Tuesday, February 21, 2017

Kenapa Tiada Inkuiri Awam Ke Atas Pembunuhan Altantuya?


Kini ada pertanyaan mana lebih penting antara inkuiri awam ke atas pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu atau  penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasat kerugian pertukaran asing (forex) Bank Negara?

Menghairankan, sebelum ini, walaupun ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, atau sehingga tujuh tahun sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, isu mengenai kerugian forex tidak pernah diperkatakan.

Namun kini selepas kerugian itu yang berlaku lebih dua dekad lalu, tiba-tiba dicadangkan penubuhan pasukan petugas khas itu adalah percubaan untuk mencemarkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Berbalik kepada inkuiri ke atas pembunuhan Altantuya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim  berkata semalam,  ia mesti menentukan peranan yang dimainkan oleh orang kepercayaan Najib, Abdul Razak Baginda.

"Beliau (Abdul Razak) didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu dan kemudiannya dibebaskan, tetapi tidak ada rayuan dikemukakan.

“Kes ini adalah dan kekal melibatkan kepentingan awam dan kita masih tidak tahu apa motif di sebalik pembunuhan ngeri ini.

"Mengapa Razak, seorang penyelidik akademik, dipilih menjadi ejen bagi pembelian kapal selam pertama negara?

Adakah bayaran RM500 juta yang diterima hasil rundingan itu miliknya atau adakah ia untuk orang lain? Orang ramai mahu tahu.

Selain itu, memandangkan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail masih ada, ini akan  menjadi menarik bagi beliau mendedahkan mengapa dirinya memutuskan untuk tidak merayu keputusan dalam kes terhadap Razak itu.

"Apakah ada tekanan kepadanya dari pada pihak atasan supaya tidak berbuat demikian?" soal Zaid.

Sebelum ini, Zaid pernah meminta diadakan inkuiri kes ini pada 5 April 2015 dengan pertanyaan ‘apakah Najib kenal Altantuya?’


Zaid mminta diadakan inkuiri untuk menentukan sama ada Perdana Menteri kenal wanita Mongolia yang turut dikaitkan dengan pembelian dua kapal selam Perancis.

Satu inkuiri yang teratur perlu dilakukan untuk menentukan Najib mengenali Altantuya: “ Jika jawapannya tidak, ia mungkin benar yang tidak ada sesiapa mengarahkan Sirul membunuh wanita malang itu dan pastinya (Azilah Hadri, yang turut dituduh) dan Sirul melakukan pembunuhan dengan keputusan mereka sendiri. Kita semua akan tidur nyenyak jika jawapan sebegitu.” katanya.

Zaid  turut mempersoalkan sikap membisu Perdana Menteri mengenai isu forex sehingga sekarang.

"Adakah beliau merakamkan rasa kesal dan tidak senangnya berhubung kerugian itu dan menuntut penubuhan satu inkuiri awam (ketika itu)?

"Beliau mengambil alih jawatan (PM) pada tahun 2009, atau tujuh tahun lalu, dan sepanjang tempoh itu beliau tidak berkata satu patah perkataan pun tentang kerugian forex - sehingga sekarang.

“Jika ini adalah satu isu penting bagi negara, tentu beliau akan bertindak lebih awal," katanya dalam satu catatan blog.

Sambil membidas menteri-menteri kabinet yang memberi persetujuan terhadap penubuhan pasukan petugas itu, beliau berkata: "Kabinet hari ini akan diingat dalam sejarah, bukan hanya mempunyai bilangan menteri terbesar, tetapi juga untuk terbabit dalam lakonan berhubung keputusan yang tolol”.

Berkaitan dengan isu forex ini, pada 17 Februari lalu, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menawarkan diri untuk berkhidmat dalam siasatan berhubung kerugian kontroversi pertukaran asing (forex) Bank Negara yang berlaku sekitar tahun 1990-an.

Bagaimanapun, Lim berkata, beliau hanya akan berbuat demikian jika siasatan juga dibuat ke atas skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) dan 1MDB.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Axalina Othman Said sebelum itu (pada hari yang sama), berkata Lim perlu menjadi orang pertama untuk menyokong pasukan petugas khas kerajaan yang bakal ditubuhkan bagi menyiasat skandal tukaran mata wang asing itu.


Ini, kerana, katanya, pemimpin DAP itu adalah begitu lantang di Dewan Rakyat dengan mengemukakan pelbagai usul termasuk mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan pada sekitar 1990-an.

"Biar saya jawab terus kepada kenyataan Azalina hari ini: Saya sedia berkhidmat dalam siasatan awam ke dalam skandal kerajaan mengenai BMF dan isu kerugian forex Bank Negara.

"Tetapi syarat rujukan mestilah keutamaan diberikan kepada skandal 1MDB yang telah menghantui rakyat Malaysia dalam tempoh dua tahun lalu dan nampaknya akan terus menghantui pada masa akan datang dengan Malaysia dikenali sebagai 'kleptokrasi global’.

"Adakah Azalina bersedia ke meja mesyuarat kabinet pada Rabu akan datang dengan membawa dua cadangan - pertama, masukkan skandal 1MDB skandal dalam terma-terma rujukan siasatan awam; dan kedua, melantik saya sebagai seorang ahli siasatan awam?

"Keputusan di gelanggang Azalina dan kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak," katanya dalam satu kenyataan.


Lim sebelum ini menyelar Kabinet kerana menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat perkara yang berlaku lebih dua dekad lalu tetapi melupakan skandal semasa 1MDB.

No comments: