Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar membantah cadangan kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) di Shah Alam.
Beliau berkata ini kerana Kerajaan Pusat menerusi kementeriannya telah memperuntukkan kira-kira RM161 juta bagi menjayakan Pelan Induk TBNSA ke arah menjadikannya sebuah pusat agro pelancongan utama negara.
"Saya diberitahu kerajaan negeri Selangor sedang dalam perbincangan mengambil alih pengurusan Taman Botani di sini atas alasan peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan pusat bagi tujuan membangunkan taman pertanian ini tidak mencukupi," katanya dalam satu sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke TBNSA semalam.
Noh mendakwa kerajaan Selangor turut bercadang untuk menjual tanah TBNSA seluas 40 hektar bagi mencari dana berjumlah RM100 juta bagi menampung kos operasi taman itu sekiranya mereka mengambil alih pengurusannya.
Sehubungan itu, Noh meminta kerajaan negeri Selangor segera menandatangani perjanjian pajakan untuk tempoh 60 tahun bagi membolehkan kementerian membangun dan mengurus taman botani itu.
Noh berkata ini kerana kerajaan negeri terdahulu (BN) bersetuju memajakkan tanah itu seperti mana yang terkandung dalam perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kementerian dan kerajaan negeri pada 2006 untuk membangunkan TBNSA.
"Dalam MoU itu, kerajaan Selangor antara lain boleh memberikan kelulusan kepada kementerian menyambung tempoh pajakan tanah selama 60 tahun untuk mengendalikan taman pertanian itu tetapi belum ada sebarang perjanjian seumpama itu ditandatagani sehingga kini," katanya.
Noh berkata Kerajaan Pusat sudah membelanjakan RM236.04 juta bagi membiayai pembangunan dan menampung kos pengurusan taman itu sejak ditubuhkan pada 1986 ketika dikenali sebagai Taman Pertanian Bukit Cerakah.
No comments:
Post a Comment