Wednesday, November 9, 2016

Saman Zaid Terhadap Najib, Ambank Demi Rakyat, Pembayar Cukai...


Menarik apa yang dilakukan oleh bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim apabila beliau memfailkan dua saman iaitu pada 16 Ogos terhadap Perdana Menteri dan tiga yang lain, selain saman terhadap Ambank Islamic Bhd (AmBank) pada 21 Oktober.

Pada saman ex-parte bagi pihak pembayar cukai dan orang ramai pada Ogos itu Zaid menamakan empat pihak tetapi pada saman Zaid terhadap  Ambank, ia satu-satunya responden.

Saman terhadap AmBank ini sudah pasti menambahkan lagi kes saman terhadap bank dan kakitangannya yang ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti yang sedang berlangsung di Singapura dan kemungkinan di beberapa negara lain dalam masa terdekat.

Zaid juga mahu pihak bank berkenaan mendedahkan sumber dana yang diterima dan penerima bayaran yang dibuat daripada masa akaun dibuka sehingga ia ditutup pada 30 September tahun ini.

Pada saman Perdana Menteri bagi pelanggaran kewajipan fidusiari, beliau turut menamakan 1MDB, kerajaan dan anak tiri Najib, Riza Aziz. Zaid memfailkan tindakan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Saman ini bertujuan mendakwa  Najib menyalahgunakan RM42 juta sebagai rasuah atau dorongan kewangan dengan menggunakan pengaruhnya ke atas Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk membuat pinjaman bagi SRC International (SRC).

Hasil daripada ini, Najib boleh dikenakan tindakan membayar ganti rugi sepenuhnya kepada kerajaan.

Selain itu, disebabkan AS$731 juta dimasukkan dalam akaun peribadi Najib itu disyaki daripada dana 1MDB, Najib juga bertanggungjawab untuk membayar ganti rugi sepenuhnya kepada kerajaan.

Jumlah berkenaan terdiri daripada AS$681 juta yang disimpan dalam akaun Ambank Najib sebelum pilihan raya umum ke-13 pada Mac 2013, dan juga AS$ 20 juta yang didakwa diterima daripada Good Star Ltd antara Februari

Dengan kedudukan di mana sah sudah dua kakitangan AmBank bersalah kerana membantu ahli perniagaan Low Taek Jho memindahkan wang AS$680 juta ke dalam akaun bank peribadi milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2013, saman Zaid menjadi sangat menarik.


Najib pula sudah mengakui  wang itu merupakan derma daripada kerajaan Arab Saudi menjelang pilihan raya ke-13 pada Mei 2013.

Bagaimanapun, tidak diperincikan jenis tindakan yang dikenakan terhadap dua kakitangan bank itu sementara Najib sebelum ini turut mengatakan sebahagian wang itu sudah dikembalikan.

Bank Negara Malaysia (BNM) dilaporkan mengenakan “tindakan” ke atas dua  kakitangan AmBank yang terlibat dalam aktiviti pengubahan wang berkait dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tindakan ini menmgesahkan ada perjalanan wang berkenaan dan membuka jalan untuk siasatan semula dari mana asal wang berkenaan, siapa yang menghantar dan bagaimana penerima membelanjakannya.

Kenyataan  Kementerian Kewangan menyebut, tindakan diambil selepas siasatan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang 2001.

Dalam jawapan bertulis kepada Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) di Dewan Rakyat, hari ini, kementerian itu berkata tindakan sudah diambil ke atas Joanne Yu dan Cheah Tek Kuang.

Pua dalam soalannya pada Oktober 31 mahu penjelasan mengenai tindakan yang diambil ke atas Yu dan Cheah.

Sebelum ini, Yu dan Cheah dilaporkan The Wall Street Journal membantu ahli perniagaan Low Taek Jho memindahkan wang AS$680 juta ke dalam akaun bank peribadi milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2013.

Laporan itu berdasarkan transkrip mesej telefon yang dipetik Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam samannya merampas aset yang didakwa dicuri daripada 1MDB bernilai lebih AS$1 bilion, Julai lalu.

Dengan pengesahan tindakan BNM itu, dua saman difailkan Zaid untuk memaksa Ambank mendedahkan pendapatan Perdana Menteri berhubung derma RM2.6 bilion dan sebahagian RM42 juta lagi, yang dipercayai disimpan di lima akaun bank, sangat ditungu-tunggu keputusannya.


Akaun terbabit ialah yang menggunakan nombor 211-202-200969-4, 211-202-201188-0, 211-202-201190-6, 211-202-200989-8, 211-202-201189-8.

Zaid mahu bank menyediakan salinan penyata akaun daripada tarikh ia dibuka dan ditutup.

Awal semalam, Hakim S. Nantha Balan, yang mendengar perkara itu di dalam kamar, menarik diri dan memindahkan kes itu didengar di hadapan Hakim Datuk Noraini Abdul Rahman.

Sebelum itu, agak mengejutkan pagi semalam apabila seorang peguam membuat kehadiran mengejut dalam permohonan ex-parte Zaid di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur S Nantha Balan dan memberitahu beliau bertindak mewakili perdana menteri bersama peguam kanan Tan Sri Cecil Abraham.

Peguam itu, Rishwant Singh, memberitahu hakim, mereka perlukan dokumen sokongan untuk permohonan Zaid itu kerana ia berkaitan dengan saman bekas menteri terbabit dalam satu lagi samannya terhadap Najib, 1MDB, kerajaan dan anak tiri perdana menteri - Riza Aziz.

Walaupun Najib tidak dinamakan sebagai pihak dalam tindakan terhadap bank itu, Rishvant berkata kebajikan anak guamnya terjejas dalam kes ini.

Rishwant memberitahu Nantha Balan yang peguam Tan Sri Cecil Abraham adalah kaunsel utama Najib dan beliau mungkin tidak dapat hadir di hadapan hakim (Nantha Balan - difahamkan Cecil dan Nantha Balan yang dahulunya peguam daripada firma undang-undang yang sama sebelum naik menjadi hakim).

Pada 24 Ogos lalu, Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mengatakan beliau dilantik oleh Perdana Menteri berhubung saman yang difailkan oleh Zaid dengan mengatakan beliau akan menerima surat pelantikan itu lewat hari berkenaan.

"Saya hanya dilantik untuk mewakili PM dalam saman tersebut. Saya tidak tahu siapa yang akan mewakili 1MDB dan (anak tiri Najib) Riza Aziz," katanya.

Dalam afidavit bagi menyokong tindakan itu, Zahid berkata beliau mahu bank, yang sebelum ini dikenali sebagai AmIslamic, membuat pendedahan di bawah Akta Keterangan Buku Banker 1949.

Sementara itu Zaid memerlukan maklumat bagi menyokong samannya dalam kes lain terhadap Najib, 1MDB,  kerajaan Malaysia dan anak tiri Najib, Riza Aziz.


Pada 16 Ogos lalu, Zaid memfailkan tindakan mendapatkan kembali AS$731 juta dan RM42 juta yang dibankkan ke dalam akaun perdana menteri.

Menurut Zahid, AS$50 juta didepositkan ke dalam akaun antara Februari 2011 dan November 2012 manakala AS$681 juta pada Mac 2013.

Bagaimanapun, AS$681 juta itu secara umumnya dikenali sebagai sumbangan daripada RM2.6 bilion berdasarkan kadar pertukaran pada masa itu.

Zaid turut menjelaskan,  beliau mengambil tindakan itu yang akan memberi manfaat kepada defendan ke-2 dan ke-3 – 1MDB dan kerajaan Malaysia – kerana mereka tidak berada dalam kedudukan untuk berbuat demikian.

Najib sebagai defendan pertama, menurut beliau tidak akan membenarkan defendan ke-2 dan ke-3 yang dikuasainya mengambil apa-apa tindakan terhadap beliau.

“Najib, sebagai pemegang amanah 1MDB, mempunyai tanggungjawab melindungi dan memelihara aset kerajaan serta tidak menjadikannya kegunaan sendiri,” katanya dalam pernyataan tuntutan.

Zaid ingin mendapatkan perintah mengarahkan Najib membayar balik RM42 juta kepada kerajaan Malaysia, ditambah faedah kompaun pada kadar 2% sebulan daripada tarikh wang pertama yang diterima sehingga tarikh penyelesaian penuh.

Jumlah ini, kata beliau diterima daripada SRC  dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib dan adalah dianggap melanggar tugas fidusiari beliau.

“Najib menerima RM42 juta sebagai rasuah atau dorongan menggunakan pengaruhnya ke atas KWAP bagi memudahkan pinjaman untuk SRC,” dakwa Zaid.

Beliau juga mahu perintah mengarahkan Najib membayar balik 1MDB, defendan ke-2, AS$731 juta melalui pengembalian, ditambah 2% faedah kompaun sebulan daripada tarikh wang pertama yang diterima sehingga tarikh penyelesaian penuh.

Beliau berkata AS$731 juta terdiri daripada AS$681 juta didepositkan dalam akaun peribadi Najib pada Mac 2013 sebelum pilihan raya umum tahun itu; AS$20 juta yang didakwa diterima daripada Good Star Ltd antara Februari dan Jun 2011; dan juga AS$30 juta yang didakwa diterima daripada Aabar BVI antara oktober dan November 2012.

Di samping itu, Zaid mahu perintah mengarahkan defendan ke-4, Riza Aziz membayar balik defendan ke-2, 1MDB, semua wang yang diterima daripadanya, sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Beliau juga mahu Riza Aziz memindahkan semua harta, alih atau tak alih, yang diperolehnya dengan wang 1MDB, dan semua yang di bawah nama atau nama ejennya, termasuk ahli perniagaan Jho Low.

Jelas bahawa dalam dua saman ini, Zaid sangat jelas dengan apa yang berlaku dalam kes 1MDB dan SRC yang membabitkan pemindahan wang ke dalam akaun Perdana Menteri.

Rakyat dan pembayar cukai menunggu keputusan saman dan perbicaraan malah tindakan Zaid ini sangat penting untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku dengan derma RM2.6 bilion dan wang RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC.


Juga apakah benar Perdana Menteri tidak tahu sebanyak RM42 juta masuk ke dalam akaun beliau?

Sumber - Malaysiakini, mStar & FMT

No comments: