"Kerajaan negeri perlu mengawal selia dengan amanah dan berhemah akan modal utama Selangor, iaitu tanah...Kawasan-kawasan kepentingan umum seperti hutan simpan, kawasan tadahan air, rizab sungai dan sebagainya mesti dipertahankan, pencerobohan mesti dibanteras dan kebenaran tidak sepatutnya diberikan untuk projek-projek pembangunan di kawasan tersebut," - Sultan Selangor
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Isnin menitahkan supaya apa jua peruntukan Perlembagaan untuk mempertahankan Tanah Rizab Melayu mesti dipatuhi.
"Beta tidak mahu mana-mana pihak melakukan tindakan tidak bertanggungjawab dengan cuba memindahkan Tanah Rizab Melayu kepada individu atau syarikat bukan milik Melayu," titah baginda dalam Titah Ucapan Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri ke-12 di Shah Alam, hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah baginda percaya Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan negeri dan semua kakitangan yang terlibat dalam urusan tanah sentiasa berwaspada mempertahankan Tanah Rizab Melayu dengan tidak ada yang bertukar status.
Selain daripada memelihara Tanah Rizab Melayu, Baginda juga menitahkan supaya kerajaan negeri mengawal selia dengan amanah dan berhemah akan modal utama Selangor, iaitu tanah.
"Kawasan-kawasan kepentingan umum seperti hutan simpan, kawasan tadahan air, rizab sungai dan sebagainya mesti dipertahankan, pencerobohan mesti dibanteras dan kebenaran tidak sepatutnya diberikan untuk projek-projek pembangunan di kawasan tersebut," titah Baginda.
Sebagai Ketua Agama Negeri, Baginda mahukan pentadbiran kerajaan negeri memberikan perhatian yang serius terhadap usaha meningkatkan kualiti hidup umat Islam dengan memberikan keutamaan kepada bidang pendidikan dan ekonomi untuk memajukan mereka.
"Kekuatan dalam dua bidang ini adalah benteng sebenar mempertahankan akidah dan maruah umat Islam, titah Sultan Sharafuddin.
Baginda bertitah institusi zakat harus diperkemaskan seiring dengan perkembangan dan tuntutan zaman manakala pentadbiran urusan Baitulmal hendaklah dibuat dengan cara yang baik dan teratur.
Sultan Sharafuddin bertitah: "Perhatian serius kepada usaha memajukan umat Islam ini tidak pernah menjadi alasan untuk mengabaikan atau meminggirkan rakyat Beta yang lain. Malah kemajuan umat Islam selaku golongan majoriti di negeri ini mampu memberikan kesan positif kepada negeri dan rakyat."
Baginda turut bertitah supaya kerajaan negeri memainkan peranan perintis dalam menggalakkan kemajuan di daerah-daerah yang sedang membangun di mana perancangan diperlukan untuk merakyatkan kemajuan ke setiap daerah dan pelusuk negeri dengan seimbang dan berterusan.
"Pembukaan bandar-bandar baharu tanpa aktiviti ekonomi yang cergas dan peluang pekerjaan berkualiti hanya menyebabkan rumah dan bangunan yang dibina terbiar tanpa penghuni," titah Baginda.
Oleh itu, Baginda bertitah Baginda berkenan dengan pandangan Menteri Besar supaya pihak berkuasa tempatan lebih menumpukan kepada kesejahteraan penduduk setempat daripada memikirkan kelayakan status bandar raya.
"Ia bermakna, apabila pembangunan berkembang ke daerah-daerah luar bandar, anak-anak muda tidak perlu lagi mencari pekerjaan di bandar. Keadaan ini dapat melegakan tekanan terhadap habitat bandar, kos kehidupan, sistem pengangkutan dan prasarana bandar yang lain, titah Sultan Sharafuddin.
Sultan Sharafuddin juga bertitah baginda difahamkan pertumbuhan ekonomi Selangor pada tahun ini dijangka merekodkan prestasi sederhana dengan Keluaran Dalam Negara Kasar negeri sekitar 5.3 peratus sehaluan dengan persekitaran ekonomi dunia dan Malaysia yang sederhana berbanding dengan pencapaian 2011 pada 5.9 peratus.
Selaku penyumbang 22 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara, Baginda mahukan Selangor memainkan peranan lebih agresif dalam meningkatkan pelaburan domestik dan asing ke dalam negeri, di mana Selangor menerima pelaburan RM8.74 bilion tahun lepas dengan 263 projek berjaya dimajukan dan menjana 15,000 peluang pekerjaan dalam tahun 2011.
No comments:
Post a Comment