Wednesday, May 23, 2012

Rumah Urut Berleluasa - Selangor Buat Keputusan Hari Ini


Kita nak lihat apa Kerajaan Selangor akan membuat ketetapan mengenai kegiatan rumah urut yang semakin berleluasa di negeri itu.

Keputusan itu katanya akan dibuat pada mesyuarat mingguan EXCO negeri hari ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri memandang serius isu itu dan akan mencari jalan terbaik bagi menanganinya termasuk kemungkinan mengadakan rancangan penempatan semula.

"Saya akan umumkan esok dan akan ada satu keputusan untuk mengatasi masalah ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor 2012 di Muzium Sultan Alam Shah semalam.

Jumlah rumah urut yang semakin bertambah di Selangor membimbangkan banyak pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa pusat urut tumbuh bagai cendawan sehingga merebak ke kawasan penempatan setinggan sejak kebelakangan ini.

Menurut mereka di kawasan Pandan Indah sahaja, terdapat lebih 80 pusat urut dan lebih 200 pusat urut beroperasi di Klang selain berpuluh-puluh lagi di Kuchai Lama, Damansara dan Ampang Jaya.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu semalam melaporkan bahawa di Kuala Selangor terdapat enam pusat urut beroperasi dalam satu kawasan perdagangan yang baru dibuka manakala pusat urut juga dibuka di kawasan luar bandar iaitu tiga di Sekinchan, Sungai Besar (dua) dan masing-masing satu di Sabak Bernam dan Tanjong Karang.

Abdul Khalid, bagaimanapun, enggan mengulas gesaan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar, baru-baru ini supaya menteri besar itu menyerahkan portfolio agama Islam yang dipegangnya kepada pemimpin PAS kerana kegagalan mengawal pertambahan rumah urut di Selangor.

"Kegiatan rumah urut di Selangor sudahpun berleluasa sebelum 2008 lagi," katanya.

1 comment:

Ular Menyusur Akar said...

Dah tau jawapannya. "Kerajaan Selangor tidak boleh berbuat apa-apa kerana itu hak asasi manusia. Kami mentadbir negeri secara koprat".