Sunday, June 3, 2012
MB Selangor Didesak Jelas Isu Pewartaan Padang Bola PKNS
Penduduk Kelana Jaya serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meneruskan bantahan terhadap cadangan membangunkan padang bola PKNS di sini, mendesak kerajaan negeri Selangor memberi penjelasan terhadap isu dua status pewartaan padang itu yang dilihat saling bercanggah.
Penyelaras Barisan Nasional Seri Setia, Datuk Abdul Halim Samad yang turut bersama kira-kira 200 orang yang mengadakan bantahan itu hari ini berkata Menteri Besar hendaklah memberi penjelasan tentang dua status pewartaan yang berbeza itu dan kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam perkara tersebut.
"Kami mahu projek ini dibatalkan sama sekali.
Ada yang mencadangkan agar projek itu dipindahkan ke tempat lain agar tidak mengorbankan padang harian kesayangan para penduduk di kawasan ini,” katanya kepada pemberita.
Sehubungan itu beliau menyeru Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Menteri Besar supaya memberikan satu penjelasan sama ada wujud penyelewengan atau tidak terhadap isu tersebut.
Abdul Halim berkata satu laporan polis akan dibuat sekiranya MBPJ dan Menteri Besar gagal memberi penjelasan yang munasabah kepada para penduduk.
Rabu lepas media melaporkan terdapat dua dokumen yang saling bercanggah dalam Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) di mana dokumen Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menunjukkan padang itu diwartakan sebagai tapak perniagaan dan perkhidmatan manakala dokumen sama Jabatan Pembangunan Bandar dan Desa Selangor menunjukkan kawasan itu diwartakan sebagai tanah lapang dan rekreasi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment