolam simpanan air, beliau berkata kajian Kumpulan Darul Ehsan Bhd sebelum ini menyatakan 80 peratus lombong di Selangor airnya tidak boleh diminum kerana dicemari oleh bahan kimia atau arsenik.

Pada 15 Julai lalu, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar kiri) , berkata kerajaan Pusat dilihat enggan memberi kerjasama membanteras beberapa kes curi pasir di Selangor walaupun kerajaan negeri telahpun menyerah maklumat berwajib sehari sebelum itu.

Beliau berkata demikian ekoran melihat kengganan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerima surat maklum balas daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Dah terima surat tentang siapa curi pasir, kroni pemimpin Umno bahagian mana yang terbabit, kenapa Muhyiddin dan Hishammuddin tak terima dan diam," soal beliau pagi di lobi Parlimen.

Difahamkan, Khalid turut menyerah surat maklum balas yang sama kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar supaya membanteras sendikit curi pasir itu.

Katanya lagi, kerajaan Pusat sepatutnya mengambil tanggungjawab bersama membanteras sindiket mencuri pasir memandangkan pihak berkuasa di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

Beliau yang juga AJK Pemuda PAS Pusat turut menasihatkan Dr.Khir supaya tidak melindungi pihak terbabit memandangkan aktiviti curi pasir dilihat mula giat sejak beliau menjadi Menteri Besar.

"Jangan setakat fitnah itu dan ini, dia (Mohamad Khir) kena dedah sindiket itu sekiranya dia masih ingat," beliau menambah.

Sehubungan itu, beliau menyuarakan rasa yakin bahawa rakyat tidak terkeliru dengan dakyah-dakyah Umno yang mahu merampas kerajaan negeri daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

Pada 14 Julai,Menteri Besar mengaku bahawa pengurusan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. masih lemah walaupun syarikat itu adalah syarikat berkaitan kerajaan negeri itu.

Ini kerana, beliau di DUN Selangor berkata, kerajaan negeri kurang mendapat kerjasama daripada pihak penguatkuasaan berwajib yang nyata di bawah bidang kuasa pusat.

Namun, Muhyiddin pada satu kenyataan media yang lain mengetepikan alasan Khalid itu dengan mendakwa bahawa kerajaan Selangor yang diperintah Pakatan Rakyat tidak mampu menguruskan isu pasir sebagaimana era Umno BN memerintah negeri.

Pun begitu, Mohamad Khir sendiri sehingga kini difahamkan masih belum menyatakan kesediaan untuk mendedahkan sindiket curi pasir yang berlaku ketika beliau menjadi Menteri Besar dulu.