"Kita sentiasa bersedia untuk berdebat pada bila-bila masa dalam isu ini, saya sebagai exco juga akan menerangkan kepada mereka tentang pelbagai persoalan dan perbandingan di antara pentadbiran dahulu dan sekarang...Antaranya, persoalan mengapakan ketika zaman pemerintahan BN, mereka dapat sedikit keuntungan iaitu sebanyak RM4.7 juta pada 2008, sedangkan zaman PR sebanyak 42 juta diperoleh pada 2011 lalu," - Exco Kerajaan Selangor, Yaakob Sapari.
Tunggu apa lagi…dah nak berdebat debatlah.
Kedua-dua pihak nampaknya sudah bersedia dan kita akan saksikan fakta-fakta mengenainya.
Perdebatan di antara Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung skandal pasir wajar diadakan.
Lagipun Kerajaan Negeri Selangor sudah menyatakan kesediaannya untuk berdebat.
Ketua Pembangkang Negeri, Datuk Satim Diman berkata, Umno Selangor akan memastikan segala bukti penyelewengan Kerajaan Negeri berjaya didedahkan sepanjang debat berlangsung.
“Saya tidak mempunyai masalah dengan berdebat, kami amat bersetuju jika ianya berjaya diadakan.
Namun, Kerajaan Negeri perlu selesaikan dahulu janji mereka dalam isu pasir ini, termasuk membersihkan diri dari tuduhan blogger Raja Petra Kamaruddin,” katanya.
Satim berkata, menteri besar perlu membuktikan terlebih dahulu janji untuk menjana keuntungan sebanyak RM150 juta setahun menerusi industri perlombongan pasir di Negeri Selangor.
“Ini adalah janji yang bukan sahaja diberikan kepada rakyat tetapi juga dibacakan oleh menteri besar di hadapan Sultan Selangor,” katanya.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Serdang itu turut mencabar Kerajaan Negeri memfailkan saman terhadap Raja Petra atas dakwaan dua adun PR terlibat dalam penyelewengan pasir.
Menurutnya, Raja Petra adalah punca utama mengapa isu pasir ini timbul semula, oleh yang demikian, sekiranya dakwaan itu tidak benar, Kerajaan Negeri perlu membersihkan nama mereka.
Sementara itu, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, Kerajaan Negeri juga bersedia menerima sebarang cabaran untuk berdebat dari mana-mana pemimpin Barisan Nasional (BN) Selangor dalam isu pasir.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak khuatir sekiranya pembangkang negeri mahu meletakkan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar sebagai wakil.
Menurutnya, cabaran debat ini penting bagi membuka mata rakyat bagi membandingkan pengurusan kerajaan terdahulu dengan kerajaan sekarang.
“Kita sentiasa bersedia untuk berdebat pada bila-bila masa dalam isu ini, saya sebagai exco juga akan menerangkan kepada mereka tentang pelbagai persoalan dan perbandingan di antara pentadbiran dahulu dan sekarang.
“Antaranya, persoalan mengapakan ketika zaman pemerintahan BN, mereka dapat sedikit keuntungan iaitu sebanyak RM4.7 juta pada 2008, sedangkan zaman PR sebanyak 42 juta diperoleh pada 2011 lalu,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik itu turut mendakwa, ketika pentadbiran BN, hanya satu kontraktor pasir dilantik, manakala sebanyak 33 kontraktor berdaftar dilantik semasa pentadbiran PR.
“Kesemua 33 kontraktor ini dilantik menerusi proses tender, berbeza dari proses pelantikan kontraktor pada zaman BN,” katanya.
Yaakob berkata, sekiranya Noh mempunyai bukti penyelewengan pasir, beliau perlu menghantar bukti tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Transparency International (TI).
“Beliau mempunyai dua saluran yang boleh digunakan sekiranya mempunyai bukti tersebut, jangan risau kredibiliti dua agensi ini,” katanya.
Perdebatan dalam isu pasir di antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Noh telah bermula, apabila Ahli Parlimen Tanjung Karang itu mendakwa mempunyai bukti salah guna kuasa dalam Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), sebelum ini.
Oleh yang demikian, pada 15 Februari lalu, Abdul Khalid meminta Noh memberi kerjasama bagi memastikan dakwaan itu benar-benar wujud atau hanya sekadar tuduhan politik.
Manakala, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pula mencabar Abdul Khalid agar mengadakan ‘perbicaraan’ secara terbuka kerana isu berkenaan melibatkan kepentingan rakyat di negeri ini.
Noh berkata, beliau bersedia untuk menghadiri perbicaraan itu dengan membawa segala bukti dan dokumen serta akuan bersumpah orang-orang terlibat.
Sumber - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment