Noh bersalaman dengan ahlli Umno yang hadir pada pada Malam Tautan Kasih Umno Bahagian Sabak Bernam di Dewan Tun Abdul Razak Sabak Bernam. |
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, janganlah hanya kecewa tidak dipilih, mereka terus merajuk dan tidak mahu bersama-sama Umno untuk memperjuangkan warisan dan amanah yang ditinggalkan pemimpin terdahulu.
Menurutnya, pergeseran antara ahli Umno perlu dirawat semula agar tidak menjadi ‘barah’, sekiranya mereka ingin melihat BN menguasai semula kepimpinan di negeri ini.
“Marilah bersama kami, lupakanlah apa yang berlaku dan lihat ke hadapan kerana saya yakin dengan adanya gandingan muka lama dan baharu, Selangor akan menjadi kubu kuat Umno dan BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Tautan Kasih Umno Bahagian Sabak Bernam di Dewan Tun Abdul Razak Sabak Bernam.
Hadir sama, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Mohd Fasiah Mohd Fakeh; Adun Sungai Air Tawar, Kamarul Zaki Abdul Malik; Ketua Pemuda Umno Bahagian Sabak Bernam; Rizam Ismail dan Ketua Puteri Umno Bahagian Sabak Bernam, Noor Farhana Alham.
Justeru beliau berkata, ahli Umno diminta supaya mengambil contoh kekuatan lidi penyapu untuk memperteguh perpaduan bagi memastikan mereka terus diterima rakyat tanpa sebarang perpecahan yang merosakkan masa depan parti.
“Jika lidi penyapu itu banyak ia amat sukar untuk dipatahkan tetapi jika lidi itu sebatang, ia mudah dipatahkan, begitu juga semangat yang perlu diterap semua ahli Umno agar terus mengutamakan semangat kesetiaan dan perpaduan,” katanya.
Noh berkata, jika Umno terus bersatu-padu, beliau yakin dan percaya Selangor akan menarik sokongan rakyat bagi menghadapi PRU14 sekali gus merampas negeri itu di tangan Pakatan Rakyat (PR).
“Alhamdulillah, banyak yang dibuat oleh pemimpin Umno Selangor dahulu kerana ketika itu kita cukup kuat, pelbagai kemajuan yang dibuat, benar kata pepatah kalau perjuangan kita hari ini tidak dapat diwariskan kepada pewaris yang memahami perjuangan kita, perjuangan kita menjadi sia-sia,” katanya.
Justeru, katanya, Umno memerlukan kuasa politik bagi memastikan perjuangan menegakkan agama dan bangsa terus dipertahankan berbanding apa yang dilakukan PR dalam isu dan hak agama Islam mengikut perlembagaan persekutuan.
“Umno perlukan kuasa politik kerana kita hendak memajukan agama Islam di negara kita, berbeza mereka (PR) yang sanggup menggadaikan maruah bangsa dan agama semata-mata politik,” katanya.
No comments:
Post a Comment